Pakatan Rakyat sedar wujudnya satu muslihat politik oleh pimpinan UMNO-BN untuk mengapi-apikan sentimen perkauman sempit dan agama bertujuan memecah-belahkan keharmonian masyarakat. Politik usang bersifat peras ugut dan memesongkan fakta ini digunakan oleh pimpinan UMNO-BN kerana mereka berada dalam keadaan terdesak untuk meneruskan kelangsungan kuasa mereka.
Pakatan   Rakyat menghormati perjuangan parti masing-masing dalam Permuafakatan   Pakatan Rakyat.  Permuafakatan ini sememangnya berlandaskan Dasar   Bersama Pakatan Rakyat yang telahpun disepakati.
Dasar Pakatan Rakyat menyatakan: "Pakatan   Rakyat bertekad untuk menyemai persefahaman dan perpaduan di kalangan   rakyat berteraskan prinsip memelihara kepentingan bersama.  Perpaduan   negara mesti mencerminkan kesepakatan, persefahaman serta muafakat   sejati antara kaum, budaya dan agama."
Kita   akui sememangnya terdapat perbezaan di antara komponen Pakatan Rakyat,   walaupun begitu kita tuntas menggalakkan perbincangan dan bersikap   terbuka.  Ini berbeza sekali jika dibandingkan dengan politik dalaman BN   yang mana komponennya sering bertelagah dan bersikap menyembunyikan   segala permasalahan.Pakatan  Rakyat  tidak mempunyai keraguan untuk tetap bersatu melawan  kemungkaran dan  penganiayaan UMNO-Barisan Nasional terhadap rakyat.   Kami beriltizam  untuk menentukan hala tuju baru buat rakyat dan negara  ini.  Menjelang  53 tahun kemerdekaan, sudah tiba masanya negara ini  meninggalkan politik  perkauman sempit yang seumpama barah merosak  masyarakat.  Pakatan  Rakyat merasa bertanggungjawab untuk memaknai  kembali Kemerdekaan yang  berlandaskan Politik Baru yang lebih matang  dan mengutamakan  kemaslahatan rakyat serta negara ini.
Kita   percaya antara lainnya serangan ini adalah untuk menutup kegagalan   kerajaan UMNO-BN menguruskan khazanah negara seumpama skandal rompakan   saham untuk rakyat termiskin bernilai RM 52 billion.  Kita menggesa satu   Suruhanjaya Di Raja ditubuhkan bagi menyiasat kehilangan hak rakyat   tersebut.
*Kenyataan  bersama  oleh Nasharuddin Mat Isa (selaku Timbalan Presiden PAS ),  Anwar Ibrahim  (Ketua Umum PKR) dan Lim Guan Eng (selaku Setiausaha  AgungDAP).