HarakahDaily | JELI,  2 Sept: Biar pun kerajaan pusat menafikan hak Kelantan ke atas royalti  minyak, namun kekayaan hasil buminya masih mampu memberi pulangan hasil  kepada kerajaan negeri.
Buktinya, penemuan emas di perut bumi  Kelantan di Sokor, Tanah Merah kini sedang dimajukan syarikat dari  China, CNMC Goldmine Limited dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan  Iktisad Negeri Kelantan.
Dan baru-baru ini pula sumber air air semula jadi (mineral) ditemui di Batu Melintang, Jeli.
Ekoran  penemuan tersebut syarikat Sihhat–Afiat Sdn Bhd (Sihhat) dengan  usahasama Tabb Global Sdn Bhd dan Kelantan Utilities Mubarakan Holding  Sdn Bhd akan membina kilang bagi mengeluarkan minuman tersebut.
Kilang  terbabit akan mencatat satu lagi sejarah kerana ia merupakan industri  pertama mengeluar, membotol dan membungkus air mineral semula jadi di  Kelantan.
Pengerusi Lembaga Pengarah Sihhat, Datuk Husam Musa  berkata, pemilihan tapak kilang air mineral semulajadi itu dibuat  setelah mendapat nasihat pakar dari Jabatan Mineral dan Geosains  Kelantan dan pakar geologi dari Sihhat.
”Kilang yang akan dibina  terletak di pinggir jalan utama menghubung Kelantan - Perak dijangka  dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
”Pada  peringkat awal dua telaga tiub telah dibina kedalaman tidak kurang 120  meter. Standard air mineral menepati kehendak jabatan berkaitan,”  katanya di majlis perasmian pecah tanah pembinaan kilang air mineral di  sini, semalam.
Perasmiannya dilakukan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Turut  hadir anggota Exco, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman, Ketua  Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Ir Mustafa Salleh dan Adun  Ayer Lanas, Abdullah Yakob.
Husam berkata, kerajaan melulus kawasan seluas 10 ekar bagi pembangunan industri pengeluaran air mineral terbabit.
