


MyMetro | Mengaibkan apabila ada artis tanah air tergamak  menyambut Halloween  pada 31 Oktober lalu, sedangkan perayaan itu jelas  bertentangan dengan  ajaran Islam. Sekurang-kurangnya dua artis dikesan berbuat demikian,  dipercayai di  sebuah kelab malam sekitar ibu kota, biarpun jumlahnya  mungkin lebih  ramai.
Artis terbabit ialah  pelakon kontroversi, Fasha Sandha dan penyanyi popular, Joe Flizzow.  Gelagat mereka dikesan selepas lapan gambar Fasha berpakaian seksi  ala  ‘Genie In The Bottle’ dimuat turun dalam laman sosial Facebook milik   kelab peminatnya. Daripada jumlah itu, tiga gambar Fasha bersama teman  lelakinya,  Rizal Ashram atau Jejai, dua gambar solo Fasha dan  masing-masing satu  gambar Fasha bersama Joe, dengan seorang rakannya  dikenali Azian dan  gambar bertiga bersama Jejai dan Azian.
Satu  gambar solo Fasha ketika menyambut hari itu turut dipapar dalam sebuah  laman web hiburan tanah air. Tindakan Fasha turut mendapat reaksi  berbeza daripada peminatnya  dalam laman sosial berkenaan. Daripada 29  komen, ada yang menyokong  pelakon berusia 26 tahun itu, ada peminat  memberi nasihat secara baik  dan tidak kurang juga yang mengkritiknya.  Bagaimanapun, Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha ketika  dihubungi Metro Ahad, enggan mengulas berkenaan isu itu.
Halloween berasal daripada perkataan Hallowe’en iaitu singkatan daripada ‘All Hallow’s Eve’  (malam sebelum hari ‘All Hallow’). Selain itu, perayaan ini ditentukan  mubaligh Kristian bertepatan  dengan hari perayaan orang gasar kerana  mahukan kaum itu mempercayai  agama mereka.
Mengulas mengenai budaya itu, Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, orang Islam tidak boleh terpedaya hingga terbabit dalam perayaan berkait dengan agama lain seperti Halloween kerana adalah jelas ia satu daripada upacara orang Kristian.
“Jika berkaitan dengan agama lain selain Islam, kita seharusnya berhati-hati walaupun menyertainya sekadar untuk suka-suka. Apa matlamat kita meraikannya, sedangkan ia bukan dalam budaya Islam.
“Dalam Islam, ada perkara yang boleh untuk kita raikan, kenapa kita perlu cari budaya yang berkaitan dengan agama lain seperti menyambut Halloween.
“Tidak kira hanya suka-suka atau apa juga tujuannya, orang Islam patut mengelak menyambut perayaan Hallowen kerana ia boleh mendatangkan syirik,” katanya.