Sabtu, 28 Ogos 2010

Wujud Bukti Penipuan Menyebabkan Peguam Felda Tidak Hadir


SUARA KEADILAN | SHAH ALAM - Ketua Angkatan Muda KEADILAN Negeri Sembilan, Rebin Birham menegaskan kemenangan kes tuntutan 354 peneroka Felda Kemahang 3 bukan disebabkan oleh ketidak hadiran peguam mewakili Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tetapi keputusan mahkamah dibuat setelah mendapati Felda sememangnya telah menipu peneroka terbabit.

"Walaupun peguam tidak hadir, namun prosiding perbicaraan tetap dijalankan. Apa yang penting setelah mahkamah membuat penelitian, diputuskan bahawa penipuan terhadap peneroka sememangnya wujud.

Malah keputusan yang sama diperolehi di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Oleh yang demikian ketidak hadiran peguam di mahkamah bukanlah penyebab kepada kekalahan Felda dalam kes ini," jelas Rebin dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menuding jari kepada kegagalan peguam Felda menghadiri prosiding awal mahkamah di Mahkamah Tinggi Kota Bharu sebagai penyebab ia tewas dalam kes tuntutan 354 peneroka Felda Kemahang 3, Tanah Merah, Kelantan yang diputuskan Mahkamah Persekutuan, Putrajaya Jumaat lalu.

Sehubungan itu, Felda diperintah membayar ganti rugi RM11 juta kepada kesemua peneroka terbabit selepas agensi tersebut gagal dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Persekutuan.

Rebin juga membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini yang akan mempertahankan imej dan maruah Felda habis-habisan.

"Kenyataan sedemikian tidak seharusnya keluar dari mulut seorang Perdana Menteri. Sebagai seorang PM yang mewakili suara rakyat seluruh negara seharusnya mengambil inisiatif menyelesaikan masalah ini bukannya berpihak kepada Felda.

"Kenyataan sebegini sememangnya mendukacitakan peneroka khususnya dan rakyat Malaysia amnya dan ini amat dikesali. Saya percaya peneroka bukanlah boleh ditipu lagi oleh Felda. Mereka kini sudah berfikir dan mampu bertindak pada masa sekarang dan akan datang," kata Rebin.