Selasa, 27 Julai 2010

Negeri Berkebajikan: Pakatan Rakyat Kedah merealisasikan janji pilihan raya

PADANG TERAP, 27 Julai: Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah merealisasikan janji pilihan raya untuk menjadikan negeri itu sebagai sebuah negeri berkebajikan dengan mengumumkan kenaikan kadar minimum bantuan amnya mulai tahun hadapan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) berkata, dalam usaha membantu golongan yang memerlukan, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan berjumlah RM14 juta pada tahun ini yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri itu.

Menurutnya, jumlah peruntukkan tersebut akan ditambah berikutan kerajaan menaikkan kadar minimum Bantuan Am Negeri kepada RM150 mulai tahun hadapan.

"Bajet 2011 akan datang, kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan berjumlah RM1.6 juta untuk tujuan tersebut.

“Ini tentang kebajikan rakyat di mana orang miskin amat bergantung kepada pertolongan dan kita kena selesaikan masalah itu dengan secepat mungkin,” ucapnya pada Majlis Penyampaian Bantuan Am Kerajaan Negeri di perkarangan Pejabat Daerah Padang Terap, di sini, kelmarin.

Menurut Azizan lagi, kerajaan negeri juga turut menyediakan bantuan Skim Kafalah kepada keluarga si mati yang mendaftar melalui e-Sinar dan bantuan kepada pelajar-pelajar kurang berkemampuan yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam.

“Kita menyediakan bantuan itu kepada rakyat yang kurang berkemampuan tanpa mengira politik dan kita berharap bantuan yang diberikan itu dapat mengurangkan beban yang terpaksa dihadapi oleh keluarga terbabit,” jelasnya.

Katanya lagi, kerajaan juga akan memberi sumbangan kepada golongan guru agama di kampung-kampung yang banyak berjasa mendidik anak-anak bangsa di negeri itu.