KUALA LUMPUR 8 Julai - Ahli Parlimen  Indera Mahkota, Azan Ismail hari ini mempersoalkan aset tunai berjumlah  RM300,000 yang dimiliki seorang Exco Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat  yang dirompak beberapa hari lalu di rumahnya.
Azan merujuk kepada laporan akhbar The Star  pada 6 Julai lalu mengenai tindakan pantas polis menembak mati empat  penjenayah dalam kejadian pecah rumah Exco tersebut di Pantai Selamat,  Kuantan.
"Dalam berita  ini perompak telah melarikan RM300,000 wang tunai dari kediaman beliau  dan perkara ini telah menimbulkan banyak persoalan bagaimana seorang  Exco kerajaan negeri menyimpan begitu banyak tunai di dalam simpanan  kediaman sendiri.
"Hari  ini begitu banyak berita berkenaan simpanan tunai yang berkaitan  kerajaan beberapa isu kita dengar di Pulau Pinang dan sebagainya yang  melibatkan kakitangan kerajaan dan orang yang diberi amanah oleh  kerajaan sebagai pentadbir termasuk Exco.
"Kita minta pihak berkuasa menyiasat laporan  akhbar ini bagaimana seorang Exco boleh menyimpan begitu banyak tunai  di dalam kediamannya yang menjadikan kes ini kes rompakan dengan  kesudahan empat orang ditembak mati oleh pihak polis yang juga  menimbulkan banyak isu yang mana lima tahun kebelakangan ini banyak  kes-kes tembakan yang menyebabkan berlaku kematian kepada suspek atau  juga orang-orang yang di anggap penjenayah," ujarnya dalam sidang media  di lobi parlimen tengahari tadi.
Katanya, Pakatan Rakyat mendesak satu laporan terperinci  berkenaan kejadian itu termasuk tindakan polis melepaskan tembakan  kepada suspek terbabit.
"Kita  ada statistik yang agak membimbangkan," tambah beliau.
Sementara itu, menurut Ahli Parlimen Batu,  Tian Chua, polis tidak menjelaskan bagaimana penjenayah tersebut  ditembak mati. 
"Siapakah  mereka, apakah perlu desakan dan satu keperluan, untuk membunuh ke  empat orang. Saya percaya tidak ada orang yang melarikan diri, tidak ada  survivor dalam kejadian ini, ke empat-empatnya semua ditembak mati dan  kenapa perlunya membunuh semua," soal beliau.
Tian Chua berkata, selain itu timbul  keraguan mengenai empat butir peluru yang telah dicuri dari rumah exco  berkenaan. 
"Kita rasa  pelik, kenapa perlunya perompak curi peluru dan akhirnya dapat  dikembalikan. Ini satu cerita yang sangat pelik sekali," ujarnya.
Beliau turut memetik statitik yang telah  dijawab secara rasmi oleh Kementerian dalam negeri dewan berhubung kes  tembak mati oleh pihak polis, iaitu sembilan kes pada 2005, 16 kes pada  2006, 13 kes pada 2007, 82 kes pada 2008 dan 88 kes pada 2009. 
Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, S  Manikavasagam mendesak polis supaya memberikan penjelasan berhubung isu  tersebut memandangkan trend yang serupa berlaku dalam kejadian tembak  oleh polis.
"Trend polis  dari awal, bila tembak ada parang. Ini cara biasa, lepas tembak ada  parang. Saya minta pihak polis beri gambaran jelas trend ini berlaku  sudah lama. 
Beliau  turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat  dakwaan exco berkenaan yang memiliki wang tunai sehingga RM300,000. 
"Mana wang ini datang, sepatutnya SPRM  siasat  wang ini. Bagaimana Exco ada RM300,000. Bukan siasat isu pasir  sahaja," tegas beliau.
Suara Keadilan