Lumrah   kehidupan, insan yang cantik, bijak dan berwawasan akan sentiasa   menjadi perhatian, apatah lagi jika dia seorang pemimpin. Tetapi tidak   semua semestinya positif kerana personaliti seperti ini tidak dapat lari   daripada golongan PHD (perasaan hasad dengki). Ini biasa dalam dunia   politik.  
Orang   mengenali Shahanim Mohd Yusof sebagai Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia.   Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa beliau pernah bertugas dengan   Maybank selama 14 tahun dan menerima anugerah “Best Financial Executive   for Maybank Finance in Malaysia” pada 2001.  
Setelah   memenangi anugerah itu beliau dihantar ke Barcelona, Sepanyol serta   Itali dan dinaikkan pangkat kepada Eksekutif Pembangunan Perniagaan   sebelum letak jawatan pada 2004 untuk menjadi usahawan dengan membuka   sebuah stesen minyak dan pada masa yang sama memberi lebih perhatian   kepada politik.  
Namun   sebaik melangkah kaki ke dunia politik, kehidupan Shahanim tidaklah   seindah yang dilihat pada zahirnya. Pelbagai duri dan liku terpaksa   diharungi….dan yang paling menghantui nya apabila difitnah beraksi dalam   VCD lucah,mempunyai skandal dengan seorang Menteri Besar serta membuat   kekayaan menerusi politik. Tidak cukup dengan itu, baru-baru ini  beliau  dikatakan tidak sebulu pula dengan ketuanya.  
Dalam   satu pertemuan dengan Agendadaily, Shahanim meluahkan segala yang  telah  terpendam di dalam hatinya mengenai isu-isu berkenaan sehingga  ada  ketika tertentu, beliau tidak dapat menahan sebak di dada..  
Shahanim   berkata beliau menyangka dengan berdiam diri selama ini, semua fitnah   dan tohmahan terhadapnya akan lenyap. Harapanya nyata meleset. Kini   beliau merasakan sudah sampai masanya membuka mulut.
 
Agendadaily: Ada desas desus kononnya Shahanim tidak sebulu dengan Ketua Puteri, Datuk Rosnah Rashid Shirlin?  
Shahanim:   Saya dah selalu sangat dengar perkara ini. Saya nak jelaskan bahawa   antara saya dan Rosnah tak ada masalah. Saya buat kerja saya dan dia   buat kerja dia. Sedikit pergeseran itu adalah perkara biasa tetapi fokus   sekarang ialah dalam keadaan UMNO yang macam ini… saya kena buat kerja   macam mana nak jadikan gelombang wanita muda dapat bantu UMNO dan BN   menang PRU ke-13. Saya anggap desas-desus ini sebagai perkara remeh.  
Agendadaily: Dengar cerita puan tak puashati apabila tidak dilantik ke sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO?  
Shahanim: Itu keputusan dan hak Datuk Rosnah sebagai Nombor 1. Dia tak lantik saya sebagai MT pun saya tak pernah persoal.
  
  Agendadaily:   Tetapi sayap lain seperti Wanita dan Pemuda UMNO, naib ketua   masing-masing secara automatik dilantik ke MT. Mengapa Puteri tidak?   Tidakkah ini memberi gambaran bahawa puan telah diketepikan dan puan   mempunyai sebab kukuh untuk tidak sebulu dengannya?  
Shahanim:   Biar saya berterus terang. Pada tarikh perlantikan MT dibuat, saya   sedang menganjurkan kenduri bersama keluarga sempena sambutan hari lahir   suami saya pada 24 April. Sedang kita raikan kenduri, Datuk Rosnah   menelefon dan beritahu saya dia tak lantik saya sebagai MT di atas   sebab-sebab yang tertentu. Saya tidak tanya banyak dan cakap it is okay.   Saya cakap pada dia, itu hak dia untuk melantik Dr Norashikin. (YB Dr.   Wan Norashikin Wan Noordin). Saya kata saya akur.  
Agendadaily:   Timbalan Perdana Menteri telah meletakkan tiga KPI kepada Puteri,  iaitu  menambah ahli, daftar pengundi muda dan berbaik dengan NGO.  Bukankah  secara logik, tugas besar ini patut diberikan kepada Naib  Ketua?  
Shahanim:   Saya telah diberi amanah sebagai Pengerusi Biro Antarabangsa yang saya   rasakan saya tak dapat nak menyumbang lebih. Tetapi sebagai naib saya   akur dan tidak pernah mempertikaikan jawatan yang diberi.  
Sebenarnya   dalam mesyuarat Exco Puteri bulan lalu, Datuk Rosnah ada membuat   rombakan. Saya tidak dapat datang kerana terpaksa hadir di sekolah anak   saya untuk menandatangani buku laporan. Ketika itu memang saya ada   menaruh harapan kerana saya rasa saya mampu pegang jawatan biro keahlian   dan turun ke negeri-negeri bagi mewujudkan minat dan meyakinkan   golongan wanita muda mengapa kita perlu pilih UMNO. Saya tunggu tetapi   keputusan tak memihak kepada saya, dan kini saya masih pegang jawatan   biro antarabangsa.  
Agendadaily: Rasa terkilan ke tidak ?  
Shahanim:   Terasa juga…sebab saya rasa saya patut pegang biro yang telah diberi   KPI oleh Tan Sri Muhyiddin selaku Timbalan Presiden UMNO. Atas kapasiti   saya sebagai Nombor 2, saya yakin saya boleh buat kerja itu. Tetapi   apabila tidak diberi kpercayaan, memang rasa terkilan. Bagaimanapun saya   akur dengan keputusan Ketua Puteri.  
Agendadaily:   Tetapi dengan TPM meletakkan KPI berkenaan, apa relevan tugas puan   sebagai Pengerusi Biro Antarabangsa dengan persiapan menghadapi PRU?  
Shahanim:   Dengan keadaan empat negeri yang kalah, untuk menghadapi PRU ke-13  kita  perlu dapatkan banyak sokongan wanita muda. Kalau nak tarik  golongan  wanita muda berusia antara 21 dan 40 tahun, biro-biro yang  kurang beri  faedah patut dikurangkan dan beri fokus kepada menambah  ahli. Kita harus  letak lebih ramai orang di situ kerana kalau letak  seorang sahaja,  susah nak laksana tanggungjawab itu.  
Agendadaily:   Adakah puan berpendapat bahawa mungkin tidak dilantik oleh Rosnah  untuk  memikul tanggungjawab penting seperti MT dan Biro keahlian kerana  isu  kononnya ada VCD lucah puan dan beberapa gosip lain ?

 

Shahanim:   Saya rasa mungkin sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan beliau  tetapi  beliau kena ingat orang politik tak pernah lepas dari fitnah dan  saya  menjadi mangsa fitnah terbesar dan kini sudah sampai masanya saya  nak clear everything .  
Selepas   berdiam diri ke atas fitnah yang dilemparkan terhadap saya sejak 2006,   hari ini saya menemui seorang wartawan yang berani tanya soalan maut   ini. Sebelum ini tak ada wartawan yang berani bertanya.  
Apabila   saya berhenti dari Maybank pada 2004, saya telah dilantik oleh Datuk   Seri Syed Razak (mantan Menteri Besar Kedah) sebagai ketua Puteri Kedah.   Saya bukan dilantik oleh Dato' Seri Mahadzir Khalid.  
Pada   mulanya saya menolak tawaran itu dengan alasan saya sudah memegang   jawatan Exco Pergerakan Puteri UMNO. Tetapi setiausaha sulit kepada   Datuk Seri Syed Razak telefon saya dan cakap, Menteri Besar dah bagi   kepercayaan dan saya harus terima amanah itu. Jadi saya pun terimalah.  
Pada   2006, Datuk Seri Syed Razak sakit dan jawatan itu diambil alih oleh   Datuk Seri Mahadzir Khalid. Beliau tak lantik saya sebagai Ketua Puteri   kedah. Tetapi beliau lantik Ketua Puteri, Ketua Pemuda dan Ketua Wanita   sebagai pegawai khas untuk membantu sayap-sayap di negeri Kedah.  
Berdasarkan pengalaman 14 tahun saya di Maybank, beliau telah melantik saya sebagai pegawai   khas yang jaga GLC (syarikat berkaitan kerajaan) . Ahli Dewan Negeri   kawasan Air Hangat yang juga Ketua Pemuda Kedah serta Ketua Wanita Kuala   Kedah juga dilantik sebagai pegawai khas.  
Sebagai   pegawai khas, pastinya ke mana MB Kedah ada, kita kena ada…bos saya   pula Pengerusi Perhubungan Negeri kedah. Maka, ke mana sahaja majlis   UMNO beliau ada, saya pun pergi juga.  
Rentetan   itu, orang tengok di mana ada Mahadzir, di situ ada Shahanim. Ada   kalanya mesyuarat GLC sampai malam. Dah lumrah sikap orang kita. Kalau   saya duduk satu hotel dan kebetulan bos duduk hotel yang sama, itu dah   dianggap skandal. Kalau minum dan gelak sama-sama pun disebut skandal.   Kita boleh tutup mulut tempayan, tetapi kita tak boleh tutup mulut   manusia daripada menyebarkan tohmahan.  
Tahun   lepas semasa nak pergi umrah, saya cakap kat emak saya bahawa saya   doakan orang yang fitnah saya ini supaya diberi petunjuk dan hidayah   oleh Allah.  
Agendadaily: Bagaimana menghadapi fitnah kononnya ada VCD lucah puan disebarkan tu ?  
Shahanim:   Sebagai orang poiltik, saya boleh hadapi semua tohmahan dan fitnah  ini,  tetapi apabila anak-anak menjadi mangsa, saya tak tahan. Bayangkan   apabila anak saya pulang dari sekolah dan beritahu kawan-kawan   sekolahnya mengatakan mereka lihat gambar saya dalam YouTube… (pada   ketika ini Shahanim tidak dapat mengawal rasa sebak).
  
  Macammana saya nak yakinkan dan suruh anak saya counter   balik cerita-cerita itu kepada kawan-kawannya?. Orang sanggup fitnah   saya sampai ke tahap itu. Anda perhatikan sendiri. Dah jelas gambar itu   menunjukkan muka saya dicantumkan dengan badan orang lain. Saya tengok   badan itu badan seorang artis sebab saya dah cek pelakon itu memakai   baju yang sama dengan gaya yang sama. Fikirlah sendiri.  
Perkara   ini menjadi lebih sensitif apabila guru sekolah anak saya bertanyakan   kepada anak saya sama ada saya dan suami sudah bercerai! Saya dan suami   saya sudah 16 tahun berkahwin, tak pernah ada masalah. Sampaikan guru   sekolah pun jadi macam itu. Saya terpaksa tukarkan sekolah anak saya   dari Sungai Petani ke Kuala Lumpur.  
Saya   berpegang, macam mana pun kita buat, kebenaran akan timbul sama ada   cepat atau lambat. Saya bersyukur dapat suami yang amat memahami dan   mengenali diri saya. Kepercayaan yang dia bagi adalah asas kekuatan diri   saya.  
Agendadaily:   Boleh komen mengenai dakwaan bahawa puan mendapat kekayaan semasa   bekerja dengan Mahadzir Khalid, serta isu mengenai hadiah kereta kepada   suami dan stesen minyak?  
Shahanim: Kereta Harrier itu adalah second-hand   . Saya bayar RM40ribu dan buat pinjaman RM70ribu. Sampai ke hari ini   masih berhutang RM12ribu. Bulan lepas tertunggak tiga bulan. Kalau   hadiah tak payah hutang.  
Stesen   minyak saya pula, saya pergi interbiu di Petronas sebelum saya letak   jawatan di Maybank dan dapat pada 2004…sebelum saya join MB Kedah. Saya   kerja dengan Datuk Seri Mahadzir Khalid pada 2006.  
Saya   nak cabar siapa yang dok kata saya cari kekayaan atau dapat projek   supaya menamakan projek itu dan berapa jumlahnya. Apa yang saya dapat   semasa jadi Ketua Puteri Kedah, yang merupakan hak saya, cuma satu…ialah   sebagai salah seorang board of directors Kumpulan Ladang. Sebagai   pengarah saya dapat RM2ribu sebulan dan pada hujung tahun syarikat GLC   itu buat keuntungan, saya dapat RM70ribu setahun.  
Agendadaly: Kenapa selama ini puan berdiam diri terhadap gosip dan fitnah ini?  
Shahanim:   Masa mula-mula dulu saya bercadang nak buat laporan polis di Bukit   Aman, tetapi beberapa pemimpin veteran UMNO kata dalam politik ini   perkara biasa dan saya tak perlu heboh. Mereka kata kalau buat report   berrmakna kita melatah.  
Tetapi   seminggu sebelum PRU ke-12 pada 8 Mac 2008 tersebar SMS yang  mengatakan  VCD lucah saya akan disebarkan sekiranya nama saya naik jadi  calon.  Macam biasalah, dalam masa tak sampai lima minit, satu Malaysia  dapat  SMS itu. Maka orang sibuk mencari-cari VCD itu…termasuk saya  sendiri.  Sehingga hari ini mana ada?
  
  Setakat gambar superimpose   muka saya dicantum dengan badan pelakon…adalah. Saya sendiri nak  tengok  VCD itu kalau ada. Malah saya buat tawaran RM30ribu kepada  sesiapa yang  boleh buktikan dan tunjukkan VCD itu kepada saya. Sehingga  hari ini tak  ada pun orang datang dan tunjuk bukti fitnah itu betul  atau tidak.  
Selepas   itu timbul gosip kononnya PKR sedang menyiarkan video Shahanim, Saya   hantar orang pergi tengok tetapi tak ada pun. Ternyata cuma ceramah   biasa PKR sahaja.  
Mengenai   stesen minyak. Jangan salah faham. Untuk mendapatkan sesebuah stesen   minyak bukan mudah. Duit sahaja tak cukup kerana Petronas mendapat   beribu permohonan. Kalau mereka kata saya dapat sebab politik…itu salah.   Semak dengan Petronas dan tengok syarat ketat yang diletakkan. Mereka   mahukan orang yang mempunyai rekod yang bagus dan saya yakin Petronas   meluluskan permohonan saya kerana rekod saya di Maybank.  
Kalau   pasal politik, periksalah stesen minyak di Malaysia, hanya dua tiga   kerat sahaja ahli politik yang dapat. Petronas tak pandang langsung ahli   politik dalam bab bisnes. Semasa ditemuramah oleh Petronas, saya   beritahu mereka saya dah jual saham Maybank, ada duit tapi tak ada kerja   bila berhenti nanti.  
Mereka   tanya apa yang saya jangkakan. Saya kata gaji saya di Maybank RM6 ribu   ketika itu dan saya rasa kalau ada stesen minyak boleh dapat antara  RM20  ribu hingga RM30 ribu sebulan. Malah bila sampai kritikal sebagai  Naib  Ketua Puteri UMNO yang tidak dapat sebarang elaun atau projek  untuk  bantu parti…saya telah menggunakan pendapatan dari stesen minyak  ini  untuk menanggung program-program Puteri.  
Saya   pergi rasmi program Puteri sana sini dan bila nak buat tuntutan   perjalanan dan sebagainya, Puteri UMNO kata tidak ada peruntukan. Jadi   saya kena guna duit sendiri Saya kena berkorban kerana jika orang tak   dapat Nombor 1, mereka akan cari Nombor 2 untuk datang ke program   masing-masing. Saya tak mahu biarkan orang yang telah menyokong saya.   Saya kena turun padang, walaupun terpaksa pakai duit sendiri.  
Agendadaily: Tolong cerita bebanan menjadi Nombor 2?  
Shahanim:   Yang pertama, apabila orang Nombor 2 bertanding nombor 2, dia tahu dia   akan jadi Nombor 2. Dia tahu dia akan jadi nada bos Nombor 1. Pastinya   kesetiannya pada bos Nombor 1. Cabaran lain ialah, bos biasalah ada  ego  dia sendiri. Jadi ada kalanya susah kita nak sampaikan pandangan  dan  pendapat kita. Kalau bos mahu dengar, dia dengarlah. Kalau dia tak  mahu  dengar, dia tak dengarlah.  
Sebagai   orang Nombor 2, kita tidak boleh terlebih laju atau terlajak sedikit   daripada bos. Kita nak kawal diri supaya tak melepasi bos, walhal   kekuatan kita, jati diri kita boleh buat banyak benda melepasi bos.   Tetapi disebabkan kita Nombor 2, kita ada sifat setia pemimpin, dan   lebih baik ambil sifat berdiam diri.  
Agendadaily:   Ramai orang kata Puteri tidak seagresif dulu jika dibandingkan ketika   di bawah kepimpinan Datuk Azalina Osman Said dan Datuk Noraini Ahmad?  
Shahanim:   Ini adalah isu pendekatan. Azalina membawa pendekatan agresif. Masa   Puteri mula ditubuhkan beliau banyak tekankan pada jati diri, input kita   dan kita bersemangat dan berani lawan. Beliau pemimpin yang sangat   tegas, kalau bagi arahan, beliau nak arahan itu sampai turun ke bawah.  
Datuk   Noraini pula guna pendekatan lemah lembut tetapi masih lagi turun ke   bawah dengan satu program yang menyentuh hati dan perasaan saya sehingga   hari ini, iaitu Puteri Menyusur Akar. Beliau bersma-sama turun ke   kampong, lawat rumah orang miskin dan daif.  
Pendekatan Datuk Rosnah pula, beliau ada cara sendiri dan saya masih tengah nak baca pendekatannya.  
Agendadaily: Apakah pengalaman puan dalam Maybank dapat diterapkan atau dikongsi bersama dengan Puteri?  
Shahanim : Yang pertama, di Maybank kita terapkan KPI. Keduanya kita ada sasaran, ketiga, pencapaian dan keempat, reward.   Dari dulu saya, sebelum sertai Puteri, saya sudah hidup dengan KPI. Di   Maybank Finance saya buat dana amanah, pinjaman peribadi, insurans dan   sebagainya. Dalam mengendalikan semua produk ini saya kena capai   sasaran. Kalau di bank kita mencapai sasaran, kita dapat lima bulan   bonus atau lawatan ke luar negara.  
Saya   berhenti Maybank pada 2004. Dalam Puteri pun saya buat KPI dan   pengurusan masa. Untuk tahun ini saya dah ada plan. Saya dah ada target   apa nak buat dalam bulan puasa dan bulan-bulan seterusnya termasuk   program yang membabitkan pelajar yang akan menduduki UPSR, PRM dan SPM.  
Agendadaily:   Datuk Seri Azalina ada menyuarakan kebimbangannya terhadap nasib yang   menimpa bekas pemimpin Puteri yang diketepikan oleh Wanita UMNO. Puan   sedia komen?  
Shahanim:   Ya. Saya juga sedih dengan nasib bekas pemimpin dan ahli Puteri.   Apabila habis Puteri, apabila mereka mahu menyumbang kepada Wanita,   mereka tak diterima. Saya memohon keterbukaan pemimpin Wanita.
Sayangilah adik-adik Puteri ini sebab kami adalah produk pemimpin pelapis UMNO. Kalau bekas pemimpin Puteri dibiarkan tanpa jawatan, setakat jadi ahli wanita biasa, bakat kepimpinan mereka akan terbiar begitu sahaja. Contohnya, saya, apabila habis tempoh Puteri nanti, kalau Wanita tak ambil saya…kena balik berniagalah.
Sayangilah adik-adik Puteri ini sebab kami adalah produk pemimpin pelapis UMNO. Kalau bekas pemimpin Puteri dibiarkan tanpa jawatan, setakat jadi ahli wanita biasa, bakat kepimpinan mereka akan terbiar begitu sahaja. Contohnya, saya, apabila habis tempoh Puteri nanti, kalau Wanita tak ambil saya…kena balik berniagalah.
Saya mohon Wanita pertimbang untuk serap pemimpin Puteri yang tamat tempoh ke dalam G5. Jika   tidak, UMNO akan kehilangan produk pemimpin pelapis. Kesetiaan wanita   muda amat tinggi. Puteri dah banyak berjuang untuk membantu Wanita dan   UMNO.