Bekalan air yang sedia ada sekarang ini di Selangor mampu menampung  keperluan penduduk di Lembah Klang sehingga 2019, kata Menteri Besar  Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Sehubungan itu, katanya,  kerajaan persekutuan dianggap terlalu terburu-buru untuk melaksanakan  projek penyaluran air mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) walaupun anggaran  kosnya telah meningkat dari RM2 bilion kepada RM8 bilion.
“Ini  jelas apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan  Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui  baru-baru ini, menuduh Selangor sengaja melengahkan pelaksanaan (PPAMPS)  dan memberi amaran bahawa Selangor akan dipersalahkan jika berlaku  krisis bekalan air pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan  hari ini.
Menurut Khalid, nasihat dari pakar industri air dan  juga kajian berdasarkan pertumbuhan penduduk mendapati jumlah penggunaan  air dahulu dan sekarang dan kapasiti pengeluaran air, bekalan air yang  sedia ada sekarang ini mampu menampung keperluan di Lembah Klang  sehingga 2019.
“Adalah dipercayai bahawa kedua menteri tersebut  telah dikelirukan sehingga mempercayai bahawa krisis air akan berlaku  pada 2014.
“Kerajaan negeri sedar projek ini ada kebaikannya,  namun ia tidak perlu disegerakan tanpa mengambil kira pemahaman  menyeluruh industri air termasuk proses penstrukturan semula industri  air Selangor,” katanya.
Khalid berkata masa yang sesuai untuk  projek PPAMPS dilaksanakan adalah pada 2015 atau 2016 dan jika ia  dipercepatkan tanpa kajian, kos itu akan meningkatkan beban hutang  kerajaan.
“Sehubungan itu, Selangor menyarankan kerajaan  persekutuan memberi keutamaan kepada alternatif lain dan tidak terlalu  mudah melaksanakan projek mahal menggunakan wang rakyat,” katanya.
Khalid  juga menyarankan kerajaan BN mengurangkan pembaziran air dengan  mempromosikan kitar semula air, mengumpul dan memproses air hujan yang  boleh dilakukan secara bersama kerajaan persekutuan dan Selangor.
“Sumber  alternatif air yang boleh diteroka seperti air sungai, tasik dan  memperkenalkan teknologi air bawah tanah. Ketiga, dengan mengurangkan  kadar air tanpa hasil daripada 35 peratus kepada kurang 20 peratus  seperti yang berjaya dicapai oleh syarikat air Pulau Pinang.”
Selain  itu, Khalid berkata penghantaran air yang cekap adalah penyelesaian  terbaik bagi menampung permintaan pengguna. Oleh itu, perlu dipastikan  air di utara Selangor dihantar dengan cekap ke wilayah selatan.
Katanya  lagi, kerajaan wajib melakukan kajian menyeluruh, analisis, statistik  secara terperinci mengenai pengeluaran air, penggunaan dan permintaan  berdasarkan fakta dan angka berbanding membuat keputusan tergesa-gesa  yang melibatkan wang pembayar cukai.