LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak akan teragak-agak  mencadangkan pembatalan kontrak mana-mana syarikat atau pengambilan  tindakan undang-undang berikutan terdapat trend penyebaran maklumat  berdarjah negara, termasuk kesiagaan aset strategik kepada pihak yang  tidak berkenaan.
Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz  Jaafar berkata maklumat berkaitan kapal selam juga sengaja dimanipulasi  atas dasar keterbukaan oleh pihak tertentu untuk mendapatkan perhatian  umum dan kepentingan tertentu.
"Ingin saya tegaskan di  sini bahawa sebarang kebocoran maklumat mengenai status kesiagaan aset  TLDM sama ada melalui kelemahan sistem pengurusan maklumat mahupun  disebabkan oleh mana-mana individu, institusi kerajaan atau syarikat  yang berurusan dengan TLDM boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Rahsia  Rasmi negara," katanya.
[Sila siasat dan kenakan tindakan  terhadap Zahid.]
Beliau berkata demikian ketika berucap pada  sambutan kepulangan kapal selam kedua negara Kapal Diraja (KD) Tun Razak  di Pangkalan TLDM di sini.
Sambutan KD Tun Razak yang itu  diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja  Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa sementara Sultan Selangor  Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Kapten Yang Dipertua TLDM turut  menaiki kapal selam itu dari Langkawi, Kedah.
Beliau juga berkata  sebagai negara pengendali kapal selam, segala aspek keselamatan  terutama nyawa anak-anak kapal sentiasa diutamakan di mana pengoperasian  yang selamat dan senggaraan yang ketat perlu dipatuhi sepenuhnya tanpa  sebarang kompromi.
Abdul Aziz berkata kerosakan walaupun kecil  tidak boleh dipandang ringan dan tidak boleh disamakan dengan kerosakan  biasa aset permukaan.
"TLDM akan sentiasa memastikan aspek  keselamatan ini diberi keutamaan pada sebilangan masa kerana prosedur  yang ketat adalah tunjang kepada kejayaan pengendalian kapal selam,"  katanya.
Mengenai KD Tun Razak yang tiba di sini, beliau berkata  kapal selam kedua negara itu berjaya melaksanakan 85 peratus selaman  iaitu 40 hari daripada 47 hari berada di laut.
"Secara  keseluruhannya, KD Tun Razak telah berjaya mengharungi pelayaran selama  64 hari dan perjalanan sejauh 7,283 batu nautika atau 13,488 kilometer  merentasi Laut Mediterranean, Laut Merah, Teluk Aden, Laut Arab, Lautan  Hindi dan akhir sekali Selat Melaka," katanya.
Beliau berkata  kejayaan itu tidak banyak dikongsi oleh sesetengah negara pengendali  kapal selam kerana mereka membawa pulang kapal selam dengan menggunakan  perkhidmatan kargo.
~BERNAMA