Khamis, 19 Ogos 2010

PENCAPAIAN SETENGAH TAHUN EKONOMI NEGARA


PAKATAN RAKYAT MENJANJIKAN PENDAPATAN ISI RUMAH MINIMUM MENJELANG 2020

Pencapaian setengah tahun ekonomi negara bersama dengan angkanya telah diedar/dikeluarkan semalam. Ianya seperti yang dijangkakan. Pertumbuhan sebanyak 8.9% pada suku kedua dan 10.1% pada suku pertama, sungguhpun memberansangkan, hakikatnya angka tersebut berdasarkan ekonomi yang menguncup pada tahun 2009, iaitu pada kadar 1.9% . Jika dibandingkan dengan Indonesia dan Singapura, pertumbuhan yang dicatatkan ini membolehkan kita membandingkannya dengan pencapaian negara-negara jiran pada masa akan datang sekiranya reform/perubahan tidak dilaksanakan segera- Singapura dijangka mencatat pertumbuhan sekitar 13%-15% pada tahun 2010, manakala Indonesia dijangka mencatat pertumbuhan sekitar 6% kelansungan dari pertumbuhan yang dicatat pada tahun lalu iaitu 4.9% tatkala Malaysia dibelenggui kemelesetan.

ANGKA CUBA MENGABURI HAKIKAT SEBENAR

Apa yang pasti pengumuman semalam tidak mencerminkan realiti ekonomi buat kebanyakan rakyat negara ini. Sejumlah 2.4juta keluarga bersamaaan 40% isi rumah negara ini hanya berpendapatan RM 2300 sebulan, membentuk golongan termiskin di negara ini. Wajar diberi perhatian adalah 75% dari jumlah itu merupakan keluarga Melayu dan peribumi.

Upah yang rendah begitu menekan rakyat Malaysia tatkala mereka terpaksa berdepan dengan kos kehidupan yang semakin hari semakin meningkat. Kebanyakan graduan yang berjaya mendapat pekerjaan bergelut hanya untuk membayar segala macam bil, jauh sekali mampu untuk menabung.

Hakikat ekonomi buat kebanyakan rakyat Malaysia yang berbeza dengan apa yang diumumkan semalam memperlihatkan sebuah pengurusan ekonomi yang gagal membasmi ketidaksamaan dalam masyarakat. Setiap kali kita membincangkan kedudukan ekonomi negara, terutama apabila menyentuh jurang yang kian melebar, pastinya kedudukan ekonomi dapat disimpulkan sebagai “Yang Kaya Bertambah Kaya, Yang Miskin Papa Kedana.”

Program Transformasi Ekonomi(ETP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri pada 17 Ogos 2010 tidak menjelaskan sebarang peta jalan(road map) untuk merapatkan jurang tersebut. Program Transformasi Ekonomi menjanjikan ekonomi yang sihat dan lebih baik serta peningkatan pendapatan negara kasar dari RM 600billion (yang dijanjikan pada tahun 2009) kepada RM 1.7 billion menjelang tahun 2020. Peningkatan tersebut dikatakan mencipta 3.3 juta pekerjaan baru dan pendapatan per kapita sebanyak RM 49 500 menjelang 2020.

SASARAN PROGRAM TRANSFORMASI EKONOMI MUSTAHIL

Sebagai satu pelan ataupun kebijakan, ianya pasti sedap didengar. Namun sepertimana kebijakan atau dasar yang dibentangkan sebelum ini, Kerajaan Persekutuan sering melontar angka-angka besar dan bersembunyi di belakang asumsi serta premis yang akhirnya terbukti salah.

Demi untuk mencapai matlamat yang digariskan itu, Malaysia memerlukan RM 2.2 trilion pelaburan, 92% dari jumlah tersebut dijangka dari sektor swasta. Manakala itu 75% dari 92% tersebut sepatutnya dari pelaburan tempatan secara langsung dan bakinya dari pelaburan asing secara langsung.

Berasaskan inilah matlamat yang digariskan oleh pentadbiran sekarang pada pandangan kita tidak berpijak pada hakikat ekonomi yang sebenarnya. Mengumumkan sebuah kebijakan yang bercita-cita tinggi manakala untuk mencapainya berasaskan pelaburan swasta semata merupakan satu perancangan yang tidak bertanggungjawab sedangkan selama 12 tahun ini Malaysia begitu bergantung kepada “pump priming” dan pertumbuhan pelaburan swasta begitu kecil. Perancangan tersebut cuba mencapai yang mustahil dan menafikan rekod sebelumnya hanya demi sebuah pengumuman.

Begitu juga dengan sasaran untuk mencipta 3.3 juta pekerjaan baru dan pendapatan per kapita sekitar RM 49, 500 menjelang 2020 merupakan satu matlamat yang terpisah dari hakikat kesusahan rakyat sepanjang 10 tahun ini. Hakikatnya 34% dari tenaga kerja kita berpendapatan di bawah paras kemiskinan(kurang dari RM 700 sebulan) dan peningkatan upah hanya pada kadar 2.6%(berbanding 10% yang dicapai Indonesia di antara 2007 dan 2009)

Usaha untuk mengalihkan perhatian dengan membentangkan angka-angka baru telah membenihkan sikap untuk tidak cuba berdepan dengan punca permasalahan yang sebenar. Walaubagaimanapun saya yakin rakyat sedar ini merupakan satu lagi upaya untuk menyogok khabar muluk demi mengelirukan serta mengalihkan perhatian mereka dari hakikat kedudukan ekonomi yang sebenarnya tidak berubah sepanjang dua tahun ini.

SASARAN PR SETIAP ISI RUMAH BERPENDAPATAN RM 4000
Saya menegaskan kebijakan ekonomi yang mampu membasmi kemiskinan merupakan satu perancangan yang tidak terpisah dengan hakikat ekonomi rakyat dan akar umbi.

Sejumlah dua pertiga dari penduduk negara ini, pendapatan isi rumahnya berada di bawah RM 4000 sebulan. 4juta keluarga akan terus berdepan dengan kenaikan kos sara hidup, kecualilah ada upaya yang menjurus untuk meningkatkan pendapatan mereka dengan kadar segera.

Oleh itu selepas beberapa siri perbincangan dan penelitian, Keadilan bersetuju untuk menetapkan serta mensasarkan pendapatan isi rumah minimum pada kadar RM 4000 dalam jangka masa 5 tahun pentadbiran persekutuan Pakatan Rakyat nanti. Dasar yang dibentangkan ini akan dibawa ke Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat untuk perbincangan selanjutnya.

Keadilan akan mencadangkan kepada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat untuk melaksanakan beberapa kebijakan yang berupaya untuk melonjakkan kadar upah di negara ini demi mencapai kadar minimum pendapatan isi rumah RM 4000. Di antara dasar tersebut ialah iltizam untuk memerangi ketirisan serta rasuah, melakukan reform terhadap sistem kehakiman serta institusi awam lainnya di samping mengembalikan kredibiliti, ketelusan dan pertanggungjawaban untuk menarik pelaburan asing secara langsung(FDI).

Negara ini tidak boleh lagi menabur janji serta membentangkan perancangan yang tidak mampu dicapai dan tidak memberi manfaat kepada rakyat. 30% pegangan ekuiti yang dijanjikan Umno masih gagal dipenuhi dan ternyata memberi kesan yang nyata kepada keluarga Melayu yang sentiasa bergelut dengan upah rendah serta kos sara hidup. Namun demikian dasar itu sering di war warkan sebagai anugerah Umno kepad rakyat.

Asas kepada kebijakan pembangunan kita sewajarnya menjurus kepada penciptaan masayarakat yang adil serta memberi penumpuan kepada pengagihan adil khazanah dan sumber nagara.

YB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIMKETUA PEMBANGKANG
19 OGOS 2010