SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor digesa menghentikan sebarang  aktiviti mengorek pasir di tanah miliknya kerana dikhuatiri akan  menjejaskan alam sekitar serta struktur tanah pada masa akan datang.
Ketua  Pembangkang, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, berkata Selangor bakal  menjadi "negeri berlubang" sekiranya aktiviti melombong pasir di tanah  milik kerajaan negeri tidak dihentikan segera.
"Saya dapat tahu ada  tanah milik kerajaan negeri dirobek dan dikorek sesuka hati sehingga  meninggalkan lubang dan kolam yang besar. Terdapat pasir dikorek hingga  26.6 meter dalam.
"Ini boleh memberi implikasi buruk kepada  pembangunan negeri pada masa depan, terutama untuk aktiviti perumahan  baru dan kawasan pertanian. Malah, untuk menimbus kembali lombong pasir  itu memerlukan kos lebih tinggi daripada aktiviti mengorek pasir,"  katanya pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini.
Dr Mohamad  Khir berkata, kerajaan negeri terdahulu (Barisan Nasional) hanya  membenarkan aktiviti perlombongan pasir di tanah persendirian selain  perlu mendapatkan kelulusan daripada 12 jabatan berkaitan bagi tujuan  melakukan aktiviti itu.
Sehubungan itu, beliau mahu anak syarikat  kerajaan negeri yang bertanggungjawab dalam perniagaan pasir, Kumpulan  Semesta Sdn Bhd (KSSB) ditutup operasinya dan kuasa pengendalian galian  dan mineral termasuk pasir di Selangor dikembalikan kepada Pejabat Tanah  dan Galian (PTG).
Katanya, ini kerana KSSB gagal meningkatkan  pendapatan negeri dalam perlombongan pasir.
Sementara itu, tinjauan  ke satu kawasan lombong di Kampung Bukit Changgang, Dengkil mendapati 20  hektar daripada kawasan lombong seluas 120 hektar itu sudah dikorek  sedalam kira-kira 26.6 meter, hanya dalam tempoh dua minggu.
 
Lombong  itu terletak hanya kira-kira 16.6 meter dari kawasan rekreasi Paya  Indah Wetlands.
Seorang penduduk kampung itu, Bahaman Ahmad  Jiman, 39, berkata penduduk menyedari aktiviti perlombongan di situ  sejak dua minggu lalu.
Katanya, bilangan lori keluar masuk dari  kawasan itu mencecah lebih 20 setiap hari.
~BERNAMA