SHAH ALAM 23 Mac - Penyebaran rakaman video lucah yang memfitnah  Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat  memalukan dan menjatuhkan maruah umat Islam dan orang Melayu, tegas  Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sini hari ini.
“Hari  ini tiga orang telah mengaku menyimpan, menonton dan mempertontonkan  video lucah ini yang menunjukkan betapa rendah moral pemimpin yang  mengakui mereka mewakili orang Islam Melayu di Malaysia,” katanya.
Tegas  Khalid,  perbuatan ini bukan saja menyalahi etika, malah ia turut  bercanggah dengan ajaran mana-mana agama yang menekankan keadilan,  keamanan dan kebaikan.
Jelas beliau, perbuatan ini adalah untuk meraih sokongan orang Melayu dengan cara yang amat memalukan serta menjijikkan.
“Tetapi  saya amat yakin, orang Melayu Islam adalah lebih bijak dan tidak mudah  disogok dengan fitnah seperti ini,” tegas Tan Sri Khalid.
Justeru  Tan Sri Khalid berharap agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan  dengan adil dan telus terhadap laporan polis yang dibuat Datuk Seri  Anwar Ibrahim termasuk mengambil tindakan terhadap tiga individu yang  telah mengaku memiliki, menonton dan mempertontonkan rakaman video lucah  tersebut.
Hari ini dilaporkan bahawa Bekas Ketua Menteri Melaka,  Tan Sri Rahim Thamby Chik mengaku beliau adalah dalang di sebalik   penyebaran video lucah yang cuba mengaitkan Ketua Pembangkang,  Datuk  Seri Anwar Ibrahim.
Turut sama dikaitkan dengan trio ‘Datuk T’  itu adalah Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Agung Perkasa merangkap  bekas Senator Dewan Negara, Shuib Lazim.