Menteri Dalam Negeri Datuk Sri Hishammuddin Hussein berkata peningkatan jumlah kes tembakan maut oleh polis sebenarnya tidak begitu ketara.
Oleh  itu, katanya beliau menyerahkan  kepada PDRM untuk menjelaskan kerana  mereka bertanggungjawab dalam isu  berkenaan dan ia membabitkan imej  pasukan berkenaan.
"Biarlah   dia jawab dari segi data, dari segi tarikh (kes-kes), sebab yang   mungkin terpaksa pikul imej yang mungkin terjejas adalah kepentingan   PDRM sendiri.
"Kalau tidak, itu saja soalan yang  setiap hari  saya kena jawab sedangkan ada perkara lebih serius lagi,"  katanya dalam  sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Sebaliknya, menurut Hishamuddin, kes berkenaan dianggap meningkat kerana disensasikan oleh pihak tertentu.
"Tak   ada (peningkatan). Saya tengok seperti dijawab di Parlimen, kalau nak   banding dalam sejarah negara kita, jumlahnya tidaklah begitu ketara.
"Banyak perkara yang dibangkitkan di parlimen disensasikan sehingga kita bawa jumlah yang sebenarnya.
"Tak   tahulah, dia ada kes-kes tertentu ada yang dah ke mahkamah, ada dalam   siasatan dan ada yang dah pun diperjelaskan," katanya lagi.
Tambahnya, perkara itu perlu dijawab dengan cepat oleh PDRM untuk mengelakkan ia disalah tafsir oleh masyarakat.
Ketika ditanya lanjut, beliau berkata kes berkenaan mungkin meningkat berbanding sebelumnya.
"Mungkin   itu merupakan kes yang lebih berbanding dahulu, mungkin itu merupakan   satu situasi yang kita perlu kita tangani," katanya.
Tambahnya,   beliau telah meminta ketua polis negara serta timbalannya untuk   menyediakan mekanisme yang telus dalam menjelaskan isu berkenaan.
"Kalau   tidak diterangkan awal, tak dibawa ke muka keadilan kalau bersalah   dengan cepat, tak dibebaskan (sekiranya tidak bersalah).
"Kalaupun bawah standard operating procedure sedia ada, ia tetap menjadi tanda tanya (peningkatan kes tembakan maut oleh PDRM).
"Jadi   kaedah PDRM menangani kes berprofil tinggi seperti ini memerlukan   pemikiran dan pendekatan mungkin tindakan yang lebih telus, terbuka,   adil dan saksama dalam lanskap baru pada hari ini.
"Saya ingin serahkan kepada PDRM untuk menanganinya, dan kita akan bimbing," katanya lagi.
Tambahnya lagi, PDRM perlu mengambil pendekatan untuk mendedahkan siasatan tanpa menjejaskan siasatan itu sendiri.
"Ia   tidak menganiaya orang tidak berdosa, tetapi pada masa yang sama kalau   salah dalam menjalankan tugas, mereka yang salah itu tetap diadili,"   katanya lagi.
Katanya lagi, pendekatan PDRM seperti itu boleh dilihat dalam penerangan mengenai kes melibatkan jutawan kosmetik Sosilawati.