Sabtu, 24 Julai 2010

Ubatkan pekung sendiri dahulu, sebelum kita bersihkan kudis orang lain

Aspan Alias


UMNO Selangor telah memulakan kempen untuk mengambil alih kembali penguasaan keatas kerajaan negeri Selangor dari Pakatan Rakyat dan sekarang sudah mula melakukan serangan kepada kerajaan PR yang diterajui Khalid Ibrahim.

Saya tidak nampak lagi cara UMNO boleh melakukan kempen secara bersih untuk mencapai matlamat dan idaman BN di Selangor. Pendapat saya lebih cenderung untuk melakukan strategi untuk mempertahankan apa yang ada sahaja buat pilihanraya yang akan datang ini.

Elok dijaga keadaan yang merunsingkan diNS dan Pahang serta Trengganu. Takut-takut Selangor tak dapat diambil alih, NS dan Trengganu pula yang hilang sekali.

DiSelangor UMNO hanya mampu untuk memperkuatkan isu kecurian pasir sahaja. Isu ini sebenarnya isu yang tidak kuat kerana semasa BN memerintah dahulu kerajaan hanya mendapat lebih kurang RM4juta sahaja dari kegiatan pasir pada 2007 tetapi dibawah PR Selangor telah mendapat revenue sebanyak 15 juta ringgit dan ianya merupakan lonjakkan sebanyak 300 peratus dalam tempuh 2 tahun.

Kalaulah saya menjadi pemimpin UMNO Selangor isu pasir ini tidak akan menjadi isu hangat kerana dibawah pemerintahan UMNO dahulu isu pasir ini lebih teruk lagi. Hanya bezanya media massa perdana tidak membuatkan ini sebagai isu pokok kerana kerja jahat itu dilakukan oleh pemimpin UMNO.

Saya selalu juga berbincang-bincang dengan orang bawahan UMNO Selangor ini dan kebanyakkan mereka merasa sakit hati melihat apa yang dilakukan oleh UMNO sekarang ini diSelangor. “Masa kita memerintah Selangor dulu, PR tidak pun menghimpit sekuat ini terhadap BN padahal kita semua tahu bagaimana BN menjahannamkan harta benda Selangor” kata seorang AJK Bahagian diSelangor.

Malahan mereka bertanya pula, siapa yang hendak menerajui Selangor untuk mengambil alih kerajaan PR. Saya menjawab, kita ada Ezam Mohd Nor dan Noh Omar. Mereka terus ketawa dan berkata, “Dari Noh Omar lebih baik lagi kami dibawah ini” sambil ketawa.

Apabila saya tanyakan tentang Ezam, mereka terus menjawab, “belaga angin dengan Azmin lari masuk UMNO. Bila dia kata UMNO itu baik aku naik radang kerana dulu dialah yang mencerca UMNO. Ezam tu macam pemain bola sepak EPL, mana kelab yang bayar mahal dia pun sign kontrak dengan kelab itu.”

Sesungguhnya UMNO Selangor tiada kepimpinan. Tidak ada nama untuk diketengahkan Nama ini penting kerana rakyat hendak tahu siapa yang bakal menjadi MBnya. Takkanlah Noh atau Ezam.

DiSelangor ini terdiri dari mereka-mereka yang berpendidikkan tinggi terutamanya diLembah Kelang maka Noh Omar bukannya calun yang secucuk dengan kehendak rakyat Selangor.

Lagipun apabila kerajaan Selangor jatuh dahulu adalah disebabkan oleh kumpulan pemimpin BN yang sama yang menyebabkan BN jatuh tersembam pada pilihanraya 2008 yang lalu.

Kita ingin mengingatkan pemimpin kita yang isu air dan api letrik bukan lah lagi isu yang diterima oleh rakyat. Isu jalanraya yang dilebarkan dan ditar bukan menjadi bahan kempen yang relevan lagi.

Isunya sekarang baik dari BN mahu pun dari PR rakyat mahu melihat keadaan yang baru tetapi pernah kita alami dahulu wujud dalam pentadbiran dan politik hari ini.

Zaman pemimpin pandai berucap dan beretorik serta pandai membuat lawak diatas pentas sudah tidak boleh mendapat tepukkan rakyat sudah berlalu. Rakyat sudah tidak mahu lagi bertepuk kepada gegaran ucapan mana-mana pemimpin lagi.Rakyat mahu imej pemimpin yang ingin membawa perubahan itu dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang benar-benar bersih dan tidak ada imej rasuah.

Rakyat tidak mahu lagi ditipu dan dikelirukan dengan isu perkauman seperti DAP parti buruk atau pun PAS parti tidak elok. Persoalannya kita mesti Tanya diri kita elok atau tidak sebelum kita mengatakan orang lain tidak elok.

Kita tidak boleh lagi kata DAP anak PAP dan sebuah parti ‘chauvinistic’ kerana kita mesti soal diri kita yang MCA itu tidak ‘chauvinistic’ kah?

Rakayat sedar khasnya dikalangan orang Melayu bahawa DAP akan meletakkan calun-calun Melayu dalam pilihanraya yang akan datang.

Kita perlu menghapuskan isu perkauman dan tidak boleh lagi menggunakan isu 13 Mei sebagai cara menakut-nakutkan rakyat.

Kita mesti pastikan MCA mendapat sokongan kaum Cina tetapi dengan apa yang kita lihat sekarang amat payah bagi parti itu untuk mendapatkan sokongan kaumnya kerana penyakit yang dihadapi oleh MCA tidak jauh bezanya dari penyakit yang dihadapi oleh UMNO, iaitu imej rasuah yang tidak dapat dibuang dari persepsi rakyat yang akan mengundi nanti.

Saya selalu sangat mencadangkan supaya pemimpin berbagai kaum duduk kembali dimeja rundingan agar dapat mencari formula yang sesuai dan diterima oleh semua pihak untuk diikuti.

Kita perlu memulakan negara baru dengan iklim politik yang baru. Barulah dapat kita lari dari kemelut yang kita sedang hadapi dan yang tidak kunjung selesai ini.

Berbalik kepada pembuka kata saya tadi, elok kita jaga yang sedia ada supaya tidak tumbang seperti diNS dan Trengganu. Jangan yang dikejar tak dapat yang dikendung berciciran.

DiSelangor, jika BN salah membawa isu-isu panas ini, maka baki kerusi yang dipegang oleh BN itu akan hilang kali ini.

Rakyat tidak mahu lagi berat sebelah. Isu pasir tidak boleh dibandingkan dengan isu BNM kehilangan melebihi 30 billion ringgit apabila BNM kerugian besar dalam permainan pertukaran wang asing 20 tahun yang lalu.

Rakyat masih ingat kerajaan BN bertanggungjawab diatas isu Maminco dulu dalam mana kerajaan kerugian tidak kurang dari 600 juta ringgit.

Rakyat masih ingat bagaimana Petronas digunakan untuk ‘bail out’ anak seorang PM semasa itu apabila anaknya kerugian besar dalam perniagaannnya.Kalaulah jumlah yang melebihi 1billion itu digunakan untuk menghantar anak Melayu belajar keUniversiti-universiti luar negara nescaya Petronas boleh memberikan munafaat kepada tidak kurang 500 orang Melayu atau rakyat Malaysia dalam pelajaran dan pendidikkan.

Tetapi bapa kepada peniaga ini berretorik menghentam kegagalan Melayu dalam perniagaan sedangkan anaknya bergayut kepada dagu bapanya yang berkuasa. Macam mana nak gagal kerana kita rakyat yang membayar kegagalan anak PM ini.

Rakyat masih mempersoalkan banyak perkara yang lain yang dilakukan oleh BN yang melibatkan ratusan billion ringgit.

Rakyat mahu bertanya kenapa semuanya ini tidak dikeluarkan kemuka orang ramai kerana semua kerugian dan salah guna wang ini melibat wang rakyat yang membayar cukai.

Bagimana pula dengan tindakkan PM yang memberikan tanah yang sangat bernilai didalam kawasan KL kepada bekas PM yang tidak memberikan apa-apa jasa selama 5 tahun mentadbir negara.

Kenapa 18 kes yang berprofil tinggi yang disebut oleh ahli kabinet negara, sampai kehari ini tidak dibawa kemahkamah?.

Rakyat mahu melihat BN memberikan tumpuan kepada isu dan masalah yang dilakukannya sendiri mesti dibersihkan dahulu sebelum melihat pekung didada orang lain.

Bersihkan pekung sendiri dahalu baru pergi kehadapan untuk membersihakan pekung orang lain.

Itulah sebabnya kita mesti melihat kedalam atau introspek diri dahulu sebelum kita melihat keluar untuk memandang pekung atau kudis orang lain.