
SH | PETALING JAYA - Parti Keadilan Rakyat (PKR)  menegaskan bahawa konsep ketuanan Melayu tidak ada makna sekiranya  majoriti rakyat termiskin negara ini masih terdiri daripada kaum Melayu  selepas UMNO memerintah selama 53 tahun. 
Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada kajian yang  dijalankan, terbukti 97 peratus daripada kira-kira 65,000 isi rumah  termiskin seluruh negara terdiri daripada golongan Melayu-Bumiputera.: 
Menurutnya, dengan adanya konsep Ketuanan Melayu serta diperkuatkan  dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), masih belum mampu meningkatkan ekonomi  orang Melayu kerana dasar tersebut menguntungkan sebilangan kecil orang  Melayu sahaja. 
Katanya, oleh kerana kegagalan pemimpin sekarang, penyelesaian kepada  isu tersebut adalah meninggalkan konsep Ketuanan Melayu dan menghapuskan  perbezaan etnik demi kepentingan bersama. 
“Kita tidak nafikan kepentingan masa depan orang Melayu di negara ini,  sebab itu pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat (PR) bersetuju  menandatangani deklarasi bersama mempertahankan prinsip asal  Perlembagaan negara. 
“Kita bersetuju dengan hak-hak orang Melayu dan pada masa sama juga hak  kaum lain turut terjaga,” katanya ketika sesi penggulungan pada Kongres  PKR ke-7, di sini, semalam. 
Selain itu, Anwar turut mengingatkan perwakilan yang ada agar tidak lagi  risau dengan dakyah pihak lawan yang menakutkan orang Melayu mengenai  nasib mereka sekiranya PR menang pada pilihan raya umum akan datang. 
Katanya, dakwaan sebegitu muncul kerana pihak lawan berasa takut dengan  kebangkitan rakyat yang mahukan reformasi secara besar-besaran dan ini  pasti akan diterjemahkan pada pilihan raya melalui undi. 
“Bagi saya, baik saya hidup di bawah pemerintahan bukan Islam yang adil  daripada pemerintahan orang Islam yang penuh dengan rasuah dan salah  laku,” katanya. 
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menasihatkan semua  pemimpin dan ahli parti agar terus bersabar apabila diserang  bertubi-tubi oleh pihak lawan. 
Katanya, PKR telah melalui pelbagai cabaran yang amat getir sehingga  pernah disifatkan telah mati, namun Pilihan Raya Umum 2008 membuktikan  PKR kembali kuat dan menjadi parti masa depan negara. 
“Sekarang adalah pusingan terakhir, sebab itu kita diserang hebat dari segenap arah, dari luar dan dalam. 
“Tetapi saya bersyukur kita sudah berjaya membersihkan parti kita  daripada pemimpin yang berniat lain daripada perjuangan sebenar PKR,”  katanya.