Khamis, 30 September 2010
Umno Pulau Pinang Lebih Islamik?
MSO | SYABAS diucapkan kepada 50 warga emas di negeri Pulau Pinang yang telah mengembalikan semula wang yang diberikan kepada mereka oleh kerajaan negeri menerusi projek membantu kemiskinan kerana ia disyaki dari hasil judi. Sesiapa pun tidak mahu makan wang haram. Kata orang tua-tua kalau memakan rezeki atau wang haram menyebabkan pintu hati akan gelap.
Warga emas itu itu masing-masing diberi RM100 seorang. Ini bermakna sebanyak RM4,000 wang bantuan kemiskinan itu dikembalikan. Apakah hanya 40 orang itu saja berbuat demikian dan yang lain menerima dan memakan wang berkenaan?
Apa yang dilakukan oleh warga emas itu menunjukkan pendirian umat Islam. Mereka tidak mahu bersubahat dalam apa saja yang boleh merosakkan akidah mereka. Segala amal ibadat lain akan terbatal kalau diri seseorang itu masih bergelumang dengan maksiat dan judi. Jadi langkah warga emas itu setidak-tidaknya merupakan protes bahawa perjudian harus ditentang kerana ia haram dari sisi agama Islam.
Bagaimana pun tindakan itu tidak cukup setakat dilakukan warga emas berkenaan saja. Itu adalah permulaan. Kalau ia serius tindakan lanjut perlu dilakukan oleh mereka. Dalam hal ini pihak yang menguruskan pengembalian wang itu iaitu Umno. Dan bukan saja warga emas harus menolak wang judi golongan muda juga wajib berbuat demikian.
Sampai masanya Umno bukan saja prihatin mengenai hal itu di Pulau Pinang saja. Sebalik ia harus diperluaskan ke negeri-negeri lain juga, termasuk Johor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan ataupun Sabah dan Sarawak. Perlu diingat perjudian bukan berlaku di Pulau Pinang saja tetapi di negeri lain juga wujud perjudian. Kena pastikan wang judi tidak tersalah disedekahkan kepada umat Islam.
Di Pahang, Genting adalah pusat perjudian terbesar dan tertinggi di negara ini. Molek kalau MB Pahang, Adnan Yaacob turut memantau apakah wang dari Genting itu jangan sampai turun ke bawah dan diberikan kepada warga emas atau kanak-kanak di Bentong atau Pekan. Umno Pahang kena pasti dan intai apakah ada wang Genting sampai dimakan oleh orang Islam Pahang atau tidak.
Begitu juga dengan institusi perjudian yang cambah di segenap bandar dan pekan negara ini. Kedai toto, lumba kuda, empat nombor ekor, pelacuran dan macam-macam lagi juga perlu dipantau. Umno kena bertindak dan berusaha agar segala institusi judi itu dihapuskan. Jangan hanya tegas dan serius di Pulau Pinang saja tetapi di negeri lain dibiarkan bermaharajalela.
Umno sebagai parti yang memerintah bertanggungjawab terhadap akidah umat Islam sdeluruhnya. Dalam hal ini molek juga kalau modus operandi membenteraskan wang haram dilaksanakan oleh Umno Pulau Pinang itu diajar kepada Umno negeri-negeri lain. Umno kena ingat bukan Melayu di Pulau Pinang saja ingin masuk syurga, tetapi Melayu lain juga.
Kalau perlu Umno boleh lantik Umno Pulau Pinang menjadi ketua dalam membenteraskan judi di negara ini. Adalah kesal kalau usaha Umno di Pulau Pinang itu bermotifkan politik semata-mata nak burukkan kerajaan Lim Guan Eng saja.