
TASEK GELUGOR, 31 Dis:   Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memohon Raja-Raja Melayu  bertindak  membersihkan nama negara apabila dua orang pemimpin negara  ini  dikaitkan dengan kezaliman terhadap rakyat asing.
"Perdana   Menteri sampai hari ini tidak pernah dilihat bersih ekoran pembunuhan   kejam Altantuya Shaariibuu dan ketika Perdana Menteri dilihat begitu   gagal membersihkan namanya, tiba-tiba sejak beberapa hari lalu berulang   lagi kehebohan tentang seorang menteri kabinet dituduh merogol warga   Indonesia yang menjadi orang gajinya.
"Pelbagai  peristiwa selepas  pembunuhan Altantuya menyebabkan Perdana Menteri  semakin dilihat tidak  bersih ekoran pembunuhan wanita Mongolia itu  manakala dokumen yang  mengaitkan menteri berkenaan dengan perbuatan  merogol orang gajinya  semakin tersebar.
"Kesemua  itu membusukkan nama negara dan  menyebabkan negara ini dipandang  hina," kata beliau kepada pemberita  selepas menyampaikan ceramahnya di  Karnival Jubli Perak PAS Tasek  Gelugor.
Mahfuz yakin Raja-Raja Melayu tidak sanggup membiarkan nama baik negara terus buruk dan warga negara ini dipandang hina akibat perkara tersebut.
"Sokongan Raja-Raja Melayu amat diperlukan untuk membolehkan rakyat menuntut supaya diadakan suruhanjaya siasatan terhadap perkara itu bagi membersihkan nama baik negara ini," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Ketika para pelabur telah pun diingatkan oleh Bank 0f America Merrill Lynch supaya mengurangkan pelaburan ke negara ini, beliau bimbang keadaan ekonomi negara akan bertambah buruk jika Raja-Raja Melayu tidak bertindak tegas dengan segera untuk membersihkan nama baik negara ini.
Sebelum itu, dalam ucapannya di karnival itu, Mahfuz mengecam keras tindakan Umno yang semakin jelas memperalatkan Raja-Raja Melayu bagi memastikan ia terus berkuasa.
Beliau menyeru Raja-Raja Melayu supaya tidak membiarkan diri mereka diperalat dan menjadi "balang oksigen" yang menyambung nafas Umno yang penuh dengan sejarah kerakusan mengkhianati orang-orang Melayu.
Sebelum ini, Mahfuz mengingatkan bahawa pihaknya akan berkempen secara ofensif dan habis-habisan ke seluruh negara untuk mendedahkan pengkhianatan Umno terhadap orang-orang Melayu.