PERIKSA...kastam Indonesia memeriksa beg dibawa Anthony, Sabtu lalu.
HM | KUALA LUMPUR: Seperti tidak pernah serik apabila seorang lagi lelaki warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas dipercayai diupah menjadi keldai dadah untuk menyeludup syabu ke negara berkenaan bernilai lebih RM1 juta.
Suspek yang dikenali sebagai Anthony, 24, mendakwa diupah lebih RM5,000 untuk menjalankan tugas maut terbabit dengan menyeludup dadah yang disembunyikan di dalam beg.
 Sumber polis Jabatan  Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, berkata suspek warga  Malaysia berkenaan ditahan pihak berkuasa lapangan terbang bandar Udara  Juanda Surabaya, jam 11.45 malam Sabtu lalu.
Menurutnya, pihak keselamatan lapangan terbang Surabaya bagaimanapun mengesyaki tindak-tanduk suspek yang mencurigakan sebelum menahannya untuk pemeriksaan lanjut.
 “Lebih menghairankan  petugas lapangan terbang apabila mendapati suspek tidak membawa beg  pakaian besar sebaliknya mengepit beg tangan kecil dan menemui satu  bungkusan aluminium yang disembunyikan di dalamnya.    “Hasil  pemeriksaan menemui serbuk dipercayai syabu seberat satu kilogram,”  katanya.
 Menurutnya, hasil soal siasat, suspek mengaku  diarah sindiket dadah antarabangsa untuk menyeludup dadah berkenaan ke  Surabaya dengan  upah lumayan.
“Difahamkan, suspek diarah menyerahkan dadah terbabit kepada seorang wanita bernama Devi di Jakarta, Indonesia sebelum diberikan upah dijanjikan. Susulan penahan itu, suspek berdepan hukuman mati atau dipenjarakan 20 tahun di negara terbabit,” katanya.
  Sementara itu, Timbalan Pengarah 1, JSJN Ibu Pejabat Polis Bukit Aman,  Datuk Othman Harun, berkata pihaknya sentiasa memandang serius apa juga  bentuk jenayah dan cubaan oleh sindiket tempatan mahupun antarabangsa  yang cuba menjadikan negara ini sebagai transit pengedaran dadah.
Menurutnya, walaupun nilai rampasan dadah dan tangkapan meningkat sejak dua tahun lalu, namun sindiket terbabit sentiasa mengubah modus operandi dengan menggunakan lelaki atau gadis warga asing sebagai keldai dadah.