Fadli
KUALA LUMPUR: Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri,  Dr Nasir Hashim menyatakan adalah mustahil bekas Perdana Menteri Tun Dr  Mahathir Mohamad mengikut telunjuk polis sewaktu Operasi Lalang 1987.
Dr  Nasir, yang turut ditahan selama 15 bulan di bawah ISA dalam operasi  itu menambah, jika Mahathir tidak setuju dengan penahanan itu beliau  pasti tidak akan menandatangani arahan penahanan lanjutan selama dua  tahun terhadap mereka yang ditangkap.
“Isu tersebut juga mendapat  perhatian ramai di peringkat nasional pada masa itu. Jadi, mustahil  untuk Mahathir langsung tidak terlibat dalam operasi tersebut,”  tambahnya lagi yang juga Presiden Parti Sosialis Malaysia.
Beliau  mengulas kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar yang  mempertahankan Mahathir dan mendakwa bekas Perdana menteri itu tidak  bertanggungjawab  ke atas operasi tersebut.
Dalam Operasi Lalang  yang berlaku pada 27 Oktober 1987 itu, seramai 106 ahli politik terutama  parti pembangkang ditahan di bawah ISA dan menyaksikan pembatalan dua  akhabar harian dan dua akhbar mingguan.
Selain Dr Nasir, turut  ditahan ialah Lim Kit Siang, Karpal Singh, Suhaimi Said, Kua Kia Soong,  Chandra Muzaffar, Ibrahim Ali dan Mohamed Fahmi Ibrahim.
Menurut  Dr Nasir, bukti paling jelas Mahathir sebenarnya merestui penahanan di  bawah ISA dalam Ops Lalang adalah kewujudan satu badan penilai yang  perlu mendapat kelulusan Mahathir untuk membebaskan tahanan.
Badan ini menurutnya,  membuat pemeriksaan samada mereka yang ditahan sudah ‘insaf’, atau ‘pulih’ dan ‘selamat’ untuk dibebaskan
Mengulas  lanjut, Dr Nasir berkata operasi itu dilakukan ketika Umno berdepan  krisis yang parah akibat pertembungan dua kumpulan dalam Umno antara  Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah.
Justeru itu, katanya,  Mahathir menggunakan strategi politik licik untuk memangsakan ahli  politik pembangkang demi mencapai matlamat politiknya.
“Mahathir  diktator yang menguasai segala-galanya. Kalau kacau bilau politik  berlaku, mustahil dia tidak terlibat sama untuk menenangkan suasana,”  katanya.
Dr Nasir menganggap Mahathir mengalami gangguan psikologi kerana berterusan menafikan kesalahan lampau yang pernah dilakukannya.
“Dia ada gangguan psikologi. Dia berada dalam keadaan total denial dengan masa lampaunya,” kata Dr Nasir.
Sementara  itu, Penasihat Dap, Lim Kit Siang berkata Dr Mahatahir sepatutnya tidak  mempersalahkan polis sebagai pihak bertanggungjawab dalam Operasi  Lalang memandangkan beliau pada masa itu merupakan Menteri Dalam Negeri.
Menurut  Lim, Mahathir bukan sahaja tidak menghalang penahanan seramai 106 orang  terbabit, malah mengguna kuasanya di bawah seksyen 8 Akta ISA  mengeluarkan perintah tahanan selama dua tahun membabitkan 49 individu.
Lim  juga berkata, Dr Mahathir sentiasa membuat dakwaan palsu dan tidak  berasas dengan menyatakan mereka yang ditahan cuba untuk mencetuskan  rusuhan kaum.
Sebagai contoh katanya, Dr Mahathir memberitahu  majalah Asiaweek keluaran 11 November 1988 bahawa beberapa orang masih  ditahan kerana enggan memberi jaminan tidak akan mencetuskan perkauman  lagi.
