Sabtu, 20 November 2010

Pegawai polis dilatih jadi 'pakar' judi

ISMAIL (duduk dua dari kiri) bersama pegawainya mendengar taklimat mengenai mock kasino di di Maktab PDRM di Cheras semalam. Duduk di sebelah Ismail Timbalan Presiden Eksekutif Operasi Resort Genting Malaysia Berhad, Kevin Sim Kia Ju.

Kosmo | KUALA LUMPUR - Polis telah mewujudkan makmal kasino atau mock casino yang didirikan di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras di sini bagi melatih pegawai dan anggotanya supaya menjadi pakar dalam menangani jenayah perjudian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, mock casino tersebut didirikan dengan peruntukan RM198,000 manakala peralatan dan kelengkapan perjudian bernilai RM110,000 disumbangkan oleh Genting Malaysia Berhad.

Menurut beliau, penubuhan makmal yang mirip kasino sebenar itu yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan perjudian seperti roullette, mesin slot dan cip bertujuan melatih pegawai JSJ menjadi pakar dalam judi.

"Ibarat untuk menangkap pencuri, perlu jadi pencuri," ujar Ismail.

Kata Ismail, sejak tahun 2000 sehingga 2009, seramai 318 pegawai telah dihantar menjalani kursus di makmal tersebut dan mereka telah diiktiraf sebagai pakar judi.

Ismail berkata demikian di Maktab PDRM ketika beliau memperkenalkan tiga inisiatif baru PDRM bagi memperkasakan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dalam penyiasatan dan membanteras kegiatan jenayah.

Selain mock casino, dua lagi inisiatif baru yang diumumkan oleh Ismail ialah penerbitan buku manual Prosedur Operasi Standard (SOP) siasatan jenayah berat dan laman Portal JSJ

Budak Aids dakwa anak gitaris May


Hmetro | TELUK INTAN: Seorang kanak-kanak perempuan yatim piatu berusia sembilan tahun dan menghidap Aids mencetuskan misteri apabila mendakwa dia anak pemain gitar kumpulan rock May, sedangkan pemuzik itu masih hidup dan langsung tidak mengenalinya.

Kanak-kanak itu yang mahu dikenali sebagai S mendakwa, ayah, ibu serta adiknya yang berusia empat tahun semuanya meninggal dunia akibat Aids dan dia dijangkiti penyakit berbahaya itu daripada ibu dan bapanya.

“Ayah saya seorang pemain gitar, dia meninggal dunia lima tahun lalu kerana Aids. Ibu juga meninggal dunia kerana penyakit sama pada Jun lalu manakala adik meninggal dunia tahun lalu,” katanya.

Ketika ditanya lebih lanjut siapa ayahnya, S mengeluarkan poster kumpulan May dan menunjukkan gambar pemain gitar bass, Yus sebagai ayahnya.

Bagaimanapun, S memberitahu nama ayahnya adalah Md Nor sedangkan nama sebenar Yus adalah Mohd Mokhtar Mohd Madin, 48.

Ibu saudara S yang enggan identitinya didedahkan mengiakan dakwaan murid darjah tiga itu bahawa Yus ayah kanak-kanak itu.

Menurutnya, S kini terpaksa bergantung hidup dan mengharap belas kasihnya dan besar kemungkinan hanya menanti detik ajal seperti dilalui ahli keluarganya lain.

Katanya, dia bersimpati terhadap nasib dilalui anak saudaranya itu dan menjaganya selepas adik perempuannya meninggal dunia pada Jun lalu.

“Adik saya sebelum ini berkahwin dengan artis kumpulan rock terkenal berkenaan sebelum dikurniakan dua cahaya mata berusia empat dan sembilan tahun.

“Namun segalanya penuh misteri apabila suami adik saya itu yang berusia 38 tahun mati mendadak kira-kira lima tahun lalu tanpa diketahui punca kematiannya, manakala anak lelaki mereka yang berusia empat tahun menghembuskan nafas terakhir tahun lalu sebelum adik perempuan saya itu mati mengejut pada Jun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Wanita itu mendakwa, arwah adiknya tidak pernah mendedahkan penyakit dialami dan dia hanya mengetahui punca kematian itu selepas dimaklumkan pihak hospital.

“Adik saya tidak pernah berterus-terang dan memberitahu menghidap Aids sehingga dia menghembuskan nafas terakhir. Mungkin dia malu atau mahu menjaga nama baik keluarga.

“Kini, saya perlu membawa anak saudara saya (S) ke hospital untuk menjalani pemeriksaan darah dan mengambil ubat bagi merawat penyakitnya,” katanya.

Katanya, biarpun mengalami demam dan batuk yang berterusan, S aktif dan lincah seperti kanak-kanak lain seusianya, malah memasang impian menjadi doktor haiwan apabila besar.

Menurutnya, pihak sekolah sudah mengetahui penyakit S dan mereka sudah maklum mengenai langkah yang perlu dilakukan sepanjang anak saudaranya itu berada di sekolah termasuk ketika makan dan menyertai aktiviti sukan.

Ketika ditemubual, S tidak putus-putus menahan batuk dan setiap kali batuk dia akan menutup mulutnya dengan tangan.

Selasa, 16 November 2010

SPR: Penempatan tentera tingkatkan pengundi pos



Mkini | Timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, penambahan pengundi pos di satu-satu kawasan mungkin melibatkan beberapa faktor, termasuk program penempatan tentera bagi suatu tempoh tertentu.

Ia juga mungkin melibatkan pembinaan kem tentera atau balai polis baru serta tindakan pasangan kepada anggota keselamatan berkenaan untuk turut sama mengundi pos, katanya lagi.

"Mungkin ia melibatkan penempatan sementara di satu-satu kem itu untuk tugas-tugas khas seperti kawalan sempadan, melibatkan tempoh setahun atau dua tahun.

"Selain daripada itu, saya tidak fikir ada sebab lain berlakunya pertambahan pengundi pos," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan daripada PAS Pulau Pinang semalam yang curiga dengan penambahan jumlah pengundi pos di beberapa kawasan negeri itu melalui beberapa kes yang penukaran status pengundi yang dikesan.

PAS Pulau Pinang khuatir penambahan sebenyak 630 orang seperti yang dikesan di kawasan parlimen Tasek Gelugor itu akan digunakan BN untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 yang dijangka berlangsung tahun depan.

Perkembangan itu dicurigai kerana pengundi pos berkenaan sebelum ini telahpun mengundi sebagai pengundi awam, namun kini didakwa telah hilang kelayakan tersebut.

"Kalau benar seperti yang PAS Pulau Pinang dakwa itu (peningkatan jumlah pengundi pos), ia mungkin melibatkan peningkatan jumlah pasangan anggota keselamatan yang memohon menjadi pengundi pos.

"Tapi di kawasan itu saya tidak tahu berapa jumlah dia. Saya kena semak dengan pengawai saya di Pulau Pinang," kata Wan Ahmad lagi.

Ditanya lanjut, beliau menjelaskan bahawa peningkatan atau pengurangan jumlah pengundi pos di seluruh negara biasanya tidak akan melebihi jumlah seramai 200,000 orang pada satu-satu masa.

"Sebab ada yang akan bersara tapi kemudian ada pula kemasukan baru," katanya yang menegaskan bahawa permohonan untuk menjadi pengundi pos tidak boleh dilakukan tanpa kehadiran pengundi itu sendiri.

"Di bawah undang-undang (pasangan berkenaan) boleh memohon untuk menjadi pengundi pos seperti suami (atau isteri) dia.

"Kita melantik pegawai yang mewakili SPR (untuk mendaftar). Tapi pengundi berkenaan perlu hadir sendiri dan mereka kena tandatangan Borang B untuk untuk memohon sebagai pengundi pos," katanya lagi.

Sementara itu, satu laporan hari ini menyebut, seramai 10,000 orang anggota PGA akan ditempatkan di Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor sebagai sokongan kepada fungsi kawalan keselamatan dalam negeri oleh pasukan polis.

Langkah itu melibatkan pengambil alihan kawalan persempadanan negara oleh Angkatan Tentera Malaysia yang sebelum ini dikawal oleh PGA melalui perjanjian selama enam bulan.

Rombakan kabinet minggu depan?



FMT | Khabar angin dan spekulasi tercetus mengenai rombakan kabinet yang dijangka diumumkan minggu depan atau awal bulan Disember, kata sumber-sumber hari ini.

Empat menteri disebut-sebut akan digugurkan. Mereka ialah Datuk Ahmad Shabery Cheek (Menteri Belia dan Sukan); Datuk Shaziman Mansur (Kerjaraya); Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Datuk Seri Ng Yen Yen (Pelancongan).

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dikatakan akan dibawa masuk ke kabinet menjadi timbalan menteri.

Beberapa menteri pula dijangka bertukar kementerian. Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang kini menteri dalam negeri dipindahkan ke kementerian pertahanan.

Dua bekas menteri – Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur yang kini setiausaha agung BN dan bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said akan kembali ke kabinet.

Sementara Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan akan menjadi menteri penuh.

Ini merupakan rombakan kedua Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sejak mengambilalih jawatan dari Tun Abdullah Ahmad Badawi, April tahun lalu.

Dalam rombakan pertama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar; Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Azalina digugurkan.

"Terdengar khabar Najib akan mengumumkan rombakan tersebut selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya Rabu depan," kata sumber itu.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dijangka akan menjadi ketua penerangan Umno yang baru.

Beliau menggantikan Ahmad yang mula memegang jawatan itu, April tahun lalu.

Idris merupakan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dan wakil rakyat Jerteh di Terengganu.

Sabah Miskin Sebab Pemimpinnya - Karim Ghani


TVS | Bekas pengasas Umno Sabah, Datuk Karim Ghani mengakui kesahihan laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) oleh Bank Dunia, bahawa Sabah dikategori sebagai negeri miskin.

Laporan itu menyebut kedudukan negeri itu yang mewakili 10 peratus penduduk Malaysia dengan 40 peratus daripada rakyat dikategorikan sebagai miskin.

Beliau yang menyanggah kenyataan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Negeri Sabah yang menafikan laporan MEM berkenaan.

Katanya ia adalah disebabkan perjanjian ketika sewaktu pembentukkan Malaysia tidak ditunaikan.

"Sabah negeri kaya, yang miskin rakyatnya dan yang kaya juga pemimpinnya. Laporan Bank Dunia itu yang betul," ujar beliau yang berhasrat menghidupkan semula Usno di Sabah.

Berhubung tindakan EPU menyanggah laporan tersebut, beliau berkata ia kerana kerajaan Barisan Nasional(BN) sengaja tidak mahu mengakui rakyat Sabah miskin.

"Kenyataan yang asyik diulang-ulang oleh pemimpin Sabah, hujung tahun ini semua rakyat sudah keluar daripada kemiskinan.

"Sabah kaya...kita ada minyak, ada kayu balak, ada kelapa sawit tapi rakyatnya miskin disebabkan pentadbiran yang tidak betul.

"Yang dimajukan cuma bandar dengan bangunan yang mencakar langit tetapi di luar bandar, orang masih lagi merempat.

"Seperti di Batu Sapi, kalau kita tengok tempat orang Islam di sana, air mata saya pun menitis kerana merempat sedangkan Batu Sapi itu tempat Ketua Menteri, banyak dengan kayu balak dan kelapa sawit," tegas beliau.

Menurut Karim lagi, Umno-BN sengaja membiarkan rakyat Sabah di dalam keadaan daif supaya undi mereka senang dibeli setiap kali pilihan raya diadakan.

"Ini adalah soal kepimpinan, kalau pemimpin mentadbir dengan baik, apa parti pun baik tetapi sejak tahun 1985 keadaan rakyat Sabah bertambah buruk. Rata-rata pekerja di Sabah, berpendapatn kurang daripada RM 500,00 kecuali pegawai kerajaan dan para pimpinan atasan," terangnya lagi.

Beliau kemudian membidas projek mega seperti membina terminal lapangan terbang yang berharga RM 1.2 bilion yang dakwanya tidak memberikan manfaat kepada rakyat Sabah terutamanya yang tinggal di kampung-kampung yang langsung tidak pernah menjejak kaki ke terminal tersebut.

"Projek mega memang nampak indah tapi projek di kampung, apa yang ada.

"Buat jalan raya tapi tidak mendatangkan hasil kepada rakyat jadi macam mana hendak menambah pendapatan rakyat supaya dapat keluar daripada kemiskinan," yang pernah sama-sama berjuang bersama tokoh kemerdekaan Sabah Tun Datu Mustapha Datu Harun.

Isu Gambar Cium, Qasha Enggan Ambil Tindakan


Mstar | PETALING JAYA: Pelakon baru, Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen,18, atau Qasha tidak berhasrat mengambil sebarang tindakan selepas gambar “panas” kononnya aksi dia dengan juara raja lawak, Nabil Ahmad,27, bercium tersebar.

Beritahu Qasha, dia lebih selesa untuk berdiam diri sehingga kontroversi itu hilang begitu sahaja.

"Buat apa saya nak ambil tindakan? Saya lebih selesa untuk mendiamkan diri dan biarlah orang nak fikir apa-apa pun kerana saya telah menafikannya.

"Sekarang ini, walaupun saya menidakkan gambar tersebut, ia telah pun tersebar dan orang boleh melihatnya pada bila-bila masa. Jadi, kalau kita nak ambil tindakan, ia tak mendorong apa-apa pun.
Nabil melalui kontroversi baru selepas putus cinta dengan Irma Hasmie.

"Oleh itu, saya mahu senyap seketika dan tenangkan fikiran," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Tambah Qasha, walaupun kontroversi itu melanda dirinya, dia tetap tabah dan cuba meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Kebetulan pula sempena dengan Hari Raya Aidiladha ini, saya mahu berada di samping keluarga di Kelantan. Saya mengakui saya rasa tertekan dan fikiran saya kosong akibat kejadian ini. Tetapi sekarang ini saya dah okey. Hidup perlu diteruskan," ujarnya tenang.

Ahad lalu sebuah akhbar mingguan menyiarkan gambar panas yang dikatakan milik kedua-dua pelakon itu tetapi mereka menafikannya.

Sebaliknya Qasha dan Nabil mendakwa ia hanyalah teknik “super impose” berteknologi tinggi yang dibuat untuk menjatuhkan kerjaya mereka.

Umno Tipu Lagi... Akaun wang ihsan pelajar tiada duit?

Wartawan Kita | HD

KOTA BHARU, 16 Nov: Anehnya wang ihsan sebanyak RM15 juta dikatakan telah diagih kepada pelajar miskin, namun sehingga kini ramai ibu bapa mendakwa akaun bank anak mereka yang dibuka tidak ada duit.

Mereka memberitahu pelajar yang disenarai mendapat wang ihsan diminta pihak sekolah membuka akaun bank bagi membolehkan wang ihsan disalurkan.

“Malangnya ketika saya semak akaun anak saya minggu lepas tidak ada wang yang dimasukkan,” dakwa seorang bapa dari Kuala Krai.

Difahamkan setiap pelajar miskin diuar-uarkan mendapat wang ihsan antara sebanyak RM150 hingga RM200.

Pelajar yang disenaraikan mendapat wang tersebut dipastikan tidak mendapat bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).

Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan, Datuk Dr Awang Adek Hussin mendakwa wang ihsan sebanyak RM15 juta telah dibelanjakan daripada RM25 yang diperuntuk tahun ini.

Menurutnya bakinya sebanyak RM10 juta lagi besar kemungkinan digunakan bagi bantuan banjir.

Bagaimanapun di Kampung Manek Urai ramai penyokong Umno difahamkan mendapat wang ihsan bagi membaiki rumah bernilai lebih RM5,000 setiap seorang.

Hampir kesemua rumah penyokong Umno di kampung tersebut dibaiki di mana ada yang membesar bahagian hadapan, dapur dan menukar zink serta dinding baru.

Malah pada kempen pilihan raya kecil Dun Galas Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan mengedarkan risalah projek mega kerajaan Barisan Nasional (BN) Dun Galas dari sumber royalti minyak.

Projek yang disenaraikan pada risalah tersebut termasuk mewujudkan Berjaya Gua Musang Theme Park yang digambarkan seperti pusat perjudian di Genting Highlands bernilai RM1.5 bilion.

Selain itu cadangan projek Golf Club & Country Resort bertaraf 5 Star bernilai RM850 juta.

Kesemua cadangan tersebut bernilai lebih RM2 bilion iaitu sama dengan jumlah wang royalti yang dituntut kerajaan negeri sejak tahun lepas.

Sedangkan sebelum ini pemimpin Umno berkali-kali menafikan Kelantan mempunyai hak ke atas royalti minyak kerana kedudukan telaga di luar kawasan tiga batu nautika.

Seorang lagi bapa juga dari Kuala Krai mendakwa ketika beliau ke bank bagi menyemak status akaun wang ihsan anaknya tidak ada wang yang dimasukkan ke dalam akaun tersebut.

Program wang ihsan juga menjadi bahan kempen Umno untuk menarik ibu bapa hadir ke sekolah.

Kelmarin program serupa diadakan di Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim 2 Pasir Mas di mana ibu bapa dipaksa hadir pada program pengagihan wang ihsan.

Seorang bapa yang juga pegawai kerajaan pusat mendakwa program tersebut dirasmikan seorang pemimpin Umno di Pasir Mas.

“Ceramah Pemuda Umno Pasir Mas itu bukan mengenai pendidikan sebaliknya mengenai politik Umno dan mencemuhkan pihak lawan.

“Saya lihat ramai ibu bapa yang hadir keluar dewan kerana mereka ditipu hadir bagi mendengar ceramah pemimpin Umno yang berselindung di sebalik program pengagihan wang ihsan,” ujarnya.