PDRM cuai lagi
[TMI]  KUALA LUMPUR, 13 Ogos — Selepas negara dikejutkan dengan  pendedahan  enjin jet TUDM dicuri dan dijual sebagai barang lusuh, polis  Gombak  kehilangan kira-kira 10,000 keping kertas siasatan yang dijual  kepada  kilang kitar minggu lalu.
Sehubungan itu, polis menahan lapan  lelaki termasuk empat buruh  binaan warga Bangladesh bagi membantu  siasatan kes kehilangan kertas  siasatan dari Ibu Pejabat Polis Daerah  (IPD) Gombak. 
Kertas siasatan itu dikatakan  mengandungi rekod kes-kes jenayah IPD  itu yang sudah selesai dan  menunggu kelulusan untuk dilupuskan.
Ia disimpan di sebuah bilik di tingkat satu, salah satu daripada bangunan IPD itu yang sedang diubah suai. 
Ekoran  keadaan fail kertas siasatan itu yang sudah usang dan berhabuk   menyebabkan pekerja binaan menyangkakan ia kertas lama yang sudah tidak   digunakan lalu mengambilnya untuk dijual kepada kilang kitar semula.
Kertas  siasatan seberat kira-kira 2,000kg itu dijual pada harga RM800  kepada  beberapa kilang kitar semula di Kepong berdasarkan kadar antara  37  hingga 45 sen sekilogram.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten  Komisioner Abdul Rahim Abdullah  berkata, kehilangan kertas siasatan itu  hanya disedari Sabtu lalu oleh  salah seorang anggotanya yang mahu  menjalankan kerja-kerja pembersihan  dan mengemas kini fail-fail di  situ.
Dipetik Utusan Malaysia hari ini, beliau berkata,  pihaknya  mengesyaki kertas siasatan terbabit diambil oleh para pekerja  yang  mengubah suai bangunan tersebut.
Berikutan itu kata beliau,  pihaknya telah menahan empat lelaki  tempatan iaitu seorang penyelia  dan tiga pemandu lori berusia lingkungan  40-an untuk membantu siasatan.
“Empat buruh binaan Bangladesh berusia lingkungan 20-an turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya. 
Abdul Rahim berkata, kesemua lelaki terbabit ditahan secara berasingan pada sebelah petang dan malam kelmarin.
Beliau  berkata, empat lelaki tempatan ditahan di beberapa kawasan  sekitar  Kepong manakala kesemua pekerja Bangladesh ditangkap ketika  bekerja di  tapak binaan.
Katanya, kesemua mereka direman selama empat hari sehingga esok untuk disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.