SERI  KEMBANGAN 19 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini  menegaskan tentang perlunya mempunyai dasar-dasar dan sistem yang adil  di bawah prinsip inklusif yang ditekankan dalam konsep 1 Malaysia  diilhamkannya.Penekanan  Najib mengenai soal inklusif dan dasar-dasar adil muncul di sebalik  tekanan kumpulan membela hak orang Melayu Perkasa, yang meminta beliau  memberi penjelasan yang sejelas-jelasnya mengenai konsep 1 Malaysia.
“Mempunyai elemen inklusif dan prinsip keadilan adalah antara beberapa prinsip penting 1 Malaysia,” kata Najib (gambar) yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam ucapannya pada program makan tengah hari etnik Malayali di sini hari ini.
“Menjadi  inklusif bermaksud kita harus memastikan polisi kita akan memberikan  faedah kepada semua rakyat Malaysia. Kita harus pastikan sistem kita  adil dan setiap rakyat Malaysia akan tahu tentang nilai masing-masing,”  kata beliau.
Najib,  perdana menteri keenam juga menekankan bahawa sumbangan setiap rakyat  Malaysia adalah penting dalam memajukan Malaysia sebagai negara maju  dalam abad ke-21.
“Jik  kita boleh menghimpunkan kekuatan setiap individu rakyat Malaysia, maka  kita menggandingkan kekuatan dan bakat untuk menjadikan pembaharuan  menyeluruh agar Malaysia akan menjadi sebuah negara yang berjaya pada  abad ke-21,” kata beliau lagi.
Dalam komen kepada The Malaysian Insider yang  disiarkan semalam, pemimpin Pakatan Rakyat dan penganalisis mengecam  konsep 1 Malaysia sebagai amalan yang bergerak ke belakang ekoran  meningkatnya kenyataan-kenyataan berbaur perkauman dan keengganan Najib  mempertahankan konsep 1 Malaysia daripada tuntutan Perkasa.
Kelmarin,  Najib berkata gagasan 1 Malaysia adalah “kerja dalam pelaksanaan”, yang  akan mencapai objektifnya dengan sokongan dan komitmen padu daripada  semua lapisan rakyat.
Beliau  menegaskan gagasan 1 Malaysia serta langkah transformasi yang sedang  dilaksanakan kerajaan ialah satu proses yang berterusan.
Gagasan 1 Malaysia yang diperkenalkan tahun lepas, katanya, tidak boleh direalisasikan sepenuhnya hari ini.
“Ingin  saya jelaskan di sini, apa yang telah kerajaan lakukan setakat ini  hanyalah merupakan permulaan daripada apa yang kita harap dapat  dilaksanakan dengan jayanya dalam beberapa tahun yang akan datang.
“Saya  tidak gemar dengan tanggapan bahawa apabila sesuatu perkara tidak  berhasil, masyarakat akan mengatakan “oh... 1 Malaysia tidak berkesan”.  Ini tidak betul. Saya ingin menyatakan bahawa ia (1 Malaysia) merupakan  kerja dalam pelaksanaan, dan kami memerlukan komitmen penuh daripada  semua rakyat Malaysia untuk mencapai matlamatnya,” katanya.
Ekoran  komen Najib itu, semalam Perkasa meminta beliau menjelaskan konsep itu  bagi mengelakkan tanggapan bukan Melayu bahawa ia sebenarnya merujuk  kepada elemen kesamarataan.
Hari ini, Najib menekankan bahawa Malaysia perlu mempunyai kelebihan daya saing di peringkat global.
Dengan  merujuk kepada negeri Kerala, wilayah etnik Malayali berasal, Najib  berkata, ia muncul negeri yang berjaya dengan kadar celik huruf hampir  100 peratus.
Katanya,  orang Melayu dan kaum-kaum lain di Malaysia harus belajar daripada  semangat masyarakat Malayali untuk memperoleh ilmu dan pendidikan.
Najib  juga meminta sokongan kesemua rakyat Malaysia terhadap program ekonomi  seperti Program Pembaharuan Kerajaan, Model Baru Ekonomi untuk  menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.
“Kita memerlukan sokongan setiap rakyat Malaysia untuk bekerja sebagai sebahagian daripada usaha membina negara,” katanya.
“Tetapi, kesemuanya tidak akan bermakna melainkan adanya sifat inklusif,” kata beliau.