
Pelbagai komen dan tuduhan dilemparkan oleh kerajaan Pusat terhadap matawang Dinar dan Dirham keluaran kerajaan Kelantan sebelum ini.
Bukan itu saja, malahan ada yang mencabar agar dibuktikan bahawa matawang Dinar ini mendapat sambutan daripada orang ramai.
Nah, sekarang cabaran itu telah terjawab apabila matawang Dinar habis dijual di Kelantan.
Menurut  Kelantan Gold Trade (KGT) Sdn Bhd yang mengeluarkan matawang Dinar  berkata sebanyak RM1.5 juta wang dinar dan RM1 juta wang perak dirham  telah terjual semenjak diperkenalkan pada 12 Ogos lalu.
"Kami  memohon agar orang awam bersabar sehingga selepas Aidilfitri bagi  mendapatkan dinar. Buat masa ini, hanya syiling dirham sahaja yang boleh  didapati tetapi ianya akan hanya dijual kepada yang mahu menggunakannya  untuk membayar zakat fitrah," kata CEO KGT Umar Ibrahim Vadiloo.
KGT adalah anak syarikat kepada Kelantan Menteri Besar Corporation yang juga menguruskan matawang berdasarkan syariah.
Umar  berkata sebanyak 150,000 syiling dinar dan dirham yang dikeluarkan dan  kebanyakan pembeli membelinya untuk kegunaan pelaburan.
"Ianya  adalah wang syiling emas, jadi mereka membelinya untuk pelaburan dan  daripada pemerhatian kami ramai pembeli berbuat demikian," katanya lagi.
Satu dinar sekarang ini berharga RM592 dan dirham RM13 tetapi nilainya berubah-ubah mengikut harga pasaran.
Mengikut perundangan Islam, syiling dinar seberat 4.25 gram emas manakala dirham 3.0 gram perak tulen.