JKR   ini bukan syarikat kroni dan tidak pernah berniat untuk mencari  untung.  Tidak ada individu atau Datuk yang memiliki saham dalam lembaga  JKR.  Saham JKR dimiliki oleh seluruh warga Malaysia kerana JKR ini  adalah  harta awam. Jabatan ini bertugas untuk menjaga kebajikan orang  ramai.  Berkhidmat untuk kebajikan semua warga negara adalah niat  dan  rukun  iman JKR.Semuanya berubah apabila dasar penswastaan diperkenalkan. Dasar penswastaan adalah dasar kapitalis di mana semua hak milik rakyat yang di bawah jagaan kerajaan dijualkan kepada orang ramai. Sebenarnya penswastaan ini adalah satu projek silap mata di mana harta rakyat disonglap oleh para kroni.
Caranya bagini:
Loji air dan semua yang bersangkutan dengan pembekalan air sebelum penswastaan adalah milik orang ramai. Penswastaan adalah dasar di mana harta milik orang ramai ini diambil alih dan difaraidkan kepada para kroni, cukong dan mereka yang berduit untuk membeli saham.
Tak perlu silap mata
Cara   mengfaraidkan harta orang ramai ini kepada kroni cukup senang – tak   perlu silap mata. Loji dan semua yang bersangkutan dengan  air yang   awalnya  milik orang ramai ini diubah suai untuk dijadikan sebuah   syarikat. Lalu Menteri Kewangan meletakan nilai terhadap saham air   syarikat  ini
Kementerian   kewangan mengeluarkan 'pink form' atau borang merah jambu. Tertera di   borang ini adalah jumlah saham yang telah difaraidkan kepada sang  kroni.  Sang kroni atau kawan atau kenalan Pak Menteri boleh membawa  borang ke  bank. Bank dengan berbesar hati akan menyediakan pinjaman  berlandaskan  jumlah saham yang tertera di borang. Pinjaman dari bank  ini untuk  membolehkan sang kroni membeli saham yang akan diapungkan.
Sebelum   ini Menteri Kewangan akan meletakan harga terhadap saham air di   syarikat baru ini. Biasanya akan dinilai dengan harga yang agak rendah.   Ini untuk memastikan mereka yang dapat anugerah saham dan borang merah   jambu akan dapat dijualkan balik dengan harga yang lebih mahal. Saham   ini diapungkan – kerana dinilai murah - maka apabila diapungkan ramai   pembeli sanggup membeli dengan harga yang mahal.
Maka  tuan  empunya borang merah jambu dan tuan empuya saham akan menjualkan  saham  dengan harga mahal. Inilah cara dasar penswastaan di mana kaum  kerabat,  kroni dan elit kawan-kawan di Umno dapat membuat – bukan mee  segera tapi  duit segera.
Justeru,   para kroni, anak bini, kaum keluarga dan kawan kawan Pak Menteri akan   jadi kaya raya melalui dasar penswastaan ini. Mereka semua mendapat   manafaat maka pastilah mereka akan menyokong dasar ini hingga ke liang   lahad.
Tetapi bukankah amat jelas dasar penswastaan - memfaraidkan harta orang ramai - ini adalah kerja merompak di siang hari?
Betul.   Ini satu rompakan rasmi melalui penswastaan. Ini adalah dasar yang   diajukan oleh Umno. Rompakan ini juga menggunakan parlimen untuk   menghalalkan cara merembat harta orang ramai. Inilah caranya bagaimana   air rakyat Selangor tetiba dimiliki oleh syarikat Syabas.
Kisah rompakan
Untuk   memastikan harta rompakan ini akan terus membawa keuntungan, Umno  telah  mengikat  perjanjian dengan Syabas ketika menjual harta rakyat  ini.  Dalam perjanjian jual beli ini Umno telah memastikan setiap dua  atau  tiga tahun harga air wajib dinaikkan.
Kenapa kah ini berlaku? Tidakkah sesiapa nampak akan butir isi perjanjian ini?
Rompakan   ini cukup licik - orang yang merompak dan orang yang membuat    perjanjian adalah malaun yang sama. Ertinya Pak Menteri  yang   bertanggung jawab membuat perjanjian adalah juga pemegang saham dalam   syarikat yang diswastakan ini. Pelik? Silap mata? Tidak!
Kalau   diselidik nama menteri ini pasti tidak akan ditemui. Menteri ini bukan   bangang. Pak Menteri akan menggunakan pelbagai cara. Semua boleh  diurus.  Ini dasar Malaysia boleh!
Perlu diberitahu  bahawa surat  perjanjian ini tidak pernah diketahui oleh orang ramai.  Perjanjian  antara Syabas dan kerajaan Selangor  telah menjadi rahsia  dan jatuh di  bawah Akta Rahsia Kerajaan. Inilah cara si perompak  merompak harta orang  ramai dan menjaga hasil rompakan mereka.
Rahsia sudah kantoi
Hanya   apabila kerjaaan Selangor ditadbir oleh Pakatan Rakyat barulah   diketahui semua isi perjanjian ini. Kerajaan Selangor telah membakul   sampahkan  Akta Rahsia Kerajaan. Sekarang semua maklumat kerajaan   Selangor boleh ditemui tidak ada lagi yang berahsia rahsia. Rahsia   Syabas sudah kantoi!
Hari   ini kerajaan Pakatan di Selangor ingin mengambil alih kembali syarikat   air Syabas. Ertinya dikembalikan kepada kedudukan asal di mana air dan   semua yang bersangkutan dengan air di Selangor  bukan milik syarikat    atau saham individu tetapi milik kerajaan. Dari syarikat swasta   dikembalikan untuk dijadikan hak milik orang ramai sekali lagi.
Kenapa kerajaan Pakatan Selangor berbuat demikian?
Semenjak   tahun 1997 apabila air di Selangor diswastakan amat jelas ia telah   merugikan orang ramai. Syarikat air Syabas selama 10 tahun ini  telah   dijadikan lombong emas untuk memperkayakan para kroni dan kaum keluarga.   Buktinya amat jelas. Ini bukan fitnah dan tohmahan. Bukti ini muncul   daripada laporan audit tahunan yang diteliti oleh kerajaan Pakatan   Rakyat Selangor.
Tahukah   warga Selangor dan warga Malaysia anak semua bangsa:  bahawa gaji CEO   Syabas, Tan Sri Rozali Ismail ialah RM5.1 juta setahun atau 425,000   ringgit sebulan.  Bayangkan kalau RM5 juta  ini duit lima sen - sudah   tenggelam seluruh tasik air di Hulu Langat.
Perlu   juga  diberitahu daripada laporan audit ini, syarikat Syabas ini telah   memberikan 72 peratus kontrak bernilai RM600 juta kepada syarikat kroni   melalui rundingan 'sap sap sui'. Juga daripada laporan  yang sama telah   diketahui bagaiman RM325 juta  'tenggelam lesap' entah ke mana.
Melihatkan   ini maka kerajaan Selangor sedang bertempur hebat untuk mengambil alih   kembali kawalan terhadap syarikat Syabas. Sekarang ini warga Selangor   telah  mendapat 20 kubik meter air percuma. Air percuma ini  diberi   ketika Syabas masih lagi syarikat swasta. 
Kembalikan hak rakyat
Bayangkan   jika Syabas ini milik orang ramai. Berapa banyak keuntungan yang dapat   kita sama sama rasa?  Seluruh warga Selangor dapat berenang dengan  duit  yang telah diselamatkan dari dirompak.
Apa   yang sedang dilakukan oleh kerjaan Pakatan Rakyat di Selangor ini   adalah permulaan untuk mengembalikan hak rakyat. Mengembalikan harta   rakyat yang telah difaraidkan oleh  Mahathir dan konco-konconya.   Perjuangan untuk mengembalikan hak rakyat masih jauh lagi. Api, lebuh   raya, hospital, klinik - adalah di antara harta rakyat yang telah   dirompak melalui dasar penswastaan.
Orang ramai –  anak semua  bangsa – tidak ada pilihan  melainkan menolak dasar  penswastaan. Amat  jelas dasar ini adalah dasar yang tidak membawa  kebajikan untuk orang  ramai. Dasar ini hanya imembawa laba, untung,  kekayaan dan kebajikan  untuk pemilik saham.
Justeru   marilah kita turun sama berjuang di jalan raya pada 5 Disember ini.   Pada hari Ahad ini, warga Selangor akan berkumpul di Masjid Negara.   Warga Selangor akan bersama Menteri Besar dan pimpinan Pakatan Rakyat    untuk berarak menyampaikan memo kepada Yang di-Pertuan Agong. Memo   menuntut hak air mereka dipulangkan kembali.
Anak  semua bangsa  mari kita bersetia-kawan dan bersolidariti dengan warga  Selangor yang  berjuang untuk mendapatkan hak air mereka Hari ini air  Selangor - esok  api elektrik dan hospital yang perlu kita sama-sama  perjuangkan.