Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Semakin banyak didedahkan mengenai  penyelewengan dalam GLC di zaman BN, semakin banyak pihak atau individu  yang menghubungi penulis memberikan maklumat. Cuma saya perlu  berhati-hati kerana bukan semua maklumat boleh disiarkan  sewenang-wenang. Bukan kerana ianya tidak benar tetapi kerana semua  fakta perlu disokong oleh bukti.
Jadi, walaupun terlalu banyak  maklumat penyelewengan GLC yang diterima namun hanya maklumat yang  terpilih sahaja yang boleh dan wajar didedahkan. Saat di mana BN  menggunakan cengkaman kuku besinya untuk mengawal media, kita perlu  berhati-hati. Suara Keadilan hanya melakukan kesilapan tidak meletakkan  tanda ‘?’ pada tajuk ‘Felda Bangkrap’ menyebabkan ia diharamkan, walhal  seluruh isi berita dalam akhbar tersebut tidak menyebut sepatah pun  bahawa Felda sudah diisytiharkan bangkrap.
Bukti yang nyata  bahawa Syarikat Seri Temin Development Corporation (STDC) di zaman BN  menyalurkan duit syarikat untuk kepentingan politik BN sebanyak RM1.7  juta. Itu adalah pemberian tunai secara langsung. Masih ada lagi  perbelanjaan yang dibuat untuk program politik BN oleh STDC. Maksudnya  STDC tolong lunaskan perbelanjaan program BN. Semuanya itu dianggarkan  RM1 juta. Bermakna ‘derma politik’ untuk BN dari STDC menjelang  pilihanraya umum ke 12 lalu ialah sebanyak RM2.7 juta.
Yang Sewa  khemah UMNO tapi yang kena bayaq ialah GLC
Di antara tuntutan  yang terdapat dalam invois pembekal ialah menyewa khemah untuk program  kempen politik BN sebanyak lebih RM300 ribu. Semua itu terpaksa  dijelaskan oleh STDC kini secara beransur. Tak fasal-fasal pihak  pengurusan sekarang yang menanggung beban yang ditinggalkan mereka.
Terdapat  juga perbelanjaan membekal kain tudung sewaktu pilihanraya umum  sebanyak RM20 ribu. Walaupun tidak dinyatakan kain tudung untuk siapa,  tetapi tentulah kain tudung itu bukan untuk Muslimat PAS. Bukan juga  untuk Wanita MCA, MIC atau Gerakan, sebab mereka tak pakai tudung. Sya  tak tahu apakah memang menjadi amalan Wanita atau Puteri Umno sebelum  ini; kain batik, coli dan seluar dalam pun GLC tolong belikan?
Berhubung  pemberian RM1.7 juta untuk membiayai program politik BN, ada juga yang  bertanya siapa penerimanyanya. Mestilah semua itu tercatat dalam baucer.  Inilah yang sukarnya untuk mencari siapa penerimanya kerana dalam  dokumen pembayaran hanya dicatatkan ‘Tunai’. Bayangkan jika  penyelewengan GLC itu berlaku di masa pemerintahan PAS, maka teruklah  pegawai-pegawai atau pihak politik di soal-siasat.
Kuasa Siapa??
Persoalan  yang timbul sekarang ialah sama ada pihak pengurusan STDC mahupun  Lembaga Pengarah STDC mempunyai kuasa untuk meluluskan sumbangan yang  sebanyak ini. Ini adalah kerana menurut akaun pengurusan STDC,  pendapatan syarikat bagi tempoh Januari hingga Mac 2009 adalah  RM1,415,888.77 ("actual recorded figures taken from STDC’s Management  Account from January 2009-March 2009"). Sedangkan jumlah program  "Pemimpin Bersama Rakyat" disetiap kawasan Parlimen di negeri Kedah  Darul Aman adalah sebanyak RM1.7 juta berbanding pendapatan syarikat  sebanyak RM1.4 juta.
Oleh itu, dari segi logiknya sumbangan yang  jumlahnya melebihi pendapatan dalam tempoh yang sama bolehlah dianggap  penting atau "significant" yang mungkin memerlukan kelulusan lebih dari  Lembaga Pengarah.
Adakah perkara seumpama ini tidak memerlukan  kelulusan pemegang saham (iaitu PKNK) melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa  ("Extraordinary General Meeting") atau Mesyuarat Agung Tahunan ("Annual  General Meeting")?
Mari kita menganalisa Akta Syarikat, 1965  ("Companies Act, 1965"). Menurut Bahagian 5(2) (Pengarah & Pegawai  Syarikat) Seksyen 132 (Tugas dan Tanggungan Pengarah & Pegawai)  Peruntukan 1E (Tanggungjawab Pengarah Lantikan):
"Seseorang  pengarah, yang dilantik melalui kedudukannya sebagai seorang pekerja  atau; dilantik mewakili pemegang saham, majikan atau pemegang debentur;  hendaklah sentiasa bertindak atas kepentingan syarikat tersebut; dan  sekiranya wujud percanggahan antara tanggungjawabnya atas kepentingan  syarikat dengan tanggungjawabnya atas kepentingan pihak yang  melantiknya, maka beliau tidak boleh mendahulukan tanggunjawabnya pihak  yang melantiknya dengan tanggungjawabnya terhadap kepentingan syarikat."
Tugas  Pengarah
Peraturan ini jelas menyatakan seseorang pengarah yang  dilantik hendaklah menjaga kepentingan syarikat pada setiap masa. Oleh  kerana Syed Sobri dan pengarah-pengarah lain tidak memegang saham secara  langsung dalam syarikat STDC, maka mereka adalah pengarah yang dilantik  mewakili pemegang saham ("nominee directors"). Justeru itu, mereka  tanggungjawab mereka termaktub di bawah peruntukan yang disebut di atas.  Mereka ialah Dato’ Seri Mahdzir Khalid, Dato’ Ariffin Man, Datuk Syed  Sobri Syed Hashim, Encik Zubir Zabidi, Encik Mohamad Radzi Ayob, Encik  Mustafar Ahmad, Puan Marlia Abd. Latiff dan Puan Sharifah Adawiyah Syed  Ismail. Semua pemimpin politik Umno.
Di dalam peraturan ini juga  disebut bahawa tanggungjawab pengarah menjaga kepentingan syarikat  mendahului tanggungjawab pengarah itu terhadap pihak yang melantiknya  samada pihak itu pemegang saham (dalam kes ini PKNK) atau pihak yang  lebih tinggi (dalam kes ini Menteri Besar Kedah Darul Aman ketika itu  Dato’ Seri Mahdzir Khalid).
Persoalan yang timbul adalah:
•  Adakah menyumbang sebanyak RM1.7 juta di ketika pendapatan syarikat  semasa hanya RM1.4 juta merupakan satu tindakan yang dianggap menjaga  kepentingan syarikat?
• Biarlah Suruhanjaya Syarikat Malaysia ("SSM")  membuat penilaian apabila perkara ini dilaporkan kepada SSM secara  rasminya tidak lama lagi. Harap-harap Syed Sobri dan ahli-ahli lembaga  pengarah STDC yang lepas bersedia menghadapi sesi soal-siasat SSM yang  mempunyai kuasa mendakwa tersendiri sebagaimana diperuntukan kepadanya  di dalam Akta Syarikat, 1965 Bahagian 2, Peruntukan 7-7D.
Dalam  pada itu, ahli lembaga pengarah STDC pada ketika itu masih boleh  dipanggil oleh PKNK sebagai pemegang saham 100% dalam STDC bagi  menerangkan sebab Lembaga Pengarah meluluskan sumbangan RM1.7 juta ini.
Di  celah-celah penemuan sebanyak RM2.7 juta wang STDC digunakan untuk  membiayai program politik BN, terdapat sekeping bukti pembayaran yang  ‘menyedihkan’ iaitu sumbangan untuk ibu tunggal sebanyak RM20! Bukan  saja sedih dan lucu. Geram pun ada.