Merdeka Review | Kerajaan  persekutuan yang dikuasai  Barisan Nasional sengaja mencari kesalahan  kerajaan negeri yang  diperintah oleh Pakatan Rakyat, malah  mensensasikan isu pasir di  Selangor dan Pulau Pinang untuk memberi imej  buruk terhadap kerajaan PR,  kata Mohamad Sabu, ahli Jawatankuasa PAS  Pusat ketika mengulas isu  kecurian pasir di Pulau Pinang, semalam.
"Isu pasir di  Selangor  dan di Pulau Pinang cuba mereka sensasikan.  Pelbagai tuduhan  dan  dakwaan yang mereka lakukan semata-mata bagi memberi imej buruk  terhadap  kerajaan negeri yang diterajui oleh PR."  Beliau berkata  sedemikian di  depan khalayak 4000 orang, yang menghadiri ceramah di  Kompleks Yayasan  An-Nadhoh, Kubang Semang, Bukit Mertajam, semalam.
Beliau   menambah, "Mereka cuba menyifatkan kepimpinan Kerajaan PR adalah lemah   dan tidak kuat.  Namun begitu saya yakin rakyat kini bukan lagi mudah   ditipu oleh Kerajaan yang diperintah oleh BN."
UMNO main sentimen perkauman
Sementara   itu, Mohamad Sabu juga menyelar kepimpinan UMNO yang sentiasa  memainkan  sentimen perkauman terutamanya dalam isu yang melibatkan  masyarakat  Melayu.
Mohamad   Sabu (gambar kanan) menyeru, "Oleh kerana itu, rakyat jangan terpedaya   dengan dakyah dan sentimen perkauman yang dimainkan oleh UMNO dan BN   semata-mata bagi meraih sokongan yang semakin hilang terhadap mereka.   
Masyarakat Melayu khususnya jangan termakan isu yang dimainkan oleh UMNO apabila mengatakan kuasa politik akan hilang sekiranya UMNO tidak berkuasa, sedangkan PAS bersedia untuk menggantikan UMNO sebagai sebuah parti untuk orang Melayu dan umat Islam di negara ini."
Masyarakat Melayu khususnya jangan termakan isu yang dimainkan oleh UMNO apabila mengatakan kuasa politik akan hilang sekiranya UMNO tidak berkuasa, sedangkan PAS bersedia untuk menggantikan UMNO sebagai sebuah parti untuk orang Melayu dan umat Islam di negara ini."
Kejadian curi pasir berlarutan sejak zaman pemerintahan BN
Di   samping itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga menyelar   kerajaan persekutuan yang menyalahkan kerajaan negeri dalam isu kecurian   pasir di atas tapak Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang.  Menurut   beliau lagi, kerajaan negeri sukar untuk mencampur tangan dalam hal   tanah milik kerajaan persekutuan, lantaran daripada halangan dan kerenah   dari kerajaan persekutuan.
"Kejadian   ini telah berlarutan sejak tahun 2002 lagi semasa negeri ini diterajui   oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN).  Namun begitu tiada tindakan  yang  diambil oleh mereka walaupun ianya telah berleluasa sekian lama.    Adalah sesuatu yang menghairankan apabila mereka tidak mengambil  apa-apa  tindakan sejak lapan tahun yang lalu," kata Lim Guan Eng  (gambar kiri)  yang mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri  selepas PRU ke-12,  Mac 2008.
"Oleh  kerana kepentingan  rakyat dan masyarakat setempat adalah menjadi  tanggungjawab kerajaan  yang memerintah, maka kita tetap akan memberi  kerjasama kepada kerajaan  persekutuan bagi mencari dalang sebenar di  sebalik aktiviti mencuri  pasir di atas tanah tersebut," janji Lim Guan  Eng.
Biarpun  diasak dengan  pelbagai tuduhan dari media arus perdana yang dikuasai  UMNO-BN, namun  hadirin tetap memberi sambutan gemuruh kepada Lim Guan  Eng ketika  beliau melontarkan kritikan terhadap kerajaan BN, di samping  mengulas  bagaimana kerajaan pimpinannya memanfaatkan warga Pulau Pinang  dengan  dasar-dasar yang mesra rakyat.
BN adalah punca kepada apa yang sedang berlaku
Manakala   Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man dalam ucapan beliau   menyeru agar seluruh masyarakat di Pulau Pinang supaya tidak percaya   dengan pelbagai isu yang sedang dimainkan oleh BN.
"Isu perumahan yang  berlaku  di Jelutong sebagai contoh bukannya bikinan PR.  Ia telah  berlaku sejak  pemerintahan BN lagi.  Segala macam tohmahan yang mereka  dakwa  mempunyai niat tertentu untuk menyembunyikan kesalahan lampau  yang telah  mereka lakukan terhadap masyarakat dan rakyat negeri ini."
"Apabila   mereka mulai merasakan tercabar dan kuasa semakin hilang maka bagi   meraih kembali dokongan yang semakin pudar itu isu akan disensasikan.    Setelah mereka tidak berjaya dengan isu perumahan beralih pula kepada   isu peniaga kecil.  Kini mereka mainkan pula isu pasir di Balik Pulau   yang ternyata berada di atas tanah milik mereka secara total."
"Dalam   isu ini kita mahu mereka yang bertanggungjawab di sebalik kegiatan   mencuri pasir di kawasan tersebut segera dihadapkan ke muka pengadilan.    Selagi masalah ini tidak selesai maka Kerajaan Persekutuan akan   sentiasa menyalahkan Kerajaan Negeri walaupun pada hakikatnya mereka   sedar mengenai kejadian sebenar di atas tapak tersebut," katanya lagi.
Turut   hadir dalam majlis anjuran Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang itu ialah   Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Helmi Haron, Mudir   Yayasan An-Nadhoh, ustaz Mutalib Maarof dan kepimpinan PR Negeri Pulau   Pinang.
*Nazar Hasim