KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Kapal selam kedua negara, KD Tun   Razak tiba di perairan negara pada Khamis dari limbungan pembinaannya di   Madrid, Sepanyol.
Kapal selam jenis Scorpene yang dilancarkan  oleh Raja Permaisuri Agong  Tuanku Nur Zahirah pada 8 Okt 2008 itu kini  dalam perjalanan ke  Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut  untuk sambutan  rasminya pada Jumaat.
Menurut kenyataan TLDM,  sambutan rasmi pada sebelah petang akan  diserikan dengan keberangkatan  Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Sultan  Selangor Sultan Sharafuddin  Idris Shah.
Turut menyambut ketibaan kapal itu ialah Menteri  Pertahanan Datuk Seri  Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima Angkatan Tentera  Jen Tan Sri Azizan  Ariffin.
KD Tun Razak dinamakan bersempena  Perdana Menteri kedua Malaysia Tun  Abdul Razak Hussein sebagai  mengenang jasa negarawan ulung itu atas  sumbangannya kepada  kemerdekaan, permodenan, pentadbiran dan pembangunan  negara.
KD  Tun Razak yang dikendalikan oleh 31 anggota krew bergerak dengan  tenaga  diesel dan boleh beroperasi sehingga kedalaman lebih 300 meter.
Pemilikan  kapal selam itu adalah sejajar dengan keperluan serta  tanggungjawab  yang diamanahkan kepada TLDM bagi memastikan perairan  negara termasuk  Zon Ekonomi Eksklusif dikawal dan dipertahankan pada  setiap masa.
~BERNAMA