Rabu, 15 Disember 2010

WikiLeaks - KL HANTAR NOTA BANTAHAN

Kementerian Luar sudah menghantar nota bantahan kepada Singapura berhubung dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pegawai kanan kementerian itu terhadap pemimpin negara ini yang didedahkan menerusi laman web, WikiLeaks.

NONEMenterinya, Datuk Seri Anifah Aman berkata beliau memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia T Jasudasen ke pejabatnya di Parlimen pagi ini bagi menjelaskan ketidakpuasan hati negara terhadap perdedahan berkenaan.

"Ini adalah adat diplomasi dan saya pagi ini telah panggil pesuruh jaya Singapura ke Malaysia untuk hantar nota bantahan dan saya katakan kenyataan ini tidak sepatutnya.

"Oleh itu saya bertanya kerajaan Singapura apakah manfaat ataupun dari segi perhubungan dua hala yang telah terjalin sekian lama ditambah pula dengan peningkatan hasil daripada usaha yang dilakukan oleh kedua-dua Perdana Menteri antara Datuk Seri Najib Razak dan (Lee Hsien Loong)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Anifah mengulas mengenai pendedahan yang dibuat oleh WikiLeaks, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat pada November 2008, terhadap beberapa pemimpin negara ini.

azlanKabel itu, mencatatkan pada 2008 dan 2009, menunjukkan kenyataan yang mengutuk Malaysia, Thailand, Jepun dan India oleh para pegawai kanan Singapura dalam pertemuan dengan para pegawai kanan Amerika Syarikat.

Anifah berkata hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura ketika ini begitu akrab, justeru kenyataan yang dibuat oleh pegawai kanan Kementerian Luar Singapura tidak membantu ke arah usaha mengeratkan lagi hubungan kerjasama sedia ada.

Katanya, penilaian yang dilakukan terhadap pemimpin Malaysia menerusi pendedahan laman web tersebut adalah menghairankan kerana pengurusan proses pembangunan Malaysia dan Singapura adalah berbeza.

Beliau berkata ini kerana negara ini menerusi konsep gagasan 1Malaysia iaitu "Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan," yang lebih menekankan kebajikan rakyat berbanding negara republik itu.

"Kita mempunyai tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India...Kalau tidak silap ada 214 kumpulan etnik di negara ini. Apa yang dipanggil tidak kecekapan " daripada penangan Singapura, sebenarnya kita turun ke bawah berjumpa dengan rakyat dan kemungkinan Singapura menganggap apa yang kita buat ini adalah remeh temeh walhal ia adalah kepentingan rakyat.

lee kwan yew and singapore"Disebabkan itu, saya katakan pengurusan Singapura adalah berbeza dengan Malaysia," kata Anifah.

Beliau berkata sebagai jurucakap kerajaan Malaysia, menjadi tanggungjawabnya untuk mempertahankan warga negara Malaysia termasuklah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, selaku Menteri Luar sudah tentu ada pihak dari negara luar akan bertanya mengenai pendedahan tersebut sama ada ia benar atau tidak, namun terpulang kepada individu yang dituduh untuk mempertahankan diri mereka.

"Saya tidak dapat mengulas atau tidak mempertahankan apa yang diperkatakan pemimpin negara jiran sama ada betul atau tidak...saya cakap sebagai menteri luar kerana orang yang dituduh itu adalah warga negara Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata ada keperluan bagi parti pembangkang untuk mempertahankan pendiriannya berikutan mereka sering kali dituduh kerana: "Tiada sangkut paut dengan Malaysia, ini adalah tuduhan yang dilemparkan oleh negara jiran dan bekas pemimpin, jadi tiada sangkut paut dengan konspirasi politik di Malaysia".

- Bernama