Oleh: Suhaizan Bin Kaiat
Setelah rakyat mendapat kejayaan  mendesak kerajaan membatalkan lesen judi sukan pada 25hb Jun 2010 maka  rakyat perlu pergi ketahap kedua Kempen Tak Nak Judi yang akan  dilancarkan pada 3hb Julai 2010 pukul 2 petang di Masjid Negara.
Nama  Kempen Tak Nak Judi adalah dicadangkan sendiri oleh seorang yang  berbangsa cina bernama Sdr. Ng Yap Hwa daripada Pusat Pembangunan  Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG).
Dato’ Dr. Toh Kin Woon Bekas Exco  Kerajaan Negeri Pulau Pinang daripada Parti Gerakan sekarang ini  menjadi Pengerusi Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG)  berpendapat judi bukanlah budaya masyarakat cina. Sdr Thiagarajah  Sokalingam daripada Tamil Foundation juga berpendapat judi boleh  meruntuhkan masyarakat dan negara.
Mr Tom Grey, Presiden  Persekutuan Lesen Perjudian Kebangsaan, Amerika telah membuat kajian  bahawa jika kerajaan mendapat $1.00 pendapatan daripada judi maka  kerajaan kehilangan $1.9 kos pembayar cukai untuk mengatasi masalah yang  berlaku kesan daripada judi seperti jenayah, bengkrap, ketagihan,  keruntuhan rumah tangga dan lain-lain.
Antara kejayaan kempen  pertama Gerakan Rakyat Membantah Judi(GMJ) selain daripada pemansuhan  judi sukan adalah semua bangsa dalam negara ini boleh bersetuju bahawa  judi adalah suatu nilai yang tidak baik dalam negara.
Dalam  menuju sebuah negara yang maju, aman dan damai Malaysia perlu bebas  untuk menolak nilai-nilai yang tidak baik seperti rasuah,  salahgunakuasa, pembaziran, jenayah, perjudian dan lain-lain lagi.
Tahap  kedua Kempen GMJ ini adalah untuk mendidik masyarakat membenci judi  melalui Kempen Tak Nak Judi. Oleh kerana telah lebih 50 tahun negara ini  menghalalkan judi maka pendekatan berhikmah diperlukan untuk memisahkan  judi daripada kehidupan masyarakat yang tegar terhadapnya. GMJ memahami  usaha ini bukanlah sesuatu yang mudah.
Ia perlu suatu keazaman  yang tinggi daripada semua anggota masyarakat, NGOs, parti politik dan  pihak kerajaan. Kita jangan pandang kebelakang lagi dalam mempastikan  rakyat dan negara bebas daripada amalan berjudi.
Pemansuhan lesen  judi sukan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri membuktikan adanya  persaingan antara kuasa rakyat untuk menghindar diri daripada judi  dengan syarikat judi yang mahu mempertahankan perniagaanya.
Kedua-dua  pihak mendesak kerajaan menjayakan cita-cita masing-masing. Kerajaan  Barisan Nasional(BN) dilihat berpihak kepada siapa yang lebih kuat . Ini  bermakna jika rakyat lemah memperjuangkan pembebasan judi dalam negara  maka kesempatan ini akan diambil oleh syarikat judi untuk mengembangkan  sayap perniagaanya. Inilah realiti yang harus difahami oleh rakyat  Malaysia.
Oleh itu rakyat Malaysia sudah tiada punya pilihan lagi  kecuali bersungguh-sungguh menyelamatkan negara ini daripada aktiviti  judi. Maka kehadiran rakyat Malaysia dalam Kempen Tak Nak Judi di Masjid  Negara pada hari sabtu 3hb Julai 2010 jam 2 petang adalah sangat  penting bagi membuktikan keazaman kita semua.
Janganlah keazaman  syarikat judi mempertahankan perniagaannya lebih kuat daripada keazaman  rakyat membenci judi. Kalau kita tiada keazaman ini dikuatiri kita macam  menyokong judi dalam negara.
Harakahdaily/-