Dis 26, 10
Sebaiknya   Datuk Seri Najib Razak mengarahkan syarikat yang membolot kontrak   mencetak kain rentang  dan banting slogan ini menarik balik semula kain   rentang dan banting yang telah mereka cetak dan pasang.Jika tidak, ia akan menunjukkan Najib menipu dalam terang. Rakyat melihat dengan jelas bagaimana lambang BN terpapar pada setiap banting yang dipasang.
 Gambar PM yang jauh  lebih besar dari jalur gemilang  juga menjengkelkan mata. Nasihat saya  baik tarik semula sebelum  diketawakan anak-anak.
Apapun, isu  yang lebih penting  yang PM atau TPM harus jelaskan kepada rakyat ialah;  jika benar ia  adalah alat penyatuan dan bukan propaganda Umno-BN  mengapa perkara ini  tidak pernah dibincang dan dibahaskan dalam  parlimen? 
Mencecah RM100 jutaMengapa ia tidak dimasukkan di dalam bajet negara sedangkan bayaran bagi menghasilkan slogan “indah” ini mencecah RM100 juta.
Mengapa   hanya setelah ketua pembangkang membangkitkan perkara ini dengan  kaitan  kepada penglibatan Apco barulah parlimen membahaskannya? Itupun  bukan  untuk membahaskan kewujudannya, bayaran ke atasnya, mahupun  matlamat  mewujudkannya tetapi mahu menghukum ketua pembangkang kerana   mengetengahkannya.   
Sebarang perkara untuk  kebaikan rakyat  majmuk di negara ini khusus perpaduan, pasti mendapat  sokongan hatta  dari ahli parlimen pembangkang.
Namun   persoalannya, ini tidak di lakukan dan seluruh proses kewujudan   1Malaysia ini cuba dirahsiakan. Ini jelas kelihatan apabila akhirnya   minggu lalu ketua pembangkang dan tiga ahli parlimen digantung tanpa   diberi hak membela diri.Pada saya, untuk menerima slogan ini sebagai slogan penyatuan memang jauh dan tidak sama sekali. Ia lebih kepada simbol politik Umno-BN yang telah membunuh kesucian parlimen; institusi tertinggi Negara. Sekali gus ia telah menjadikan hari hitam kepada parlimen dan amalan demokrasi yang selama ini dikatakan diamalkan di negara ini.
2Malaysia
Apa   erti 1Malaysia apabila kroni Umno-BN seperti Tan Sri Rozali Ismail,  CEO  Syabas yang menyebabkan kerugian syarikat sehingga berhutang RM2.9   billion tetapi menerima gaji RM 425,000 sebulan?
Apa erti 1Malaysia apabila kerajaan BN membelanjakan duit rakyat RM320 juta memberi pinjaman mudah kepada Syabas?
Adakah   1Malaysia jika bekas pemimpin Umno boleh bercuti ke Disneyland dengan   membelanja duit rakyat? Atau adakah 1Malaysia namanya apabila pemimpin   mendapat komisyen RM534 juta untuk pembelian kapal selam? Atau mungkin   inilah 1Malaysia apabila rakyat kerugian RM12 billion akibat skandal   PKFZ !
Sebaliknya,   sejak mendapat ilham “penyatuan” 1Malaysia ini, terdapat rakyat   Malaysia dari golongan marhain yang terpaksa memikul beban ekonomi yang   kian berat akibat keputusan kerajaan Umno-BN menaikkan harga petrol,  bil  elektrik, gula, dan barang-barang keperluan asas lainnya.Kita pelik dengan sikap ambil mudah PM yang merasakan rakyat boleh diperdaya melalui satu slogan. Sepanjang 50 tahun memerintah, Umno-BN tidak pernah berhenti melaga-lagakan kaum dan agama. Akibatnya, syak wasangka kian menebal. Isu perarakan kepala lembu, kepala babi dan pembakaran surau berlaku selepas 1Malaysia.
Apabila   sesuatu dilakukan tanpa niat yang ikhlas maka perlaksanaannya pasti   pincang. Logo 1Malaysia bertembung dengan jalur gemilang. PM menjerit   "1Malaysia", TPM melaungkan “Melayu Dahulu”.
Presiden  Umno  menjunjung 1Malaysia, naib presiden Umno menjulang keris bertempek   “Ketuanan Melayu". Hakikatnya kerana tidak ikhlas, berkata tidak   sekata, melangkah pula, mengorak langkah sumbang.
Rakyat   terutama di Selangor telah bersatu padu khususnya selepas Mac 2008 yang   lalu. Slogan dalam apa bunyi sekalipun tidak memberi makna kepada kami,   jauh sekali berasa takut.
Penulis adalah setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor/Malaysiakini