KeadilanDaily |
Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar  Ibrahim menasihatkan pimpinan Umno BN agar jangan sesekali  memperkecilkan kebijaksanaan Sultan dan Raja-Raja Melayu.
Menurutnya,  tindakan pimpinan Umno BN memainkan isu Raja-Raja Melayu demi  kepentingan politik seolah-olah memperkecilkan minda dan kebijaksanaan  sultan dalam menilai sesuatu perkara.
“Raja-raja Melayu dan  sultan tahu, siapa yang benar-benar membela dan berjuang mengembalikan  hak dan peranan Tuanku. Tindakan pimpinan Umno BN memainkan sentimen ini  dengan demonstrasi dan pelbagai kenyataan yang mengelirukan rakyat  merugikan rakyat Malaysia secara keseluruhan,” katanya pada sidang media  selepas berucap di Forum Subsidi : Bebankan Negara atau Bebankan Rakyat  di Kelab Shah Alam, Shah Alam hari ini.
Sehubungan itu, beliau  memuji tindakan kerajaan Selangor yang dipimpin Menteri Besarnya, Tan  Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berusaha untuk meminda perlembagaan negeri  bagi mengembalikan kuasa dan peranan sultan di negeri itu.
“Tahniah  diucapkan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri Selangor  yang tetap berusaha mengadakan pindaan undang-undang walaupun berterusan  diganggu dan dihalang oleh pimpinan Umno BN.
“Pimpinan Umno BN  kononnya berjuang untuk Raja-raja Melayu tetapi merekalah yang  menghilangkan kuasa raja-raja Melayu sejak 1993.
“Walaupun usaha  untuk meminda undang-undang (perlembagaan negeri) itu tidak berjaya,  sekurang-kurangnya ada usaha (kerajaan negeri) ke arah itu,” ujarnya.
Semalam,  kerajaan Selangor tidak berjaya meminda undang-undang tubuh negeri bagi  mengembalikian kuasa kepada Sultan dan menteri besar dalam pelantikan  tiga jawatan tertinggi negeri.
Selepas pengundian dijalankan,  hanya 34 ADUN mengundi bersetuju dengan pindaan itu manakala 20 lagi  mengundi menentangnya. Kerajaan Selangor memerlukan 38 undi (sokongan  2/3) bagi membolehkan undang-undang itu diluluskan.
BN mempunyai  21 kerusi yang mana kesemuanya menolak cadangan menteri besar itu  sekaligus menolak untuk mengembalikan kuasa sultan yang ‘dihadkan’ sejak  1993.