Kepimpinan Tinggi Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam terus menyatakan  sokongan mereka terhadap kepimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri  Khalid Ibrahim biarpun kerajaan Umno BN giat untuk menjatuhkan Selangor.
Ahli  Majlis MBSA, Kamarudzaman Sanusi berkata meskipun kerajaan negeri  diserang bertubi- tubi oleh pimpinan Umno BN dengan pelbagai isu, namun  ia tidak sedikit menggugat keyakinan mereka terhadap kepimpinan Khalid.
“Kita  ingin tegaskan, serangan-serangan politik dari pihak Umno BN yang  ditujukan kepada PR Negeri Selangor adalah bersifat politik jahat dan  tidak bertemadun. Serangan-serangan ini menguatkan lagi tekad dan azam  kami, Ahli-ahli Majlis PR untuk bekerja dengan lebih kuat demi mendokong  amanah yang telah disandarkan kepada kami,” katanya.
Kamarudzaman  berkata kerajaan negeri bertindak telus mentadbir negeri ini buktinya  pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Negeri (PAC) daripada  wakil rakyat UMNO BN.
“Sidang DUN telah meluluskan dua rang  undang-undang pindaan berkaitan Kebebasan Maklumat dan juga perlantikan  Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam dari parti pembangkang.
“Kedua-dua  perkara tersebut telah menempa sejarah tersendiri kerana tiada negeri  lain di Malaysia mahupun Kerajaan Persekutuan sendiri mampu dan  mempunyai kekuatan politik untuk mengambil pendekatan yang serupa,”  katanya.
15 Julai lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor  telah meluluskan usul untuk melantik wakil rakyat pembangkang dari BN  sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) negeri Selangor.
Ia  diluluskan oleh Speaker DUN, Teng Cham Khim walaupun dibantah oleh  wakil rakyat BN sewaktu usul itu dibahaskan dan kemudiannya mereka  mengundi menolaknya.
Bagaimanapun Shamsudin Mohd Lias (BN-Sungai  Burong)  tetap dilantik sebagai pengerusi baru PAC Selangor yang  dianggap sebagai satu sejarah di negara ini.
 
Kamarudzaman  berkata dengan perlantikan ini juga membolehkan Shamsudin bersama-sama  bekerja dengan kerajaan dalam memantau isu pasir dan lain-lain isu yang  sengaja dimomok-momokkan oleh Umno Bn.
“Bagi mengelakkan rakyat  dari membincang kebaikan pindaan Freedom Of Information, lantikan pihak  pembangkang sebagai Pengerusi Public Accounts Comittee dan isu kenaikan  harga barang, pimpinan Umno BN telah mengubah pandangan masyarakat  dengan memomok-momokkan isu industri pasir di Selangor.
“Umum  sememangnya mengetahui yang punca masalah sebenar isu ini adalah  tinggalan kerajaan terdahulu,” katanya.