Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR,  Keputusan digantung enam bulan yang dikenakan ke atas Da
tuk  Seri Anwar Ibrahim dan tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat lain  menunjukkan sistem demokrasi Malaysia “sudah simpang-siur”, kata pakar  perundangan Prof A. Aziz Bari.
“Penggantungan ini menunjukkan sistem demokrasi kita sudah simpang-siur, sekejap boleh (gantung) dan sekejap tidak.
“Sekarang  Speaker (Tan Sri Pandikar Amin Mulia) pula bakal dibawa ke mahkamah  apabila semangat demokrasi di Dewan Rakyat serta dahulu di DUN Perak  tidak dihormati dan dilanggar oleh wakil rakyat yang tidak faham  undang-undang,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Sehubungan itu, soal Aziz (gambar),  memandangkan Anwar bersedia mendedahkan mengenai bukti-bukti dakwaannya  sebelum ini mengapa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen tidak  membenarnya membuat penjelasan.
“Mengapa  terus digantung selama enam bulan sedangkan tindakkan itu tidak memberi  kebaikan kepada sebuah Dewan yang mementingkan demokrasi,” kata beliau.
Oleh  itu katanya lagi, adakah Umno hendak menggunakan Parlimen untuk  melarikan diri daripada isu APCO dan konsep 1 Malaysia, yang kebanyakan  orang awam mengaitkannya dengan slogan One Israel kerana itulah anggapan  yang terus cuba dinafikan di Dewan Rakyat.
Malah  menurut Aziz, walaupun ada ketetapan untuk seseorang Speaker Dewan  Rakyat menggunakan peruntukan Peraturan Mesyuarat 44, tetapi Ketua  Pembangkang di Parlimen tarafnya harus dilihat seperti “ketua kerajaan”,  yang bertindak sebagai semak dan imbang serta melaksanakan prinsip  demokrasi.
“Apakah semangat ini mahu dibunuh dalam Dewan Rakyat juga,” katanya.
“Persoalannya  sekarang, mengapa di Dewan Rakyat hari ini, seseorang wakil rakyat  boleh terus digantung oleh seorang Speaker sedangkan di Perak sebelum  ini tidak boleh.
“Tetapi  dibawa ke mahkamah walaupun tidak harus sebenarnya satu-satu urusan di  DUN atau Dewan Rakyat diputuskan semula di mahkamah,” katanya lagi.
Semalam,  sejurus selepas mereka dikenakan hukuman digantung dari Parlimen,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nazri Aziz berkata, cadangan  tindakan mahkamah oleh pakatan pembangkang terhadap Yang di-Pertua Dewan  Rakyat tidak akan berjaya.
Nazri,  menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Parlimen, yakin  sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah ia akan ditolak oleh mahkamah  kerana Parlimen mempunyai “kekuasaan” yang tersendiri.
“Saya  beri jaminan, jika mereka membawa perkara ini ke mahkamah, ia akan  ditolak. Karpal belajar undang-undang apa? Peguam kelas ketiga.
“Apa yang kami putuskan kekal, anda perlu belajar undang-undang perlembagaan mengenai kekuasaan Parlimen,” katanya.
Karpal  yang juga peguam terkenal memberitahu cadangan pihaknya untuk mengambil  tindakan mahkamah terhadap Pandikar Amin berhubung perkara itu.
Selain  Anwar, turut digantung enam bulan ialah tiga lagi anggota Parlimen  pembangkang iaitu Karpal, R. Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali  (PKR-Gombak) kerana menghina dewan.
Nazri berkata gaji serta elaun empat anggota Parlimen yang digantung itu masih berjalan dan tidak akan dihentikan.
“Gaji  dia tetap ada. Keempat-empat MP masih mendapat elaun mereka kerana kami  mengikut perintah mahkamah selepas (Anggota Parlimen Puchong) Gobind  (Singh Deo) membawa perkara itu ke mahkamah.
“Memandangkan  keputusan mahkamah ia tidak mengikut perlembagaan kita ikut. Sebenarnya  pakatan pembangkanglah yang tidak mengikut perintah mahkamah,” katanya.
Nazri berkata Barisan Nasional hanya mempunyai 137 kerusi di Dewan Rakyat dan tidak cukup untuk meminda sesuatu perlembagaan.
“Pada  sebarang masa untuk meminda perlembagaan, kamu mesti mempunyai 148  anggota Parlimen bagi menyokong di dalam dewan. Jika tidak, ia tidak  boleh dipinda,” katanya.