Jumaat, 2 Julai 2010

Ulama Berminat Kepada Umno, PAS perlu Muhasabah

PAS disaran bermuhasabah dan mencari punca sebenar mengapa golongan ulama lebih berminat kepada UMNO berbanding parti mereka yang mendakwa memperjuangkan agama Islam.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata adalah sesuatu yang malang bagi PAS apabila pimpinannya gagal mengakui mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan parti mereka sehingga dipinggirkan golongan ulama terutama ulama muda.

"PAS tidak perlulah menyalahkan golongan ulama yang tidak ingin bersama mereka. Mereka sepatutnya sedar mungkin ada yang tidak kena dengan parti mereka itu," katanya kepada Bernama.

Beliau diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menyifatkan 40 ulama yang menyertai UMNO baru-baru ini sebagai 'ulama sekular' yang tidak berpegang kepada ajaran Islam sebenar.

"Mereka terdiri daripada orang profesional yang berilmu dari pelbagai bidang, jadi mereka sebenarnya tahu apa yang mereka lakukan dengan memilih UMNO sebagai landasan untuk menegakkan agama," kata Abdullah, yang juga Anggota Parlimen Besut.

~Bernama