Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor meminta Kementerian  Kewangan mempertimbangkan peruntukan bagi pembinaan Wisma Wanita di  setiap negeri.
Beliau berkata pembinaan wisma berkenaan wajar  bagi melancarkan pembangunan dan pembelaan kebajikan golongan wanita di  negeri masing-masing.
"Wisma Wanita mampu dijadikan sebagai  pemangkin bagi meningkatkan lagi pembangunan dan kemajuan kaum wanita.
"Ini  adalah kerana kaum wanita memainkan peranan yang cukup penting sebagai  isteri, ibu dan anak dalam memikul tanggungjawab kepada masyarakat dan  negara dan mereka wajar dihargai," katanya ketika merasmikan Wisma  Wanita Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Turut hadir ialah Perdana  Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga menteri kewangan.
Rosmah  juga berkata Wisma Wanita boleh berfungsi sebagai pusat sehenti bagi  wanita yang memerlukan bantuan daripada pelbagai segi seperti latihan  keusahawanan dan bimbingan dalam isu-isu melibatkan wanita dan keluarga  seperti perkahwinan, perceraian, tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.
Mengenai  Wisma Wanita Sabah, beliau berharap bangunan yang dibina atas tanah  seluas dua hektar itu turut dijadikan sebagai destinasi pelancongan.
Katanya,  bangunan itu turut menempatkan penjualan produk kraftangan berkualiti  oleh wanita Sabah yang boleh dijadikan cenderamata untuk pelancong.
"Adalah  diharapkan melalui peluang ini, para usahawan wanita tempatan akan  lebih bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak lagi produk berkualiti  yang boleh dipasarkan mengikut kadar berpatutan," katanya.
Di  samping itu, beliau berkata kewujudan Galeria Wanita di bangunan  tersebut, yang mempamerkan maklumat mengenai pembangunan dan pencapaian  wanita Sabah, juga mampu menjadi daya tarikan pengunjung.
Bangunan  lima tingkat itu dibina pada 27 Sept 2006 dan siap pada 25 Nov 2008  dengan peruntukan RM18.725 juta oleh kerajaan negeri.
Malaysiakini/-