ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat lelaki yang dijumpai mati di atas siling rumah.
Hmetro | “Rupa-rupanya, dua malam kami sekeluarga tidur sebumbung dengan mayat,” kata Kamaruzaman Sahlan, 40, selepas dua pekerja syarikat pendawaian elektrik menemui mayat lelaki melecur teruk di siling rumahnya di Jalan Bukit Pasir, jam 8.30 malam kelmarin.
  Mayat lelaki berusia 50-an dipercayai penagih dadah itu dijumpai  tertiarap dan hampir seluruh badannya melecur selepas terkena renjatan  elektrik ketika cuba memotong wayar di siling rumah Kamaruzaman untuk  dicuri.
  Sebelum itu, Kamaruzaman dan keluarganya menyangka bekalan elektrik  terputus di rumah mereka sejak petang Jumaat lalu berpunca daripada  masalah pendawaian dan sama sekali tidak menyangka ia disebabkan cubaan  mencuri wayar elektrik.
  Mengimbau kejadian itu, Kamaruzaman  yang ditemui semalam berkata, isterinya, Santi Jumingan, 27, memberitahu  bekalan elektrik di rumah sewa mereka terputus sejurus dia pulang ke  rumah untuk menunaikan solat Asar jam 6 petang, Jumaat lalu.
 Kamaruzaman yang bekerja sebagai pembantu kedai melakukan  pemeriksaan rambang, tetapi gagal mengesan punca masalah sebelum  menghubungi pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk meminta bantuan.
 “Petugas TNB datang melakukan pemeriksaan pada jam 7 malam dan  memaklumkan ia mungkin disebabkan masalah pendawaian dan perlu  mendapatkan khidmat kontraktor.
 “Saya menghubungi syarikat  berkaitan dan dua pekerjanya datang membuat pemeriksaan, namun mereka  juga gagal mengesan punca masalah,” katanya.
 Menurut  Kamaruzaman, pekerja terbabit berjanji datang semula keesokan hari   melakukan pemeriksaan lebih menyeluruh termasuk sistem pendawaian di  siling.
 Selepas datang semula pada jam 8.30 malam kelmarin, dua  pekerja itu meminta izin memecahkan siling bagi membolehkan mereka  melihat sistem pendawaian.
 “Sejurus menaiki siling,  kedua-duanya terjun dan berlari keluar sebelum memaklumkan ada kaki  manusia di atas siling. Saya terkejut dan keliru mendengar kata mereka,  lalu meminta bantuan rakan, pekerja TNB membuat pemeriksaan.
  “Rakan saya datang dan melakukan pemeriksaan sebelum mengesahkan ada  mayat  lelaki di atas siling rumah saya. Saya terus membuat laporan  polis,” katanya.
 Kamaruzaman berkata, sepasukan anggota polis  dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Batu Pahat bergegas ke rumahnya untuk  mengeluarkan mayat selain melakukan siasatan.
 “Saya percaya  lelaki terbabit terlebih dulu memecahkan siling bilik air kediaman  kosong di sebelah rumah sebelum cuba memotong wayar elektrik di siling  rumah saya,” katanya.
 Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu  Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris ketika dihubungi mengesahkan  penemuan mayat itu dan dihantar ke Hospital Batu Pahat untuk bedah  siasat.