Adalah tidak mudah untuk para  hakim mempertahankan konsep kebebasan kehakiman, ini kerana dalam  kes-kes kritikal mereka tidak mampu untuk berbuat demikian; sama ada  kerana sayangkan kedudukan mereka atau mereka menganut fahaman kerajaan  yang memerintah.
Demikian ditegaskan Profesor Dr  Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas tentang kes Abdul Malek Hussin  yang gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan. Sebagaimana kes-kes  kritikal yang lain, keputusan kes ini - di mana Mahkamah Tinggi  membenarkan tuntutan sebanyak RM2.5 juta kerana beliau ditahan secara  tidak sah - berubah di peringkat rayuan.
Sehingga ini, katanya fenomena  itulah yang berlaku. Apa yang diputuskan dalam kes saman Abdul Malek itu  memperlihatkan aliran yang sama dengan krisis politik di Perak,  membabitkan Dato Seri Mohamed Nizar Jamaluddin yang menang di Mahkamah  Tinggi. Bagaimanapun di peringkat rayuan - yakni di Mahkamah Rayuan dan  Mahkamah Persekutuan - kedudukan Dato Dr Zambry dipulihkan kembali.
"Sebenarnya kes-kes yang  disebutkan itu boleh diputuskan dengan lebih dari satu cara. Khususnya  apabila is bergantung kepada kuasa budi bicara. Sebagai mana dalam  hukum; ada dua atau tiga qaul yang boleh dipakai," katanya.  Bagaimanapun, Aziz menjelaskan, ada pandangan tertentu yang lebih adil  dan lebih sesuai dengan sesuatu keadaan. 
"Keadaan yang kritikal ini  memerlukan hakim-hakim yang berani dan mempunyai ilmu yang mantap. Hakim  yang penakut dan tidak dalam ilmunya - walaupun secara rasmi bergelar  Yang Arif atau Yang Amat Arif - akan berasa ketakutan. Ada juga hakim  yang berani tetapi mereka mungkin condong kepada faham politik 
tertentu," tegasnya lagi.
Pakar perlembagaan itu berkata,  apa yang berlaku di Malaysia sekarang pernah berlaku di negara lain  termasuk di Amerika Syarikat pada pertengahan kurun ke 19. 
"Ketika itulah Mahkamah Agung  Amerika Syarikat memutuskan amalan hamba abdi selaras dengan peruntukan  perlembagaan negara itu dan keputusan itu membawa kepada perang  saudara," jelasnya. 
Aziz berkata pengalaman itu  menunjukkan bahawa rakyat perlu tampil ke depan untuk membetulkan  keadaan yang sudah tidak mampu ditangani oleh mahkamah. Beliau  mengingatkan dengan beberapa kes tertentu, yang melibatkan kerajaan  kalah, tetapi ini tidak bermakna bahawa kebebasan telah pun pulih. 
"Kerajaan bersedia untuk kalah  dan membayar wang hanya untuk menunjukkan bahawa kebebasan itu wujud.  Tapi dalam kes-kes tertentu di mana maruah kerajaan amat penting, hakim  tidak berani untuk mengambil keputusan yang betul meskipun ia  berlandaskan perlembagaan selaku undang-undang tertinggi negara",  tambahnya. 
Aziz merujuk kepada kes di  Mahkamah Tinggi baru-baru ini di mana seorang pegawai tentera menang  dalam samannya terhadap kerajaan. Bagaimanapun mahkamah yang sama tidak  bersedia untuk 
mengharamkan PPSMI meskipun ia jelas melanggar Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Berbalik kepada kes Abdul Malek,  Profesor Undang-undang itu berkata keputusan Mahkamah Tinggi oleh Dato  Hishammuddin Yunus adalah keputusan yang baik dan kreatif. 
"Saya fikir hakim tersebut bukan  sahaja melaksanakan apa yang disebut dalam peruntukan tetapi juga  melaksanakan semangat dan ruhnya sama. Malangnya ini dibatalkan di  peringkat rayuan," kata Aziz. Apa yang berlaku ini, termasuk kes-kes  yang melibatkan Dato Seri Anwar Ibrahim, perlu dikaji secara terperinci  dan mendalam. 
"Kajian akademik ini bukan  sahaja menumpukan aspek perundangan yang terpapar dalam penghakiman  tetapi juga latar belakang dan peribadi hakim-hakim yang terlibat.  Selain itu, senario politik semasa juga perlu diambil kira," ujarnya. 
Aziz berkata, di negara-negara  maju kajian sedemikian amat popular dan dapat memberi gambaran sebenar  tentang sesuatu kes itu. Tegasnya, antara kajian yang terkenal ialah  Politics of the Judiciary yang ditulis oleh Profesor John Griffith dari Universiti London.
