
KUALA   LUMPUR 30 NOV: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nazri Aziz  hari  ini membawa definisi lain mengenai konsep ketuanan Melayu daripada  apa  yang diperjuangkan oleh pemimpin Umno dan Perkasa.
Menurut Nazri konsep itu adalah hanya untuk menzahirkan kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu dalam Perlembagaan.
“Ia   bukannya tentang orang Melayu, ia mengenai Raja-raja Melayu. Selagi   mereka terus masih wujud, kita akan menghormati mereka,” kata beliau   yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno.
Definasi itu sekali gus   menyanggah konsep Ketuanan Melayu tajaan Umno yang mengguna pakainya   untuk menggubal Dasar Ekonomi Baru(DEB).
Dasar itu sendiri tidak   dipertikaikan namun apa yang ditentang oleh ramai pihak ialah tindakan   pemimpin Umno untuk menggunakan dasar berkenaan bagi memberi projek dan   konsessi lumayan kepada kroni-kroni Umno.
Pada masa sama   sebilangan besar orang Melayu terus merempat dalam kemiskinan dan   kemunduran, khususnya di Kelantan, Terengganu, Kedah  dan warga  pribumi  di Sabah dan Sarawak.
Nazri dipetik oleh Malaysian  Insider  sebagai berkata ungkapan Ketuanan Melayu biasanya digunakan oleh   pemimpin-pemimpin sayap kiri Melayu untuk mendesak hak-hak orang   Melayu, dicipta untuk melindungi kedaulatan Raja-raja Melayu pada   masa-masa lalu.
Justeru tegas Nazri, “Ketuanan Melayu” sama   sekali tidak bermaksud orang Melayu adalah lebih unggul berbanding   kaum-kaum lain di negara ini.
Tanpa merujuk kepada pemimpin Umno   dan Perkasa, Nazri bagaimanapun mengakui bahawa ungkapan Ketuanan   Melayu  seringkali digunakan oleh ahli-ahli politik untuk  merujuk  kepada kedudukan istimewa orang Melayu di bawah Artikel 153   Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menyifatkan golongan itu sebagai membawa “tahi lembu di kepala.”
“Mereka   ini pemimpin-pemimpin tidak berguna. Mereka ini ada tahi lembu di   kepala. Mereka tidak tahu langsung apa itu (Ketuanan Melayu),” katanya.
“Bagaimana anda boleh mengatakan hanya kerana anda orang Melayu di negara ini, bermakna anda (lebih) unggul. Apa maksudnya?
Dalam   ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR Sabtu lalu, Datuk Seri Dr Wan   Azizah Wan Ismai berkata, konsep Ketuanan Melayu harus 'ditinggalkan'   kerana ia hanya memperdayakan bangsa Melayu sendiri.
Beliau berkata, konsep tersebut hanya digunakan sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdayakan orang Melayu.
“Ketuanan   Melayu adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu   yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu yang ramai demi kepentingan   diri sendiri.
“Mereka adalah manusia yang melakukan rasuah,   korup, pecah amanah dan pelbagai kebejatan lagi. Selama 53 tahun mereka   berkuasa, nasib Melayu dan Bumiputera, masih tetap terabai.
“Ungkapan   Ketuanan Melayu telah diputarbelitkan oleh satu kumpulan yang kaya  raya  dan orang Melayu yang berkuasa. Mereka kaya kerana dasar-dasar   pro-Melayu,” katanya./TVNews