Ahli-ahli    sains telah membuktikan wujud kebarangkalian pemalsuan bukti DNA,    sekaligus berpotensi memusnahkan kredibiliti teknik utama forensik.
Dengan    menggunakan peralatan yang boleh dijumpai di makmal-makmal di seluruh    negara, mereka melenyapkan semua kesan DNA dari sampel darah dan    menambah bahan genetik individu lain pada sampel tersebut.
Pemalsuan    ini sangat berjaya sehingga mampu memperdaya ahli-ahli sains yang    menjalankan ujian DNA cap jari di mahkamah-mahkamah di Amerika Syarikat.
Perkembangan    ini menimbulkan kemungkinan sampel darah atau air liur diletakkan di    lokasi di mana jenayah berlaku, sehingga mengakibatkan mereka yang  tidak   bersalah dihukum manakala mereka yang bersalah terlepas bebas.
Menurut    Dan Frumkin, penyelidik yang menghasilkan DNA palsu menyatakan: 'Jika    anda boleh memalsukan darah, air liur atau mana-mana tisu, anda boleh    mencipta lokasi jenayah. Mana-mana pelajar jurusan biologi pun mampu    melakukannya.
Dr.    Frumkin - yang mendakwa bahawa syarikatnya telah berjaya mencipta kit    untuk membezakan sampel DNA sebenar dengan yang palsu - menggunakan  dua   teknik untuk memalsukan bukti.
Pada    peringkat awal, mereka akan akan mengasingkan sampel minit bahan    genetik dari helaian rambut dan menggandakannya beberapa kali.
Kemudian mereka akan memasukkan DNA ini ke dalam sel darah yang telah diasingkan dari segala klu genetik pemilik asal.
Kini    sel darah ini mengandungi cap jari genetik milik individu pertama,    demikian menurut laporan Journal Forensic Science International:    Genetics.
Secara    teori, ianya boleh diletakkan di tempat kejadian jenayah. Rambut,  gula   getah, puntung rokok, cawan dan gelas boleh membekalkan sampel  awal  DNA.
Syarikat    ini juga telah membangunkan satu teknik yang rumit, yang mana    bergantung kepada pengetahuan mengenai cap jari DNA - satu 'kod bar'    genetik daripada 20 set kedudukan-kedudukan pada satu rantaian DNA    seseorang individu.
Ahli    sains ini telah membina 'perpustakaan' yang mengandungi ratusan   cebisan  DNA yang merangkumi semua kod genetik yang muncul di   tempat-tempat yang  telah diperiksa oleh polis. Untuk membuat padanan   satu-satu cap jari,  mereka hanya perlu mencari dari 'perpustakaan'   untuk gabungan yang betul  dan dicampurkan di dalam tabung uji.
Para pengkaji percaya, lambat laun teknologi ini bakal digunakan oleh penjenayah.
Mereka    memberi amaran: 'Bukti DNA adalah kunci kepada sabitan atau  pembebasan   suspek daripada pelbagai bentuk jenayah, waima dari rogol  hinggalah   bunuh. Namun begitu, kita telah terlepas perhatian akan  kemungkinan yang   menggusarkan bahawa bukti DNA boleh dipalsukan.
'DNA    dengan profil genetik yang diinginkan dengan mudah disintesis (baca:    dihasilkan melalui makmal) dengan hanya menggunakan teknik biologikal    biasa dan yang baru dibangunkan, diintegrasi ke dalam tisu manusia  atau   dibubuh pada permukaan-permukaan objek, dan kemudiannya  diletakkan di   tempat kejadian jenayah.'
Namun    pakar British berpendapat adalah suatu yang hampir mustahil bagi    mana-mana penjenayah untuk melakukan sesuatu seperti itu. Dr. Gill Tully    dari Perkhidmatan Sains Forensik Kerajaan menyatakan:
'Anda    memerlukan satu makmal biologi molekul yang lengkap, peralatan yang    bernilai ribuan pound dan seorang ahli sains biologi molekul yang cekap    atau juruteknik makmal.'
'Dan majoriti daripada mereka yang terlibat dengan jenayah tidak akan mempunyai akses kepada bahan-bahan ini.'
Dr.    John Manlove, seorang ahli sains forensik dan saksi pakar di dalam    kes-kes mahkamah, berkata: 'Ya, ianya satu kemungkinan dari segi sains,    tetapi ia adalah untuk seseorang yang benar-benar terdesak.
'DNA adalah sangat penting di dalam sesuatu kes, tetapi penyiasatan tidak harus berasaskan kepada bukti DNA semata-mata.'
Diterjemahkan oleh Dr. Afif Bahardin dan Najwan Halimi dari artikel berjudul "DNA evidence can be fabricated and planted at crime scenes, scientists warn" tulisan Fiona Macrae yang diterbitkan di laman The Daily Mail UK pada 19 Ogos 2009.
