Jumaat, 20 Ogos 2010

Majalah Milenia Muslim didakwa berunsur hasutan - Mufti Perlis

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menggesa pihak berwajib di peringkat persekutuan mengambil tindakan terhadap sebuah majalah agama yang didakwa menghasut untuk menentang kedaulatan negeri itu.

Katanya, merujuk kepada siaran di Milenia Muslim edisi terbaru, majalah agama itu diisi dengan "tuduhan palsu dan hasutan ganas untuk menentang negeri Perlis dan cemuhan terhadap amalan Islamnya".

"Tanpa sumber kewangan yang kukuh daripada wang milik kerajaan persekutuan untuk aktiviti dakwah penyebaran Islam, tidak mungkin majalah ini boleh berdiri sendiri.

"Malangnya kelihatan wang awam milik kerajaan persekutuan itu telah digunakan untuk menghasut bagi menentang sebuah negeri yang berdaulat dalam Persekutuan Malaysia," katanya.
Sebelum ini, lima NGO Perlis membantah artikel bertajuk "Penyelewengan Wahabi" tulisan Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, yang turut dikaitkan dengan pegangan agama di negeri itu
Yang Dipertua Persatuan Al Islah Negeri Perlis, Datuk Ahmad Jusoh Amin dilaporkan berkata, artikel itu seolah-olah merupakan satu hasutan terhadap Perlis.

Raja Perlis nafi kaitan dengan Wahabi
Katanya ayat yang ditulis dalam artikel itu ialah "Tindakan negeri Perlis keluar daripada Jemaah dan mengambil jalan sendiri, kononnya
mengembangkan Islam tanpa mazhab adalah salah dan mesti ditentang," adalah keterlaluan.

Mereka mencadangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menghentikan segera perbincangan bersabit isu Wahabi yang mengaitkannya dengan negeri Perlis dan memohon Raja Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mendesak penulis dan penerbit majalah itu menarik balik tuduhan dan memohon maaf secara terbuka.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Dr Juanda berkata, sebagai sebuah negeri yang berdaulat, perlembagaannya pada Fasal 5 jelas menyatakan bahawa Islam Ahli Sunnah wal Jamaah merupakan agama negeri.
"Apa yang menjadi kemusykilan, mengapa penulis artikel ini beriya-iya benar cuba memalitkan negeri yang permai lagi mempesona ini dengan tuduhan yang sering dinafikan sendiri oleh DYMM Tuanku Raja Pemerintah negeri Perlis, Ketua Agama Islam negeri Perlis," katanya.

Terbaru, Raja Perlis (kanan) pada 15 Ogos lalu yang menafikan kaitan Perlis dengan "Wahabi" dan tuduhan liar yang menyatakan negeri ini menolak mazhab, jelas Dr Juanda.

"DYMM Tuanku Raja Perlis sering meminta agar pihak yang keliru dengan pengamalan Islam di Perlis agar datang sendiri ke negeri ini bagi melihat amalan Islam di sini.

Perlembagaan baru?


"Bahkan baginda menitahkan agar sesiapa yang meragui amalan di sini untuk membawakan hujah menurut al-Quran dan Sunah bagi membuktikan bahawa amalan ini bertentangan dengan Islam.

"Namun hingga kini tuduhan liar sahaja yang dilemparkan dan tiada hujah akademik yang konkrit bersandarkan al-Quran dan Sunah yang dikemukakan," katanya.

Dr Juanda (kiri) yang juga Sarjana Tamu di Universiti Oxford berkata, Perlis menghormati pandangan semua mazhab, tetapi tidak terikat dengan mana-mana dan memilih amalan yang menepati kehendak al-Quran dan Sunah, tafsiran sahabat serta ulama salafussoleh.

"Perlis sudah membuktikan ia amat dinamik dan progresif dalam pengalaman Islamnya. Negeri ini sentiasa berusaha mencari solusi menurut al-Quran dan Sunah dalam menawarkan penyelesaian isu-isu agama.

"Lantaran itulah pandangan agama dari negeri ini sering dijadikan rujukan oleh umat Islam seluruh negara dan sebahagian besar amalan negeri ini dapat diterima di tempat lain secara meluas," katanya.

Beliau yang juga bekas timbalan mufti Sarawak berkata, perkara itu menyedihkan kerana ketika kesatuan semakin diperkukuhkan oleh gagasan 1Malaysia, masih wujud agensi agama di peringkat pusat yang mahu mencetuskan perbalahan.

"Apakah tindakan seperti ini tidak wajar untuk disiasat menurut Akta Hasutan? Atau apakah ini suatu bentuk perlembagaan baru yang mahu diwujudkan oleh mereka yang bencikan kedamaian Negara ini?" soalnya.