Jumaat, 8 Oktober 2010

Kes Sosilawati: Jesyntha, Isteri Kedua Suspek Ditahan

Selepas bersembunyi dan menjadi buruan polis sejak identitinya didedahkan Isnin lalu, wanita paling dikehendaki, Jesyntha Clarene Isreal yang dipercayai mampu menyelesaikan kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, ditahan polis sebaik menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, petang semalam.

Jesyntha, 27, yang alamat terakhirnya di Lot 55, Batu 1/2 Jalan Jugra, Banting, Selangor, sebelum ini gagal dikesan dan bersembunyi selepas menjadi buruan polis.

Difahamkan, dia yang juga isteri kedua kepada seorang daripada suspek kes pembunuhan kejam itu dikehendaki kerana dipercayai mempunyai maklumat mengenai perancangan dan kejadian pembunuhan berkenaan.

Jesyntha hadir menyerah diri bersama peguamnya kira-kira jam 5 petang dan polis menahannya bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik terbabit.

Pusat Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, semalam, melalui laman web facebook rasmi PDRM memaparkan maklumat terkini mengenai penahanan terbabit, namun beberapa pegawai PDRM yang dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya enggan memberi ulasan.

Difahamkan, polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap wanita terbabit hari ini.

Selasa lalu, wajah dan maklumat wanita itu tersebar kepada umum melalui media dan orang ramai diminta membantu polis untuk mengesannya.

Sementara itu, tiga suspek utama kes pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya ditahan semula semalam bagi membantu siasatan kes kehilangan dua ahli perniagaan yang dilaporkan hilang awal tahun ini. -hmetro

Pemilik kereta Gen2 dan Satria Neo diminta rujuk Proton



Pengeluar kereta nasional, Proton, semalam mengumumkan panggilan semula sukarela bagi model kereta Gen.2 dan Satria Neo yang dikeluarkan antara 2004 dan 2008 disebabkan kerosakan pada komponen ‘Clock Spring’ yang mungkin boleh menjejaskan keselamatan.

Panggilan semula sukarela itu sebahagian daripada program Jaminan Kualiti Global Proton membabitkan 15,911 (2%) daripada 660,000 kereta yang dikeluarkan sepanjang tempoh empat tahun. Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Berhad, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata ‘Clock Spring’ berkenaan menyambungkan beberapa suis dan beg udara kepada radio, hon dan cruise control.

“Walaupun jumlahnya kecil, keselamatan pelanggan adalah keutamaan kami dan memohon maaf atas apa jua masalah yang timbul daripada aktiviti ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Menurutnya, ujian rutin mengenal pasti kerosakan Clock Spring itu boleh menyebabkan masalah, antaranya bunyi geseran di dalam stereng, hon berbunyi atau lampu kereta terpasang tanpa amaran, kerosakan suis kawalan audio dan dalam kes ekstrem, pelepasan beg udara sebelah pemandu.

Syed Zainal Abidin berkata, panggilan semula ini adalah komitmen pihaknya terhadap keselamatan pelanggan dan prestasi kenderaan di bawah program Jaminan Kualiti Global Proton.

“Kami berharap pelanggan memahami bahawa panggilan semula ini perlu bagi memastikan mereka terus yakin terhadap keselamatan dan prestasi kenderaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, pemilik kenderaan terbabit boleh menghubungi mana-mana pusat servis Proton yang sah untuk membuat temu janji bagi mendapatkan pemeriksaan percuma. Semua kos kerja dan alat ganti berhubung penggantian Clock Spring itu akan diberikan percuma dan Proton akan memaklumkan pemilik kenderaan terbabit mengenai perkara ini melalui pos.

Pada masa yang sama, Proton menyediakan laman web di alamat www.protonaftersales.com untuk pelanggan memeriksa sama ada kenderaan mereka antara yang terbabit dengan memasukkan nombor casis atau merujuk kepada panduan bergambar disediakan. Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi Proton i.Care di 1-300-880-888, atau wakil jualan terdekat. -hmetro

Khamis, 7 Oktober 2010

Muhyiddin 'berubah' kerana mengejar kerusi no 1

Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub berkata, mantan bosnya Tan Sri Muhyiddin Yassin kini berubah menggunakan pendekatan “mengapi-apikan sentimen Melayu” disebabkan penangan kerusi perdana menteri yang sedang diintainya.

Mustaffa – bekas setiausaha politik Muhyiddin selama empat tahun sehingga Disember 2008 - berkata perkara itu juga disebabkan keadaan politik sekarang berbeza berbanding ketika Muhyididin memimpin kementerian belia dan sukan lebih sepuluh tahun lalu.

“Ada perbezaan pendekatan sebab dalam hal sekarang ini, beliau sudah mula mengintai kerusi nombor satu negara,” katanya ketika ditanya sama ada Muhyididin masih merupakan orang yang sama.

“Jadi sebab itu (sekarang ini), segala langkah yang beliau (Muhyiddin) ambil, sifatnya adalah untuk mengintai peluang kerusi nombor satu negara.”

Mustaffa - yang meletakkan jawatan bagi menyertai reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim – berkata, pendekatan Muhyididin kini “berganjak” kerana kedudukannya dalam Umno tidak lagi “terancam”.

Sebelum ini, menurut Mustaffa, Muhyiddin bergelut membuang label sebagai “orang kanan Anwar”, antaranya kerana menjadi antara menteri terawal melawat Anwar setelah dibebaskan daripada penjara.

Alat Dr Mahathir

“Sehingga dalam banyak keadaan (pada masa itu) beliau agak tersisih daripada arus perdana politik (perdana menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) pada masa itu.


“Tetapi kini beliau sudah dapat rasakan ada kekuatan yang tersendiri, oleh itu pendekatan dan imej yang beliau ketengahkan agak berbeza berbanding 10 tahun lalu,” kata aktivis belia dan NGO Islam itu.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini di Kuala Lumpur tengah hari semalam, Mustaffa tidak menolak kemungkinan timbalan perdana menteri “yang sukar senyum tetapi berhati baik” itu mungkin diperalatkan Dr Mahathir bagi menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap Datuk Seri Najib Razak.

“Dalam konteks politik Umno, hal itu mungkin saja berlaku,” katanya sambil berkata perkara itu mungkin bertujuan mempertahankan legasi panjang pemerintahan Dr Mahathir sebelum ini.

Tanpa segan, Mustaffa - yang kini mengorak perjalanan politiknya sendiri melalui PKR dan mula menggapai kedudukannya yang sama dengan Muhyiddin dalam Umno sebagai timbalan – sanggup berdebat dengan mantan bosnya itu berhubung isu Melayu.

“Apa yang tidak betul, kita akan kritik, termasuk (isu) yang terbaru ini. Beliau yang kita faham berada di belakang PERKASA (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) membawa sentimen Melayu... Dan saya sedia mencabar beliau (nyatakan) juga bagaimana bentuk Melayu yang kita ketengahkan?

Tiga persamaan dengan Muhyididin

“Apakah Melayu yang boleh mengizinkan rasuah boleh berleluasa? Atau apakah pimpinan Melayu boleh membenarkan penyelewengan wang rakyat terbiar begitu sahaja?” soal Mustaffa bertubi-tubi.

“Jika ingin beliau gunakan sebagai alat untuk memenuhi aspirasi serta serakah politik Umno, itu kita akan serang habis-habisan. Dan jika beliau ingin berdebat, kita juga sedia berdebat dengan beliau dalam hal itu.”

Menurut analisis Mustaffa juga, dalam masa yang sama pendekatan Muhyiddin dilihat berbeza dengan Najib yang menurutnya cuba mengambil hati masyarakat bukan Melayu.

“Itu sifatnya (politik) pedang bermata dua, double standard dalam politik yang mereka lakukan,” kata Mustaffa.

Menegaskan PKR mengamalkan politik nilai yang tidak berasaskan perkauman, 'politik lama' Umno dan BN itu sudah mula pecah, terutamanya apabila peneroka Felda dan Felcra sebagai penyokong kuat kerajaan didakwa sudah berubah.

Bagaimanapun, di sebalik semua kritikan keras itu, Mustaffa mengakui, beliau pada 12 tahun lalu berkongsi tiga persamaan dengan Muhyididin, iaitu saling menekuni aspek kepemudaan, hampir dengan nilai keagamaan dan memberi “dokongan baik” kepada Anwar.

Karektor itulah yang mungkin mewujudkan keserasian antara mereka dalam satu pasukan, akui Mustaffa.

~MK~

Susu Naik Harga

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak mempunyai kuasa untuk menyekat kenaikan harga susu di negara ini sekiranya harganya meningkat di pasaran dunia.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata harga penjualan susu termasuk produk tenusu tempatan dijangka meningkat tidak lama lagi disebabkan kenaikan harga bahan mentah di pasaran dunia.

"Kenaikan itu tidak dapat dielakkan memandangkan pengeluar dan pengilang tempatan terpaksa menanggung kos belian import yang tinggi.

"Biasalah, apabila kita beli barang dengan harga mahal, sudah pasti kita terpaksa jual dengan harga yang lebih tinggi. Bagaimanapun, buat masa ini harga susu kita masih dikekalkan seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan di Seremban 2 di Seremban hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar berhubung harga tepung susu tanpa lemak yang merupakan bahan mentah tenusu utama dijangka meningkat kepada lebih US$3,000 (RM9,630) satu tan metrik tahun ini berbanding AS$2,100 (RM6,741) satu tan metrik dalam suku keempat tahun lalu.

"Sekatan harga tidak boleh dilakukan ke atas barangan itu disebabkan ia di luar dari kawalan kita. Ini kerana kita membeli barang yang diimport. Perkara ini sudah banyak kali berlaku. Sebagai contoh, bawang putih, harganya terpaksa dinaikkan berikutan harga import dari China turut meningkat," katanya.

Katanya meskipun kementerian akan membentangkan Akta Anti Pencatutan 2010 di Parlimen bulan ini bagi tujuan menyekat peniaga mengaut keuntungan tidak munasabah, ia masih tidak boleh menghalang pengeluar untuk menaikkan harga barang itu.

"Ini kerana sekiranya pengeluar mempunyai bukti bahawa harga bahan mentah itu benar-benar meningkat di seluruh dunia, maka kita tidak boleh menghalang ataupun mengambil tindakan terhadap mereka menaikkan harga susu. Akta ini hanya boleh menyekat dan mengenakan tindakan terhadap peniaga yang menjual barangan untuk mencari keuntungan berlebihan tanpa sebab yang munsabah.

"Sebagai contoh, topeng muka, peniaga beli 30 sen dan jual 50 sen tetapi apabila permintaan meningkat dan mereka masih membeli dengan harga 30 sen sekeping tetapi jual sampai RM5, yang ini memang boleh dikenakan tindakan di bawah akta ini," katanya.

Rabu, 6 Oktober 2010

Datuk Siti Nurhaliza Guna Kaedah Tabung Uji Untuk Dapatkan Anak


SITI tidak mampu untuk menolak permintaan stesen televisyen yang mahu menerbitkan program raya untuknya.


SEJAK mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006, sudah tidak terhitung jumlah soalan mengenai cahaya mata yang diajukan kepadanya.

Setiap kali disoal mengani anak, jawapan Datuk Siti Nurhaliza tidak pernah berubah.

"Masih belum ada rezeki. Insya-Allah, kalau diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata, saya akan mengumumkan kepada semua pihak. Tiada apa yang perlu hendak saya rahsiakan."

Itulah antara jawapan yang sering diberikan Siti kepada sesetengah pihak yang tidak pernah henti bertanyakan soalan itu kepadanya.

Terfikir juga, adakah mereka tidak mengerti atau sengaja buat-buat tidak faham dengan jawapan Siti itu.

Sebagai seorang bintang ternama negara, Siti tidak mungkin akan merahsiakan dan pasti akan memberitahu kepada semua pihak seandainya dia diberikan rezeki untuk menimang zuriatnya sendiri.

Lewat ini, berita kononnya Siti kini sedang hamil kembali menjadi bualan gara-gara dia membatalkan sebuah konsert di Pulau Pinang yang sepatutnya berlangsung pada 25 September lalu.

Ia dikuatkan lagi dengan surat sokongan daripada doktor pakar sakit puan dari Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur yang menyatakan Siti perlu berehat dan tidak dibenarkan menjalani aktiviti berat.

Terbaru, Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dikatakan telah bertemu dengan seorang doktor pakar bagi mendapatkan nasihat ketika berbulan madu sebelum bulan Ramadan lalu.

Bukan itu sahaja, penyanyi popular itu juga dikatakan telah diberikan dengan ubat kesuburan bagi membantu mempercepatkan lagi proses kehamilannya

Semuanya adalah usaha Siti dan Khalid yang tidak pernah lelah untuk terus mencuba menimang cahaya mata mereka sendiri.

Bertemu dengan tuan punya badan sewaktu majlis rumah terbuka anjuran SimplySiti di Restoran Saloma Bistro di ibu negara, baru-baru ini, Siti hanya tersenyum apabila diminta untuk mengesahkan berita tersebut.

Dengan nada berhemah, Siti menafikan bahawa dirinya telah mendapatkan rawatan tersebut seperti mana yang dilaporkan.

"Sewaktu bercuti ke sana, saya dan suami sempat berkunjung ke sebuah pusat akupunktur untuk mendapatkan rawatan alternatif.

"Saya rasa tidak salah untuk kita mencuba rawatan lain selain daripada bertemu dengan doktor pakar. Seperti mana yang kita tahu juga, akupunktur ini memang baik untuk kesihatan dan kita dapat tahu masalah yang dihadapi.

"Apatah lagi, kebaikan ubat dan akar kayu yang sering kali digunakan dalam rawatan itu juga dapat membantu melancarkan sistem dalam badan. Itu yang sebenarnya berlaku ketika di London dan bukannya mendapat rawatan kesuburan itu," luah penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Cindai ini tanpa selindung.

Sudah menjadi seorang isteri selama empat tahun, untuk memegang portfolio sebagai ibu memang cukup diinginkan Siti.

Sebagai hamba Allah, dia cukup sedar dan akur dengan Qada dan Qadar apabila membicarakan tentang soal cahaya mata.

Terfikir juga tidak pernahkah Siti berasa bosan untuk menjawab soalan tentang anak daripada pihak yang seolah-olah tidak faham bahasa yang berterusan bertanyakan soal itu walaupun sudah dijawab berkali-kali oleh Siti.

"Saya cukup sedar dan akur dengan kedudukan saya sebagai seorang artis dan apa sahaja tentang diri kita, masyarakat mahu ambil tahu.

"Namun, saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku kerana ini jalan yang saya pilih dan saya harus menghadapinya dengan tabah serta tenang.

"Jadi, saya tidak boleh berasa marah mahupun geram apabila soal anak sering kali diajukan kepada saya. Apa yang berlaku hanya Allah sahaja yang tahu gelodak di dalam hati saya.

"Insya-Allah, sampai waktu dan ketikanya, saya pasti akan mengumumkannya sebab ia adalah perkara yang baik. Teruskan berdoa untuk saya," pinta juara Bintang HMI 1995 ini dengan maksud yang cukup mendalam.

Siti juga tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan kaedah persenyawaan tabung uji (IVF) dalam usahanya untuk mendapatkan zuriatnya.

Namun, semuanya bergantung kepada keadaan dan masa apabila difikirkannya perlu untuk mencubanya.

Selasa, 5 Oktober 2010

Mustaffa Kamil persoal politik 'busuk' PERKASA

Naib Presiden PKR Musttaffa Kamil Ayub mempersoalkan 'sokongan' Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) terhadapnya yang dicurigai sebagai percubaan melaga-lagakan pemimpin parti itu.

NONE"Sekiranya beliau mahu melihat saya bersengketa dengan saudara Azmin (Ali) dan saudara Zaid (Ibrahim), saya nak tegaskan bahawa seluruh pemimpin PKR matang dalam menangani politik busuk PERKASA-Umno ini," katanya.

Menurut Mustafa (kiri), PKR sebagai parti berbilang kaum tidak akan berkompromi dengan sikap 'perkauman' NGO Melayu itu.

Tolak anasir ekstrim

"Sesungguhnya PKR adalah parti untuk semua bangsa. Ayuh kita tolak anasir ekstrim PERKASA dan Umno ini," kata Mustaffa yang bertanding merebut jawatan timbalan presiden PKR.

Semalam, Ketua Wira PERKASA, Arman Azha Abu Hanifah meminta semua ahlinya yang menganggotai PKR menolak Azmin sebagai timbalan presiden PKR, sebaliknya mengalihkan sokongan mereka kepada Mustaffa.

NONEIni kerana, menurut Arman Azha (kanan), Azmin sebagai naib presiden parti itu sekarang didakwa tidak berpendirian dan hanya bertindak sebagai "budak kopi" kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya harap semua anggota PKR memilih Mustaffa Kamil Ayub sebagai timbalan presiden. Beliau daripada ABIM (Angkatan Beliau Islam Malaysia), (beliau) ada agenda Islam," kata Arman Azha.

Beliau juga mendakwa, sebanyak 35 peratus NGO Melayu dengan keanggotaan 300,000 orang itu turut merupakan anggota PKR.

Dalam persaingan merebut jawatan nombor dua parti itu, Mustafa merupakan salah seorang yang menawarkan diri bertanding, di samping Azmin dan Penyelaras Pakatan Datuk Zaid Ibrahim.

Bercakap dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini, Mustaffa bagaimanapun berkata, jika sokongan yang diberikan PERKASA itu ikhlas, beliau mengucapkan terima kasih.

namewee photo burnt by perkasa members 2"Saya nak tanya, adakah ikhlas. Kalau ikhlas saya ucap terima kasih," katanya sambil menegaskan perkara itu tidak bermakna beliau menyokong NGO Melayu itu.

Katanya, walaupun menyokong membahaskan perkara berkaitan Islam dalam ruang lingkup perlembagaan, tetapi pendekatan chauvinis dan esktrim seperti PERKASA hendaklah ditolak.

Sokong bawa rebah

Ditanya tentang kepentingan sokongan itu kepadanya, Mustaffa berkata ia menarik minat ahli parti dan media.

anwar ibrahim black eye photo 020708"Tetapi saya kena pastikan supaya tak dilihat sokong membawa rebah," katanya.

Berhubung dakwaan PERKASA bahawa 35 peratus anggota NGO itu juga merupakan anggota PKR, Mustaffa berkata "tak ada angka sedemikian".

Sementara itu, mengulas kenyataan Azmin terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir yang dibidas pelbagai pihak, Mustaffa berkata seluruh ahli PKR berkongsi pandangan dengan bekas setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

"Apakah tidak boleh mana-mana pemimpin PKR mengkritik Tun? Kalau Tun seorang negarawan, beliau tidak akan aniaya rakyat dan fitnah bekas timbalan perdana menteri. Mengapa perlu bengis apabila Tun dikritik pada penghujung usianya?" soalnya kembali.