Sabtu, 26 Mac 2011
Mustahil Anwar terlibat video salah laku seks memandangkan saya bersama beliau pada petang hari kejadian
KUALA TERENGGANU – “Mustahil Anwar terlibat video salah laku seks memandangkan saya bersama beliau pada petang hari kejadian,” demikian kata Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Dungun, Abd Rahman Yusof.
Beliau berkata demi-kian ketika mempersoalkan video salah laku seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
Abd Rahman menganggap isu yang kononnya dibongkar satu kumpulan diketuai Datuk ‘T’ itu hanyalah fitnah sambil menyifatkannya melampau dan melebihi had.
“Pada 21 Februari lalu, saya ada di rumah Anwar kerana terlibat dengan mesyuarat staf bagi tujuan pengurusan program pada bulan itu dan Mac ini. Jadi bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku, sedangkan kami bersama,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Seorang individu menggelari dirinya Datuk ‘T’ mendedahkan kepada media didakwa rakaman video salah laku seks pemimpin tertinggi PKR di hotel.
Rakaman berdurasi 21 minit itu menunjukkan individu terbabit mengadakan hubungan seks dengan pelacur asing, dirakam pada 21 Februari lalu.
Abd Rahman turut khuatir sekiranya semakin ramai orang Islam di negara ini ‘difasikkan’ berikutan fitnah yang dilempar terhadap Anwar.
Beliau turut difahamkan bahawa video itu hanya merakam individu dikatakan Anwar dari pandangan tepi, selain bentuk badan tidak menunjukkan bahawa ia adalah Anwar.
“Saya bimbang orang ramai yang percaya dan menyebarkan perkara sedemikian boleh termasuk golongan fasik,” katanya.