Kini, Mohd  Hosni (gambar) adalah antara penceramah yang top di  dalam PAS dan Pakatan Rakyat. Hampir setiap malam beliau mendapat  undangan untuk memberikan ceramah di seluruh negara.
Malam tadi  beliau bersama dengan Haji Mohamad Sabu berceramah... dan malam ini  beliau akan ke Klang pula. Esok dan lusa beliau akan ke Johor dan Melaka  untuk memberikan ceramah.
Semuanya kerana gelaran ulama muda  yang diberikan oleh Umno kepada beliau dan 39 yang lain.
"Saya  sebenarnya rasa tertipu dengan apa yang berlaku....itulah yang saya  terangkan di setiap kali ceramah saya," kata Mohd Hosni ketika datang  berkunjung ke pejabat Harakahdaily.
Mohd Hosni bersama tiga  rakannya yang belajar di Universiti Al Albyt, Jordan adalah antara  mereka yang bersama dalam majlis menyerahkan borang menyertai Umno oleh  40 ulama muda kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.
"Jadi, pada saya apa salahnya berjumpa dengan Perdana Menteri," kata Mohd Hosni yang kini menjadi tenaga pengajar di Maahad Tahfiz Intergrasi dan Teknologi Selangor yang terletak di Klang.
Mereka diberitahu pertemuan akan diadakan di Hotel Legend yang terletak di seberang jalan bangunan Umno.
Namun, apabila sampai ke hotel itu, beliau dan rakan-rakan di bawa turun dengan eskalator dan seterusnya menyeberang jalan ke bangunan Umno dan di bawa masuk ke dalam satu dewan.
Di sana sudah ada ramai orang yang kelihatan macam orang PAS, orang Tabligh dan sebagainya berdasarkan pakaian mereka.
"Jadi saya senang hatilah," kata Mohd Hosni lagi. Namun tidak lama kemudian, kesemua mereka disuruh berbaris kerana PM sudah mahu sampai.
Lalu mereka berbaris menyambut ketibaan PM dengan dihujani oleh lampu flash juru gambar yang memenuhi majlis itu.
Selepas itu, Datuk Seri Shahidan menyerahkan satu sampul surat kepada PM dan memberitahu itu adalah borang-borang permohonan menyertai Umno dari 40 ulama muda yang ada dalam majlis itu.
Najib tanpa bercakap apa-apa terus meninggalkan majlis selepas itu dan Shahidanlah yang mengendalikan sidang akhbar selepas itu.
Mulai dari situ, barulah Mohd Hosni dan tiga rakannya lagi sedar bahawa mereka telah tersalah tempat dan terpedaya kerana bukanlah hajat mereka mahu menyertai Umno.
Namun, kesan dari situ, Mohd Hosni kini menjadi buruan majlis-majlis ceramah Pakatan Rakyat khasnya majlis ceramah PAS.
Nama beliau dan isu ulama muda menyertai Umno menjadi pelaris kepada majlis ceramah PAS kerana orang ramai ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku di majlis itu.
Bersalam dengan PM
Sementara Mohd Husni menolak beliau datang  ke PWTC untuk bersalam dengan Perdana Menteri.
“Tentang hendak  bersalam dengan Najib, adalah lebih munasabah saya pergi ke Kelantan  bersalaman dengan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, itu lebih baik dari  bersalaman dengan orang yang didakwa,” jelas Mohd Husni.
Ini  susulan respons Umno menafikan empat pelajar lulusan Jordan tidak  dijemput menghadiri majlis 40 ulama muda menyertai parti itu Jumaat  lalu, sebaliknya hanya dijemput oleh orang kuat Umno disifatkan sebagai  amat melucukan.
Beliau juga menolak dakwaan mereka beria-ia untuk  hadir ke situ untuk bersalaman dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak.
Menurutnya, satu malam sebelum itu, seorang orang kuat  Umno telah memujuk beliau untuk menyertai Umno dan mengajak hadiri  majlis tersebut dan kebetulan merupakan bapa kepada kawan rapatnya,  beliau tidak dapat menolak jemputan itu.
“Logiknya bagaimana kami  boleh hadir jika tidak mendapat sebarang jemputan malah cara masuk juga  ditipu, dari bangunan sebelah Mall, naik escalator, turun tangga,  tiba-tiba muncul di Bangunan Umno.
Beliau yang sebelum ini  mendedahkan penipuan Umno ini di dalam majlis Pentas Pemuda anjuran  Dewan Pemuda PAS Shah Alam di TTDI, dekat sini menyatakan, mereka  dijemput datang ke majlis itu kerana Perdana Menteri hendak bertemu  dengan lulusan Jordan.
Dalam pada itu, Hosni berkata, beliau  mendapat maklumat terdapat seorang lagi lepasan Madinah yang dijemput ke  majlis berkenaan kerana terdapat majlis diskusi sebaliknya yang berlaku  adalah penyerahan borang menyertai Umno oleh beberapa orang yang  digelar sebagai sebagai ulama muda yang ‘ori’.
Katanya, seorang  di Perlis, Ustaz Abdul Wahab Abdullah berkata, beliau hadir untuk  bertemu dengan perdana menteri bagi membersihkan nama kumpulan mereka  yang dikaitkan dengan keganasan.
“Terbukti Umno menggunakan  banyak cara untuk menarik ulama muda menyertai mereka kerana jika untuk  alasan biasa pasti mereka tidak didekati, lalu mereka gunakan berbagai  cara,” ujarnya.
Menjawab hasrat mereka untuk membuat laporan  polis terhadap penafian beliau yang disiarkan oleh Harakahdaily, dua  hari lalu, Hosni bersetuju, artikel tersebut langsung tidak menyebut  nama orang berkenaan.
~Harakahdaily