MyMetro | KOTA BHARU: Majlis pelancaran projek dan makan malam dianjurkan syarikat pembinaan, I’DA World Group Sdn Bhd yang diadakan di sini, malam kelmarin, ‘gempar’ apabila Pengerusi Eksekutifnya membuat sumbangan peribadi sebanyak RM4 bilion kepada Pas Kelantan.
Abdul Rahim Abdul Wahab yang didakwa Bumiputera terkaya di dunia mengumumkan sumbangan peribadi itu disalurkan demi pembangunan termasuk memajukan pekan Rantau Panjang.
 Sumbangan itu disampaikan  menerusi penyampaian replika cek di hadapan lebih 100 tetamu termasuk  kerabat diraja yang dijemput menghadiri majlis berkenaan.
  Bagaimanapun, tiada Exco kerajaan negeri kelihatan bagi mewakili Menteri  Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ke majlis berkenaan sebaliknya  replika cek terbabit hanya disampaikan seorang individu dikenali sebagai  Nik Din yang mendakwa  adik kepada Nik Abdul Aziz.
   Terdahulu, Sultan Kelantan, Tuanku Muhammad Faris yang dimaklumkan akan  menghadiri majlis berkenaan juga tidak kelihatan seperti dimaklumkan  penganjur kepada pihak media.
   Mengulas mengenai sumbangan  itu, Abdul Rahim berkata wang  itu boleh digunakan untuk membangunkan  pekan Rantau Panjang dengan lebih teratur sebagai kawasan bebas cukai.
  “Apa yang kita nampak, adakah pekan Rantau Panjang  kawasan bebas  cukai atau kampung pelarian?    “Jadi apa kata duit ini digunakan secara  baik dan saya cuba menghidupkan suasana meriah antara kampung di situ  dalam sistem yang lebih terbina,” katanya.
 Selain itu,  beliau berkata syarikat terbabit merancang membangunkan tiga projek mega  bernilai AS300 bilion (RM1.06 trilion) di lima negeri utara  Semenanjung, turut menggunakan dana peribadi hasil daripada aktiviti  perniagaannya di luar negara sebelum ini.
 Katanya, projek S7  yang membabitkan pembinaan lebuh raya 10 lorong sepanjang 328 kilometer  bermula dari daerah Tumpat dan menghubungkan Perak, Perlis, Kedah  sehingga ke Sanglang, Thailand sudah mendapat kelulusan kerajaan negeri  dan akan dimulakan 15 November ini.
 “Projek ini baru  diluluskan petang tadi (kelmarin) melalui surat daripada Menteri Besar  Kelantan. Dianggarkan lebih kurang 2,000 kontraktor sudah boleh  memulakan kerja mereka,” katanya.
  Selain lebuh raya,  beberapa syarikat gergasi dunia seperti pengeluar pesawat penerbangan  komersil, Boeing dan pengeluar kereta mewah jenama Rolls Royce, Porsche  dan Mercedez-Benz akan turut membuka kilang di Tumpat yang akan  dibangunkan sebagai pusat pembangunan teknologi tinggi negara dikenali  Pembandaran Pelabuhan Tumpat (PPT) melalui S7.
Sementara itu, Exco Kanan dan Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika dihubungi mengakui tahu mengenai projek terbabit tetapi tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat exco.
  “Mereka ada berjumpa dengan Menteri Besar tetapi tidak ada  dibincangkan dalam mesyuarat Exco. Difahamkan Unit Perancang Ekonomi  Negeri tidak menyokong projek berkenaan,” katanya.
  Mengulas mengenai sumbangan RM4 bilion itu, katanya, ia agak sukar untuk dipercayai.