Oleh Nazri Abdullah   
KUALA LUMPUR, 14  Julai:  PAS sedia menyediakan pakar sakit jiwa kepada Umno dan Timbalan Presiden  parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ekoran masih membangkitkan isu  kerjasama PAS-Umno biarpun PAS secara jelas menolak pelawaan Umno itu.
Naib  Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika diminta mengulas perkara itu  berkata, Umno juga seperti terkena demam panas yang kuat sehingga  mengganggu fungsi otak mereka.
"Kita dah kata dah tak nak, duk  bercakap lagi. Orang yang duk bercakap sorang-sorang ni ada problem la.  Kita sedia sediakan khidmat pakar psikiatri untuk Umno dan Muhyiddin,"  katanya sinis.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen  Pokok Sena berkata, Umno secara jelas membuktikan mereka dalam keadaan  kritikal dan sangat lemah sehingga terpaksa mempelawa PAS.
"Setelah  tuduh PAS sesat, kemudian nak pelawa kerjasama pulak.
"Sekarang  Umno melihat hanya PAS yang boleh jadi talian hayat kepada mereka tapi  PAS sudah jelas, tidak mahu menanggung biawak hidup," katanya.
Umno,  jelasnya sedang mengalami krisis sokongan Melayu terhadap mereka  lebih-lebih lagi dengan penubuhan Pertubuhan Pribumi Perkasa  Malaysia(Perkasa) yang dilihat telah merubah pemikiran Melayu Umno  sehingga berani menentang Umno sendiri.
"Perkasa telah merubah  mentaliti orang Melayu sehingga mereka berani mempersoal Umno yang dulu  dianggap ‘tangan yang menyuap mereka’," katanya lagi.
Sementara  itu beliau juga berkata, orang Melayu sebenarnya akan lebih maju tanpa  Umno kerana selama ini yang merosakkan Melayu adalah Umno.
PAS  juga, jelasnya akan mengambil peranan menjaga kepentingan Melayu dan  Islam seperti termaktub dalam perlembagaan tanpa mengabaikan hak  warganegara lain.
Ianya juga antara resolusi semua parti dalam  Pakatan Rakyat yang dicapai pada konvensyen Pakatan Rakyat sebelum ini.
Muhyiddin  kelmarin sekali lagi mengulangi kesediaan Umno untuk bekerjasama dengan  PAS dengan alasan mahu menjaga kepentingan Melayu.