
KUALA LUMPUR: "Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara berkemungkinan minggu depan. Polis yakin siasatan kami punya bukti kukuh," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berhubung perkembangan terkini pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, semalam.
Menurutnya, bukti kukuh itu yang dikumpul berdasarkan penemuan tulang, beberapa senjata, barangan peribadi dan pengakuan suspek diyakini mampu mengaitkan dan mengheret suspek utama dan tujuh yang lain ke mahkamah bagi didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Beliau berkata, sehingga kini polis menghentikan operasi mencari bahan bukti di Ladang Gadong dan Sungai Panchau, Banting, bermula semalam. Bagaimanapun, anggota polis masih berkawal di tempat itu dan ia masih ditutup kepada orang ramai.
"Polis  percaya kes pembunuhan Sosilawati dan tiga  rakannya dapat diselesaikan  berdasarkan tindakan diambil dan bahan bukti  yang diperoleh," katanya.
Mohd  Bakri berkata, bagi ujian  asid deoksiribonukleik (DNA) yang dibuat  pada serpihan tulang yang  dipercayai milik mangsa, keputusan  mengenainya hanya akan diperoleh  sekurang-kurangnya dalam empat hari  lagi.
"Misi mencari  bahan bukti dihentikan hari ini (semalam)  dan jika selepas ini kami  dapati ada keperluan atau masih ada lagi  benda yang perlu dicari atau  dilakukan, kami akan sambung operasi,"  katanya.
Mohd Bakri  berkata, dua pasukan khas ditubuhkan bagi  menjalankan siasatan  menyeluruh berhubung tragedi pembunuhan  keempat-empat mangsa dan kes  kehilangan tiga lagi individu serta  seorang wanita yang mati dibunuh  sebelum ini.    Beliau berkata, bagi  kes Sosilawati dan tiga rakannya,  pasukan khas diketuai Ketua Jabatan  Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk  Ku Chin Wah, manakala bagi pasukan  menyiasat individu hilang ia  diketuai Timbalan Pengarah Jabatan  Siasatan Jenayah Risikan dan Operasi,  Datuk Hadi Ho Abdullah.
"Setakat  ini, kami sudah kenal  pasti suspek terbabit empat kes lain iaitu tiga  kes individu hilang  selepas mengadakan pertemuan dengan suspek utama.  Kami tidak menolak  kemungkinan mereka turut menjadi mangsa bunuh selain  satu kes wanita  mati ditikam di hadapan rumahnya tahun lalu," katanya.
Sosilawati,  47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44,  pegawai  bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham  Mohammad, 38,  dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor  hilang sejak  30 Ogos lalu selepas ke Banting untuk urusan pembelian  tanah.
Keempat-empat  mangsa disahkan dipukul sampai mati  sebelum dibakar dan abunya dibuang  ke dalam sungai berdekatan Ladang  Gadong, Banting.    Kes pembunuhan  itu terbongkar selepas penahanan  suspek utama yang juga seorang peguam  berusia 41 tahun pada 11 September  lalu diikuti beberapa tangkapan  membabitkan tujuh individu lain. Semua  suspek dipercayai pekerja suspek  utama.
Sebelum itu, polis  menemui kereta mewah milik  Sosilawati ditinggalkan di sebuah pangsapuri  di USJ1 dan kereta  peguamnya di tempat letak kereta Hotel Dorset, Subang  Jaya.
Peguam terbabit orang terakhir dilihat bersama semua mangsa. Setakat ini, motif pembunuhan masih dalam siasatan.
Sejak itu, kawasan Ladang Gadong dipercayai milik suspek utama menjadi tumpuan siasatan polis selain tiga sungai utama di kawasan berkenaan iaitu Sungai Kanchung Laut, Sungai Gelanggang Buaya dan Sungai Panchau yang dipercayai menjadi lokasi pembuangan tulang mangsa, senjata pembunuhan dan barangan peribadi mangsa termasuk jam tangan serta telefon bimbit. Semua sungai berkenaan terletak antara dua hingga lima kilometer dari ladang berkenaan. Wartawan Harian Metro yang 'berkampung' di lokasi kejadian sejak Ahad lalu juga mendapati orang ramai terutama penduduk sekitar keluar beramai-ramai untuk melihat lokasi kejadian tanpa menghiraukan kawasan berkenaan dikawal ketat.
  Dalam tinjauan semalam selepas media dibenarkan mendekati kawasan   pintu masuk ladang berkenaan mendapati kawasan ladang itu dipagar dengan   tembok simen setinggi kira-kira dua meter manakala pintu masuk utama   dikawal menggunakan pagar kawalan automatik serta terdapat satu lagi   pagar kira-kira 100 meter dari pintu utama ladang.     Pintu masuk utama   ladang itu turut tertera dua tanda amaran iaitu 'Dilarang Masuk' dan   'Awas Anjing Ganas'. Turut kelihatan di dalam kawasan ladang berkenaan   ialah beberapa bangunan menyerupai chalet, rumah pondok serta gazebo   selain beberapa tapak semaian ditutupi jaring berwarna hitam dipercayai   untuk tanaman sirih di sepanjang laluan pintu masuk hadapan.