Selasa, 28 September 2010
Bantuan Warga Emas Dari Hasil Judi?. Guan Eng Jelaskan Tuduhan UMNO
Kenyataan akhbar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng
UMNO sekali lagi meneruskan fitnah dan tohmahan terhadap Kerajan Negeri Pulau Pinang dengan mendakwa bahawa Program Penghargaan Warga Emas dibiayai oleh sumber judi haram dan bila ini dibuktikan palsu, UMNO mengalih kepada program Rakan Anti-Kemiskinan (RAK) untuk membasmi miskin tegar. Taktik jahat seribu jahat bertujuan menggagalkan program ini daripada kerajaan berjiwa rakyat PR yang memberi manfaat kepada rakyat.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan tunduk kepada usaha UMNO mengganggu-gugat program penghargaan warga emas yang membayarkan RM100 setiap tahun kepada semua yang melebihi 60 tahun. Sehingga sekarang, hampir 110,000 warga emas di Pulau Pinang telah mendaftarkan diri dan akan mendapat bayaran RM100 setiap tahun demi mengenang budi atas sumbangan warga emas. Di samping itu, si waris warga emas yang mendaftarkan diri akan menerima RM1,000 sekali sahaja bila warga emas meninggal dunia. Sebanyak RM20 juta telahpun diperuntukkan untuk program ini dalam Belanjawan 2010 pada tahun lepas.
Wang yang dibayar oleh kerajaan negeri untuk program ini tidak datang daripada mana-mana derma atau sumber kerajaan persekutuan. Ia adalah penjimatan hasil urustadbir CAT yang cekap, akauntabel dan telus serta langkah anti-rasuah yang bukan sahaja dipuji oleh Laporan Ketua Audit Negara tetapi juga disanjungi oleh badan antarabangsa anti-rasuah terunggul, Transparency International.
Urustadbir CAT dan langkah anti-rasuah telah membolehkan Pulau Pinang mencatatkan lebihan Belanjawan yang paling besar dalam sejarah sebanyak RM88 juta pada 2008 dan RM77 juta pada 2009. Oleh itu, tidak wujud langsung program ini dibiayai oleh sumber luar. Keseluruhan kos program ini dibiayai sepenuhnya oleh hasil lebihan Belanjawan. Dengan kata lain, program penghargaan warga emas adalah dividen “anti-rasuah” yang dapat dinikmati oleh rakyat kerana mempunyai sebuah kerajaan negeri yang bersih dan tidak makan duit.
Ini bukan kali pertama program ini diserang, kerana sebelum ini, BN pernah mendakwa bahawa pemberian RM100 kepada warga emas adalah serupa bagi rasuah! Untuk BN, bagi wang sama rakyat adalah rasuah tetapi lain pula bagi wang ke dalam kocek sendiri.
Sekiranya kerajaan negeri tak makan duit maka rakyat boleh dapat duit! UMNO jangan harap akan mengganggu-gugat program dividen anti-rasuah RM100 setiap tahun kepada warga emas dengan fitnah dan tohmahan.
Program Rakan Anti-Kemiskinan (RAK) Membasmi Miskin Tegar Di Pulau Pinang Tetap Diteruskan.
Selepas gagal membuktikan Program Penghargaan Warga Emas terbabit dengan hasil judi haram, UMNO pula cuba mengalihkan perhatian daripada fitnah mereka dengan menyatakan program RAK membasmi miskin tegar datangnya dari sumber judi haram. Bukti UMNO adalah derma RM2 juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.
Program RAK adalah inisiatif murni kerajaan negeri PR untuk membasmi miskin tegar dalam kalangan keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM400 sebulan di Pulau Pinang dan memastikan setiap keluarga mendapat sekurang-kurangnya RM500 sebulan. Menerusi RAK, kerajaan negeri PR telah berjaya membasmi miskin tegar dalam tempoh masa setahun sahaja, apa yang tidak dapat dilakukan oleh BN dalam 51 tahun. Menyedari tentang sensitiviti wang derma daripada Kelab Lumba Kuda untuk orang Islam, maka ia diasingkan dan tidak diberikan kepada orang Islam tetapi hanya kepada orang bukan Islam.
Malah, Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Farizan Darus telah mengesahkan kepada saya semalam bahawa wang derma RM2 juta ini daripada Kelab Lumba Kuda diasingkan dan dikhususkan kepada orang bukan Islam dan tidaknya kepada orang Islam. Perlu diingati bahawa ada juga orang bukan Islam yang miskin tegar, bukan semua bukan Islam kaya macam pemimpin BN. Adakah salah untuk menyalurkan wang derma ini kepada orang bukan Islam?
Bukankah lebih salah dan haram untuk UMNO luluskan lesen judi bola? Atau adakah UMNO dendam sama Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang merupakan negeri pertama mengharamkan judi bola dan sekaligus merosakkan rancangan baik UMNO untuk membenarkan lesen judi bola di Malaysia? Yang jahat pula tuduh orang lain.
Bantuan RAK kepada keluarga miskin tegar Islam dibiayai daripada hasil kerajaan negeri menerusi lebihan Belanjawan yang disebut tadi. Memang BN dan UMNO iri hati atas kejayaan kerajaan negeri membasmi miskin tegar dan program penghargaan warga emas. Walaupun terus difitnah, kerajaan negeri tidak akan berganjak atau tunduk langsung ke atas anasir jahat ini yang mahukan dua program ini dihentikan.
Rakyat terus dibela, hak rakyat terus diperkasakan dan undang-undang terus didaulatkan.
LIM GUAN ENG
Kenyataan Akhbar
Ketua Menteri Pulau Pinang
Di Komtar, George Town