Harapan Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kerusi DUN Tenang dengan majoriti besar — sekurang-sekurangnya 5,000 undi — agak mustahil ekoran kempen DAP yang mula mendapat sambutan luar biasa.
BN meletakkan sasaran untuk menggandakan majoriti berbanding tahun 2004.
The   Malaysian Insider difahamkan Umno yang yakin untuk memenangi majoriti   pengundi Melayu di kawasa itu mula menyalahkan Presiden MCA Datuk Seri   Dr Chua Soi Lek kerana didakwa gagal mengawal momentum yang dibawa DAP   dalam mendapatkan sokongan pengundi Cina sejak hari penamaan calon  Sabtu  lalu.
“Saya rasa mereka telah memperkecilkan pengaruh Lim  Kit  Siang (Penasihat DAP) dan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP)  terhadap  pengundi Cina, mereka ingat orang tidak ramai dan tidak  seperti ceramah  PAS dan PKR yang dihadiri penduduk tempatan,” kata  seorang pegawai Umno
Kit  Siang dan anak lelakinya Guan  Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang  menghabiskan masa satu hari di  kawasan Tenang dengan mendapat sambutan  yang amat menggalakkan dalam  kempen ceramah yang mereka sertai.
Kedua-dua  ceramah  yang diadakan pada malam Isnin dan Selasa lalu dianggarkan  disertai  kira-kira 300 penduduk tempatan, bilangan yang agak besar bagi   mana-mana ceramah yang diadakan di Tenang.
Kini DAP yakin   calon PAS Normala Sudirman boleh memenangi sekurang-kurangnya 60   peratus undi Cina di Tenang. Pada pilihan raya umum 2008 PAS meraih   sebanyak 58 peratus undi Cina.
“Sekarang kami mempunyai   kira-kira 60 hingga 65 peratus dan kami sasarkan ia meningkat sehingga   70 peratus, ia masih sukar kerana dibeberapa kawasan kami tidak begitu   kuat,” kata Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau.
DAP   menganggarkan undi Cina di Tenang masih belum melebihi 30 peratus sebaik   sahaja kempen bermula, ia bagaimanapun membuat Umno terdesak untuk   mendapatkan lebih banyak sokongan pengundi Cina.
“Masalahnya kami tidak boleh berbincang dengan parti komponen bagi situasi di kawasan Cina.
“Tanpa sokongan kuat daripada pengundi Cina, ia agak mustahil untuk dapat 5,000 undi majoriti,” kata seorang lagi pegawai Umno.
MCA berada di bawah tekanan untuk mendapatkan semula sokongan pengundi Cina di kawasan Tenang yang merupakan kubu kuat BN.
Pada   2004 BN memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,517 undi tetapi jumlah   itu berkurang kepada 2,492 pada pilihan raya umum 2008 yang mana   majoriti besar undi Cina memihak kepada pembangkang.
Sementara itu, tinjauan The Malaysian Insider mendapati pendirian   MCA yang mahu membangkitkan isu dasar negara Islam dalam kempen  pilihan  raya kecil itu turut mendapat bantahan pengundi Cina.
Pengundi   Cina beranggapan tidak wajar MCA memainkan isu negara Islam dan mereka   mahu agar MCA menghentikan daripada memainkan isu tersebut.
Sebelum Dr Chua berkata mahu menyerang PAS dengan membangkitkan isu negara Islam dalam kempen pilihan raya kecil kawasan itu.
Dr   Chua berkata akan terus menyerang PAS dengan memberi amaran kepada   pengundi-pengundi bahawa sokongan mereka hanya akan memperkukuh   kedudukan parti Islam itu dalam Pakatan Rakyat.
Beliau berkata   berkata meskipun DAP menjadi rakan komponen dalam Pakatan Rakyat parti   itu tidak mampu menghalang PAS daripada meneruskan dasar negara   Islamnya.
Tindakan MCA itu bukan sahaja membangkitkan kemarahan orang Islam tetapi orang bukan Islam juga.
Kempen pilihan raya kecil DUN Tenang sudah masuk hari keenam. Hari pengundian Ahad ini.
“Bagi saya Islam tiada masalah, Islam adalah agama rasmi jadi kenapa mesti mau (mahu) mainkan isu ini?
“Pasal   itu salam, saya tidak suka bila MCA mainkan isu ini, kita Malaysia ada   macam-macam agama... kita tidak boleh paksa antara satu sama lain.
“Yang penting kita hormat agama yang ada, kenapa mesti nak buat macam ini,” kata pengundi Chai Yun Cong, 45.
Menurut Chai, sekiranya PAS memerintah negara sudah pasti parti Islam itu akan menjaga kebajikan dan perpaduan semua kaum di negara ini.
“Kita tiada masalah tapi kenapa dia (Dr Chua) buat macam ini, dia mahu takutkan kita (orang Cina).
“Dia cakap macam-macam (pasal PAS) tapi PAS tiada apa-apa pun, hanya kasi takut orang Cina sahaja.
“PAS bawa Islam, apa yang PAS buat untuk orang Islam. Orang bukan Islam PAS tidak kacau, jadi kenapa mesti takut?” katanya.
Dia juga berkata PAS adalah sebuah parti yang bersih dan tidak mustahil akan memilih Normala Ahad ini.
“Saya lihat calon PAS bagus, lagipun PAS bersih... tidak amal rasuah. Tentu PAS boleh bantu kami di sini (Tenang).
“Tapi   MCA sudah 53 tahun merdeka tapi tidak tolong bangsa sendiri, dia (MCA)   hanya tahu cakap sahaja tapi tidak bantu,” kata Chai dengan nada  kecewa.
Baru-baru ini Dr Chua berhadapan dengan kecaman PAS kerana mendakwa Normala enggan bersalaman dengan pengundi-pengundi lelaki.
Pada   pilihan raya kecil DUN Tenang ini, Pakatan Rakyat meletakkan Normala,   Ketua Muslimat PAS Labis sebagai calon manakala BN pula diwakili bekas   Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim.
Pilihan   raya kecil ke-14 ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan   kematian penyandang Datuk Sulaiman Taha, wakil rakyat Umno-BN, pada 17   Disember lepas.
Sementara itu, seorang lagi pengundi Khoo Khai Loon, 40, berkata MCA perlu menghormati Islam dan mesti menghentikan rancangan tersebut.
“Saya   tak suka bila MCA kata mahu cakap pasal agama (Islam), tidak boleh   macam ini... Kita duduk dalam pelbagai kaum, kena jaga juga.
“MCA   kena hentikan, janganlah sebab nak dapatkan undi (orang Cina) sanggup   gunakan agama, kita perlu menghormati setiap agama yang ada,” katanya.
Bagi Lim Chiew Ling, 35, pemilihan   Normala sebagai seorang calon PAS-Pakatan Rakyat adalah pilihan tepat   kerana bekas guru itu mempunyai kredibiliti dan pandai berpidato punya   peluang cerah untuk menang pada pilihan raya kecil kali ini.
“Sikap dia (Normala) yang peramah memang disukai oleh pengundi Cina di sini. Dia ada personaliti yang menyenangkan hati.
“Kita   tidak ada masalah siapa pun wakil rakyat yang akan dipilih yang  penting  dia boleh buat bawa pembangunan dan peluang pekerjaan kepada  penduduk  di Tenang,” katanya.
Lim juga tidak bersetuju dengan tindakan MCA yang tetap mahu memainkan isu agama dalam kempen pilihan raya kecil.
“Tidak boleh macam itu, MCA kena hentikan... Kita duduk Melayu ada, Cina ada, India pun ada. Kena saling hormat-menghormati.
“Bagaimana kalau ada orang yang mainkan pula agama kita? Mesti kita marah,” katanya.
Kelmarin Guan   Eng mendakwa tindakan MCA yang mahu membangkitkan isu negara Islam   dalam kempen pilihan raya kecil DUN Tenang kerana mahu menghalang orang   bukan Islam daripada mengenali Islam yang merupakan agama rasmi negara   ini.
Beliau berkata tindakan Dr Chua yang mahu  menyerang  PAS dengan membangkitkan isu negara Islam semata-mata mahu  menimbulkan  rasa “ketakutan” kepada pengundi bukan Melayu di DUN Tenang  terutamanya  orang Cina. -TMI