Sabtu, 1 Januari 2011

Masalahnya Umno Tidak Mesra Masjid?

MSO |
KITA tidak faham sama ada orang faham atau tidak fungsi masjid sebenarnya. Atau pun kalau faham dalam pengertian yang sempit dan tertutup. Inilah sikap orang Islam (Melayu). Mereka menyanyangi masjid tetapi tidak memakmurkan masjid. Buat masjid besar habis juta-juta hanya digunakan pada hari tertentu saja. Istimewanya hari Jumaat atau semasa solat raya Aidilfitri dan Aidiadha saja. Lepas itu masjid sepi.

Sebuah masjid indah terletak di Bentung Pahang, sewaktu saya singgah untuk solat Subuh hanya ada tiga makmum sahaja. Empat termasuk saya. Pernah saya posting gambar itu dalam blog ini. Tok Imam pula lepas solat memberi tazkirah, pendengar hanya dua orang saja. Syabas diucapkan kepada imam berkenaan kerna menjalankan tugas. Setidak-tidaknya tazkirah itu untuk dirinya sendiri.

Jadi apakah gunanya masjid itu untuk pengembangan ilmu dan prasarana lain bagi manusia? Ia hanya untuk bermegah-megah saja atau untuk menunjukkan tingginya syiar Islam. Wei.... hidup dengan syiar ini tidak akan ke mana, ia perlu diertikan dengan memanfaat sepenuhnya.

Kalau begitulah, apa gunanya masjid? Saya pernah bercakap dengan Prof Syed Hussein Alattas, bekas tokoh Sosialis. Dia persoal pembinaan masjid Sultan Abdul Aziz Shah Alam membazir. Baik wang itu digunakan untuk kegunaan rakyat dalam aspek lain, katanya. Mungkin kata-kata itu skeptikal, tetapi ada benarnya kalau dilihat kepada nasib masjid dan surau di sesetengah negeri ini. Ianya makmur hanya pada waktu tertentu saja.

Masjid sebenarnya tidak digunakan seoptimumnya. Ia tidak seperti stesen bas, atau pun lapangan terbang. Di mana orang menggunakan 24 jam. Apakah ada larangan untuk berbuat begitu kepada masjid? Tidak ada, malahan ianya dianjurkan supaya dimakmurkan untuk kepentingan ummah dan ad-den.

Dalam usaha ini maka masjid dibukakan sepenuhnya. Pintunya jangan dikunci untuk orang ramai. Pada saya menjaga masjid dengan menguncinya, melarang kegiatan apa saja yang dibenarkan syarak adalah satu penghinaan kepada masjid. Inilah tindakan membunuh fungsi masjid.

Pandangan sesetengah orang tidak boleh dijalankan kegiatan politik, atau membenarkan bukan Islam menghampiri masjid adalah satu penjagaan tidak relevan terhadap masjid. Penjagaan begitu menjauhkan orang kepada masjid. Secara tidak langsung sikap ini adalah orang yang ingin mematikan masjid bukan hendak memakmurkan masjid. Pemikiran dan tindakan sebegini harus ditinjau dan bukan diterima bulat-bulat. Belah dadanya dan tengok warna hatinya. Istana syaitan adalah hati kata para hakikat.

Pada saya tidak kira kalau pun kegiatan itu bermotif politik atau tidak. Yang penting kegiatan itu meneuhui syarak. Syarak ini termasuk berpakaian, suasana dan juga percakapan yang digunakan. Saya tidak fikir jemaah masjid atau surat tidak memahami ini. Bukankan setiap apa yang hendak dijalankan dimasjid perlu meminta kebenaraan jemaah masjid?

Berkempen untuk politik pada saya tidak mengapa, asalkan baik. Tidak kisah siapa, Umno, Pas atau pun lain-lain. Kebaikan boleh disuarakan kepada seisapa saja atas masjid, tidak kira dia siapa. India, Cina, Kadzan atau Asli boleh menggunakan selagi ianya menjurus kepada kebaikan. Baik dalam konteks ini bukan saja dalam soal-soal hukum tetapi mengajak orang menjaga keselamatan diri, menyeru orang buang merokok dan sebagainya adalah perbuatan baik.

Kita jangan rigid dan jumud bila sebut masjid hanya kena bercakap soal Quran dan hadith saja. Fahamilah bahawa apa yang kita buat dengan niat yang baik adalah ibadat. Jangan seksakan masjid hanya dengan solat sahaja.

Soalnya kenapa kita merasa begitu gerun dan takut kepada masjid. Merasa sayang tetapi tidak memberi erti kepada kita. Dalam hal ini Umno nampak begitu takut dengan penggunaan masjid. Ketakutan Umno ini sejak dari dulu lagi. Ia adalah didikan penjajah agar tidak bercakap politik. Kerana penjajah tahu dalam masjidlah tempat berkumpul orang Melayu dan Islam. Mereka takut kegiatan politik untuk menyerang mereka dilakukan dalam masjid. Ini tujuan dan sebabnya. Malangnya kita terikut sampai ke hari ini mengikut larangan penjajah itu yang akhirnya menyebabkan kita rugi.

Kenapa Umno takut untuk menggunakan masjid? Oh kononya tak nak cemarkan masjid daripada politik. Apakah bercakap di dalam dewan sekolah, atau PWTC dan hotel besar berbohong mengata orang, memperdayakan rakyat dengan berbagai slogan, itu tidak berdosa kerana ia diucapkan di luar masjid? Melaikat perbuatan jahat kita bukan saja di dalam masjid tetapi diluar juga. Mungkin kerana Umno berfikir di dalam masjid banyak malaikat maka mereka takut. Kenapa harus takut kalau kita berkata benar?

Apakah memaki hamun, memfitnah dan mengaibkan orang di dalam surat khabar atau tv itu dibenarkan dan tidak dikira dosa kerana ianya berlaku di luar masjid? Tanggapan itu salah sebenarnya. Berbohong tidak boleh di mana-mana saja hatta di dalam jamban tahi. Tetapi bila Umno kono hendak menjaga masjid takut mencemar rumah Allah itu dengan pembohongan lantas melarang orang lain ia tidak betul.

Saya rasa orang yang bercakap dalam masjid akan lebih berhati-hati daripada bercakapa di luar masjid. Ini secara tidak langsung masjid sudah menjaga akhlak manusia. Mengawal secara spritual akan diri manusia daripada bercakap yang bukan-bukan. Inilah faedah dan fadilatnya menggunakan masjid.

Soalnya kini kenapa Umno begitu dengki dengan pengumarakan masjid ialah kerana mereka menjauhi masjid. Umno tidak mesra masjid. Umno tidak mesra surau. Umno lebih mesra dengan hotel lima bintang atau pun tempat eksklusif. Hakikat ini boleh lihat apa yang berlaku di Selangor sekarang. Semua masjid baik di kampung dan dipinggir bandar penuh sesak dengan jemaah. Ini berlaku sejak Pakatan Rakyat memerintah Selangor. Paslah yang menggerakan (umara) masjid. Terasa sekali akan kehebatan dan kemakmuran masjid di zaman Pakatan ini. Syabas kepada Pengerusi Agama, Dr Hassan Mohamad Ali.

Pergilah ke mana-mana masjid bila ada ceramah, penceramahnya orang pas. Kadang-kadang imam orang Pas. Kadang-kadang semua jawatankuasa orang Pas. Dulu semasa Umno memerintah Selangor dengan Khir Toyo (yang baru ini dicharge rasuah), masjid kosong. Kerana apa kerana Umno takut dan gerun nanti berdosa untuk menggunakan masjid selain daripada tempat bersolat Jumaat sahaja.

Itu yang saya kata tadi kita membaca sejarah penggunaan masjid, tetapi kita tidak memahami fungsinya. Fahaman kolot dan jumud seharusnya dibuang oleh Umno. Umno juga kena menggunakan masjid, buat aktiviti kalau tidak boleh nak buat tazkirah seperti Pas, anjur aktiviti lain. Futsal juga boleh dimainkan di masjid, takraw juga dimainkan di masjid. Rasanya ianya tidak rugi dan setidak-tidaknya kalau ada pemain dan penonton yang ada sikit iman boleh mengerjakan solat waktu kerana mereka sudah berada hampir dengan masjid.

Saya rasa kalau Umno mengambil kaedah ini tidak timbul rasa takut dan nak melarang orang ramai menggunakan masjid. Tidak berlaku kritikan kepada Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching bersenamrobik di perkarangan Masjid Taman Cheras. Umno boleh panggil Shahrizat ataupun Ng Yen Yen buat senamrobik dan bukannya marah tidak tentu fasal kepada Nie Ching. Rasnaya Rosmah juga tidak masalah kalau hendak bersenamrobik di masjid. Apa salah kalau lepas solat Subuh bersenamrobik sesudah ramai-ramai buat solat duha, tak salah. Tenguk pula gelanggang siapa yang lebih ramai?

Senamrobik adalah untuk kesihatan. Dan penggunaan laman masjid untuk itu, sepatutnya disambut baik kerana ia memanfaatkan laman rumah Allah. Rumah Allah adalah untuk semua. Selagi kita yakin bahawa semua mahkluk ini adalah ciptaan Allah maka ia berhak untuk menggunakan rumah Tuannya, atas apa saja tujuan. Cuma kalau perbuatannya ad normal, itu perlulah dilarang kerana menjaga kesucian rumah yang agung itu. Rumah yang agung bukan seperti dewan-dewan tokong.

Tanggapan mengatakan perbuatan itu (senamrobik) kerana politik, tidak usah ceritalah. Apakah yang Umno buat bukan politik? Melarang penggunaan masjid, membuang imam mengajar tanpa tauliah juga tindakan politik. Cuma tindakan politik Umno nampak dangkal dan rakus tidak berkualiti berbanding tindakan dilakukan oleh MP DAP itu.

Makanya, Umno belajarlah daripada Pas atau DAP kalau mereka mahu disokong oleh orang ramail. Cara Umno lakukan kini bukan mendekatkan orang China tetapi menjauhkan mereka daripada institusi mereka yang semakin lumpuh dan rapuh. Umno tidak perlu malu dan segan untuk meniru sesuatu yang baik. Malahan kalau Umno buat ia lebih menyenangkan kerana boleh dikatakan kunci masjid berada di tangan Umno.

Kalau ini dapat dilakukkan - Umno ke masjid tentu semua masjid negara kita akan penuh kerana semua Melayu bersatu dalam masjid. Kebersatuan itu juga nanti akan dilihat betapa teguh dan solidnya kita kepada keimanan