Nasib rakyat Palestin dan peranan kerajaan zionis Israel menjadi  masalah antarabangsa dan kemanusiaan, dan bukan untuk ahli-ahli politik  Malaysia mengambil peluang menawan hati para pengundi Melayu beragama  Islam. Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan sentiasa bersikap adil dan  melayan semua rakyat dengan saksama serta rakyat di negara lain yang  tertindas.
Empat pemimpin Umno telah menyuarakan pandangan mereka  tentang pendirian Anwar Ibrahim berhubung sikap agresif Zionis,  terutamanya mengenai artikel dalam The Washington Post yang disiarkan  baru-baru ini. Pemimpin-pemimpin Umno ini — Timbalan Perdana Menteri  Muhyiddin Yassin, Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi, Menteri  Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Rais Yatim dan Ketua Pemuda Umno  Khairy Jamaluddin — lekas mengambil kesempatan ini untuk memutar belit  kenyataan penulis, yang menulis:
Beliau (Anwar) berkata beliau kesal menggunakan istilah  "tindakan agresif Zionis", yang biasa digunakan oleh pemimpin bersuara  lantang seperti Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad. "Kenapa saya perlu  menggunakannya jika sekiranya ia boleh mencetuskan banyak salah faham?"  Beliau berkata, "saya perlu lebih berhati-hati."
Sekiranya  pemimpin-pemimpin Umno ini tidak dapat memahami Bahasa Inggeris yang  mudah ini, maksudnya ialah Anwar kesal menggunakan istilah seperti yang  digunakan oleh Presiden Iran kontroversial, iaitu Mahmoud Ahmadinejad,  yang boleh menimbulkan salah faham dalam masyarakat antarabangsa. Anwar  kemudian secara merendah diri mengakui beliau perlu lebih berhati-hati  cara beliau mengkritik kerajaan Zionis Israel, khususnya dalam situasi  di mana tuduhan anti-semitik sangat berleluasa.
Bagaimanapun,  pendirian Anwar dan KEADILAN tentang tindakan agresif 'Zionis' terhadap  rakyat Palestin sangat jelas. Kami mengutuk serangan ganas terhadap  kapal flotila Gaza baru-baru ini, diskriminasi, penindasan dan keganasan  yang berterusan terhadap rakyat Palestin oleh kerajaan Israel, termasuk  menyoal peranan Amerika Syarikat menyokong rejim 'Zionis'. Pada masa  yang sama, kami menghormati semua hak orang Yahudi terhadap tanah air  sendiri dan juga hidup secara aman bersama orang-orang Islam dan rakyat  Palestin beragama Kristian. Malahan kami menolak diskriminasi,  penindasan dan keganasan di Malaysia dan di luar negara.
Mengenai  sindiran bahawa Anwar rapat dengan orang-orang Yahudi Amerika, beliau  secara terbuka menjelaskan bahawa mereka adalah kenalan beliau ketika  beliau menjadi Menteri Kewangan Malaysia. Anwar memang menggunakan  setiap peluang yang beliau perolehi untuk membangkitkan isu Palestin dan  mendesak supaya pertikaian di Timur Tengah ditamatkan segera.
Apa  yang kerajaan pimpinan Umno telah lakukan? Menteri Pertahanan Zahid  Hamidi telah mengadakan pertemuan sulit dengan rakan sejawatnya dari  Israel. Muhyiddin dan Khairy menyokong keputusan Perdana Menteri Najib  Tun Razak melantik Apco (yang disyaki mempunyai hubungan dengan Zionis)  pada kadar bayaran RM77 juta setahun. Dan lebih mengecewakan ialah  tindakan Rais menggunakan kuasanya untuk memastikan media arus perdana  mengikut rentak Umno-Barisan Nasional, yang kini menerima nasihat  daripada Apco.
Jika kerajaan Umno-BN mahu menyampaikan maklumat  terkini tentang nasib rakyat Palestin dan menunjukkan pendirian mereka  tentang tindakan agresif 'Zionis', sila arahkan media arus perdana  menterjemah dan menyiarkan artikel sepenuhnya dari The Washington Post  dan mengatur satu majlis debat melalui siaran terus menerus di antara  Anwar dan Najib. Biar semua rakyat Malaysia melihat dan mendengar  sendiri apa yang dibuat oleh Apco di Malaysia.
JONSON CHONG
Pengarah Komunikasi